A. Pengenalan.
Sebelum
kedatangan Belanda masyarakat di Indonesia boleh dibahagikan kepada dua
golongan iaitu golongan pemerintah dan golongan diperintan. Golongan pemerintah
terdiri dari raja/sultan, anak-anak raja, bangsawan, pembesar, priyayi dan
pemimpin agama. Manakala golongan diperintah ialah rakyat biasa kebanyakannya
adalah petani serta hamba merupakan lapisan yang paling bawah. Setiap golongan
ini mempunyai peranan dan tanggung jawabnya yang tersendiri.
B. Isi-isi.
Golongan Pemerintah.
1. Raja/Sultan.
Raja/Sultan
berada pada kedudukan teratas dalam hierarki sosial masyarakat Indonesia. Contohnya di Acheh dan Pulau
Jawa. Sultan Acheh merupakan ketua agama Islam dan menjadi pelindung
masyarakatnya. Sultan juga berkuasa mutlak dalam pemerintahan di wilayah
jajahan takluknya. Baginda juga dianggap istimewa mempunyai sifat luar biasa
dan berdaulat. Sultan dianggap Khalifah Allah dan pemimpin bagi umat Islam.
2. Kerabat Diraja.
Kerabat
diraja membantu raja/sultan dalam pentadbiran di peringkat pusat dan mendiami
kawasan ibu kota. Selain menjalankan tugas pentadbiran, mereka juga
melaksanakan upacara keagamaan dan ritual di wilayah atau kerajaan mereka.
Golongan pemerintah ini menguasai tanah dan perdagangan maritim. Terdapat juga
raja dan kerabat diraja yang memerintah negeri yang terdiri daripada beberapa
kumpulan etnik, contohnya Jawa, Sumatera dan Kalimantan. Golongan ini dapat
mengumpul harta dan menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Di Jawa, raja,
kerabat diraja dan golongan bangsawan agak terasing daripada masyarakat
disebabkan pengaruh agama dan tradisi. Golongan keturunan diraja dibahagi
mengikut darjat keturunan masing-masing yang mempunyai status dan prestij
tersendiri dalam masyarakat.
3. Pembesar/Uleebalang/Priyayi.
Lapisan
seterusnya diikuti oleh golongan bangsawan yang terdiri daripada kerabat diraja
dan bukan kerabat diraja. Di Jawa, golongan priyayi atau bangsawan menjadi
penghubung antara sultan dan rakyat. Hubungan antara keduanya amat rapat.
Mereka juga merupakan pemimpin kerohanian atau agama dalam masyarakat Jawa.
Priyayi kebiasaannya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan sultan atau kerabat
diraja. Golongan ini juga berkuasa ke atas masyarakat peribumi dan ketua
tempatan (bupati). Sementara di Acheh, kerabat diraja merupakan keturunan bekas
sultan yang pernah memerintah Acheh. Pembesar atau Uleebalang juga mempunyai
kedudukan yang tinggi dalam hierarki sosial di Indonesia terutamanya di Acheh.
Mereka menggunakan gelaran Teuku dan merupakan tulang belakang pemerintahan dan
pertahanan.
4. Ulama
Di
Acheh, ulama menjadi penasihat agama Islam kepada sultan. Memunyai kedudukan
tertinggi dan dihormati kerana ketinggian ilmu agamanya serta sering menjadi
rujukan masyarakat. Ulama diberi gelaran Tengku sesuai dengan kedudukannya
dalam masyarakat.
Golongan Diperintah.
1. Rakyat.
Rakyat
terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat. Mereka menjalankan aktiviti pertanian
dan perikanan contohnya menjadi petani, nelayan, pelaut dan pedagang. Golongan
rakyat khususnya petani tidak memiliki tanah tetapi menyewa tanah daripada
golongan bangsawan. Mereka bercucuk tanam sebagai aktiviti harian seperti
menanam padi. Rakyat memberi khidmat dengan mengerjakan tanah milik bangsawan,
melaksanakan tugas yang diberikan dan menjadi askar dalam peperangan apabila
raja/tuan tanah terlibat dalam peperangan. Rakyat yang kebanyakan petani
membayar cukai dan amat setia kepada golongan pemerintah. Petani merupakan
majority dalam masyarakat menjadi tunjang kegiatan ekonomi di Indonesia yang
merupakan sebuah negara agraria.
2. Hamba.
Hamba
memduduki lapisan paling bawah. Kehidupan mereka bergantung kepada tuan tanah.
Golongan ini biasanya dibebani dengan hutang- piutang.
C. Kesimpulan.
Masyarakat
peribumi di Indonesia terpengaruh dengan unsur agama dan kepercayaan. Keadaan
tersebut menyebabkan mereka terlalu mentaati raja mereka. Selepas penjajahan
Belanda, susun lapis masyarakat di Indonesia mulai berubah. Kedudukan dan kuasa
tradisi golongan bupati mulai merosot kerana mereka digantikan oleh pegawai
Eropah atau golongan yang berpendidikan barat. Golongan priyayi dan pembesar
tempatan dibayar gaji. Sultan juga kehilangan kuasa memerintah.
SUMBER- SKEMA PERCUBAAN SEJARAH STPM P3 NEGERI PAHANG 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan