Selasa, 25 Februari 2014

PERASMIAN KOMPLEKS PERNIAGAAN PEKAN RABU, KEDAH.

OLEH-AHMAD YAAKOB
Pada  hari  ini 25.2  dalam  tahun  1978,  Kompleks  Perniagaan  Pekan  Rabu   dirasmikan  oleh  YAB Dato’ Seri Dr.  Mahathir Mohamad, Timbalan  Perdana  Menteri.  Bangunan  yang  menempatkan  kompleks  perniagaan  ini  dibina  khas  bagi  memudahkan  para  peniaga  Bumiputera  khususnya  Orang  Melayu  menjalankan  perniagaan  mereka.  Bangunan  ini  telah  dapat  direalisasikan  pembinaannya  dengan  bantuan  sebanyak  $3.2  juta  daripada  Majlis  Amanah  Rakyat (MARA).  Sejarah  Pekan  Rabu  bermula  daripada  sebuah  pasar  minggu  yang  diadakan  pada  setiap  hari  Rabu  di  Tanjung  Chali,  Alor  Setar.  Ianya  telah  diasaskan  oleh  YTM  Tunku  Yaakob  Ibni  Almarhum  Sultan  Abdul  Hamid  Halim  Shah pada  tahun   1920.  Pada  tahun  1932,  Pekan  Rabu  telah  berpindah  ke  lokasinya  kini  iaitu di Jalan  Tunku  Ibrahim,  Alor  Setar,  Kedah.  Bangunan  Pekan  Rabu  yang  terdapat  kini  terdiri  daripada  2  fasa  di mana  Fasa  Pertama  adalah  terdiri  daripada  3  tingkat  bangunan  perniagaan  yang  mengandungi  274 buah  kedai,   manakala  Fasa  Kedua  adalah  terdiri  daripada  3  tingkat  bangunan  yang  mengandungi  73  buah  kedai.   Sesungguhnya,  penubuhan  Pekan  Rabu  telah  berjaya  menyatupadukan  peniaga-peniaga  Melayu  di bawah  satu  bumbung  serta  melahirkan  lebih  ramai  pemborong  dan  peniaga  Melayu   serta   mengetengahkan  barangan  keluaran  kampung  ke dalam  pasaran  terbuka.

SUMBER:http://hids.arkib.gov.my/readarticle.php?article_id=556

Isnin, 24 Februari 2014

PEMBUKAAN RASMI KURSUS KERJASAMA BAGI WANITA

OLEH-AHMAD YAAKOB
Pada hari ini 24.3 dalam tahun 1964, Menteri Kerjasama Encik Mohamed Khir Johari telah merasmikan Kursus Kerjasama Wanita Kali Ke-5 bertempat di Maktab Kerjasama Petaling Jaya, Selangor. Berucap semasa perasmian, Encik Mohamed Khir Johari berkata ilmu kerjasama perlu dipelajari bukan sahaja untuk kaum bapa tetapi penting juga untuk kaum wanita untuk mengetahui dasar atau prinsip gerakan kerjasama supaya tiap-tiap ahli Syarikat Kerjasama dapat faham dan menjalankan gerakan kerjasama di atas landasan sebenar. Kegiatan kaum wanita dalam bidang kerjasama ini dapat dilihat, di mana pada akhir 1962, jumlah syarikat kerjasama yang dimiliki dan diurus oleh kaum wanita berjumlah 3439 dan mempunyai modal sebanyak $218,752. Antara bidang Syarikat Kerjasama yang menjadi kegemaran kaum wanita ialah syarikat pinjam-meminjam, syarikat jimat cermat dan permodalan. Sejak kursus ini diadakan seramai 270 orang kaum wanita telah mengikuti kursus ini yang dikelolakan oleh Maktab Kerjasama Petaling Jaya.

SUMBER: http://www2.arkib.gov.my/hids

Muhyiddin ziarah anggota polis zaman darurat

24 Februari 2014
Muhyiddin ziarah anggota polis zaman darurat
Muhyiddin ziarah anggota polis zaman darurat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) beramah mesra bersama Zohyah Bujang, 80, iaitu warga emas yang berkhidmat sebagai anggota polis pada zaman darurat selama lima tahun ketika mengadakan lawatan ke rumahnya di Kampung Sungai Sekamat di Kajang, hari ini. - Foto Bernama

KAJANG - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melawat Zoyah Bujang, bekas anggota polis berusia 80 tahun yang pernah berkhidmat semasa zaman darurat, di Kampung Sungai Sekamat di sini.

Zoyah berkhidmat sebagai prebet polis semasa zaman darurat 1948 hingga 1960.

Mengiringi timbalan perdana menteri semasa kunjungan itu ialah Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor Datuk Seri Noh Omar dan calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang Datin Paduka Chew Mei Fun.

Ditanya perkara yang dibualkan, Zoyah yang mempunyai 14 orang anak dan kira-kira 13 cucu itu berkata beliau cuma meminta dapatkan bantuan bagi membaiki rumahnya yang telah didirikan lebih 50 tahun lalu.

"Dah tak larat nak turun tangga naik tangga, jadi kalau boleh dibuat rumah atas tanah, tak payah lagi tinggi-tinggi rumah ini," katanya kepada pemberita.

Zoyah selepas kematian suaminya Idris Ariffin pada 1999, juga bekas anggota polis, menetap di rumah berkenaan bersama cucunya, Siti Nurjannah Jamaluddin, 25.

Sejak kira-kira tiga tahun lepas, Zoyah menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan.Muhyiddin kemudian turut menziarahi jenazah Johariah Yaakob, 60-an, jiran kepada Zoyah yang meninggal dunia hari ini. - Bernama
SUMBER; SINAR HARIAN ONLINE 23.2.14


PERSIDANGAN ECAPE DIBUKA DENGAN RASMINYA

Pada hari ini 24.2 dalam tahun 1958, satu Persidangan Suruhanjaya ekonomi Asia dan Timur Jauh atau ECAPE telah diadakan di kalangan negara-negara anggota ECAPE di Kuala Lumpur. Persidangan telah dihadiri oleh wakil 23 buah negara anggota, membincangkan berkenaan dengan perusahaan dan hasil bumi yang terdapat di negara masing-masing serta cara-cara untuk memajukan hasil tersebut. Persidangan yang diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman Kuala Lumpur selama 2 hari tersebut telah dirasmikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra. Berucap semasa persidangan tersebut Tunku menjelaskan usaha-usaha dijalankan oleh negara ini bagi memajukan perusahaan dan pencarian hasil bumi bagi menambahkan dan mempelbagai hasil pendapatan negara dan peluang pekerjaan kepada penduduknya. Antara usaha-usaha yang dijalankan oleh ECAPE ini ialah seperti menjalankan kajian serta menyediakan peta kawasan galian di Asia dan Timur Jauh yang menunjukkan kawasan yang mengandungi hasil-hasil bumi untuk dimajukan. Manakala berkaitan dengan perusahaan pula usaha-usaha dijalankan oleh negara-negara ahli bagi memajukan negara masing-masing berkaitan dengan perusahaan baru serta pemindahan teknologi daripada negara-negara maju ke negara yang baru merdeka. Dengan adanya persidangan ini, negara-negara anggota dapat bertukar-tukar pandangan berkaitan dengan usaha-usaha memajukan sektor perkilangan dan hasil bumi negara-negara di bawah naungan anggota ECAPE.

SUMBER: http://www2.arkib.gov.my/hids

RANG UNDANG-UNDANG BAHASA KEBANGSAAN

Pada  hari  ini  24.2 dalam  tahun  1967,  satu  rang  undang-undang  Bahasa  Kebangsaan  sebagai  bahasa  rasmi  telah  diterbitkan. Rang undang-undang ini mula berkuatkuasa  penggunaannya  mulai  1  September  1967,  dan   tidak  melibatkan  negeri-negeri  Borneo. Menurut  rang  undang-undang  ini,  Bahasa  Kebangsaan  akan  digunakan  bagi  semua  urusan  rasmi  dan  tertakluk  kepada  fasal  152  Perlembagaan. Ini bagi membolehkan  penggunaan  secara  liberal  bahasa-bahasa  lain  di  Persekutuan  setakat  yang  dikehendaki. Yang  di-Pertuan  Agong  diberi  kuasa untuk  mengizinkan  penggunaan terus  Bahasa  Inggeris  bagi  tujuan-tujuan  rasmi  yang  dianggap perlu. Bahasa  Kebangsaan dan  Bahasa  Inggeris  akan  digunakan bagi:  semua  undang-undang  atau  pindaan  selanjutnya  yang  dibentangkan  dalam  Parlimen  atau  Dewan  Undangan  Negeri; semua  undang-undang Parlimen  dan  lain-lain  undang-undang  selanjutnya  yang  dibuat  oleh  kerajaan; semua undang-undang dan lain-lain  undang-undang  lanjutan  darinya  yang dibuat  oleh  kerajaan  negeri  dan semua undang-undang  yang  dimasyhurkan  oleh  Yang di-Pertuan  Agong. Naskhah  yang  sahih  ialah  dalam  Bahasa  Kebangsaan kecuali  terdapat  ketentuan  lain  oleh  Yang  di-Pertuan  Agong.  Manakala  semua  urusan  kecuali  keterangan  oleh  seorang  saksi  dalam  mahkamah  akan  dijalankan  dalam  Bahasa  Kebangsaan  atau  Bahasa  Inggeris  atau  separuh-separuh.

SUMBER: http://www2.arkib.gov.my/hids

PERSIDANGAN PERTAMA MAJLIS PERUNDANGAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU

Pada  hari  ini  24.2 dalam  tahun  1948,   Dewan  Perundangan  Persekutuan  Tanah Melayu  telah  mengadakan  persidangan  yang  pertama  di Dewan  Tuanku  Abdul Rahman, Kuala  Lumpur.  Persidangan  yang  bersejarah  ini  telah  dirasmikan  oleh Pesuruhjaya Tinggi Inggeris Sir Edward Gent. Turut hadir ialah Menteri Negara bagi Hal Ehwal Tanah Jajahan, Lord Listowel. Pembentukan Majlis ini berasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan 1948,  Bahagian Empat yang  menyatakan bahawa ahli-ahli majlis mestilah terdiri daripada Pesuruhjaya Inggeris sebagai Presiden, 3 orang Ex-Officio iaitu Ketua Setiausaha, Setiausaha Kewangan dan Peguam Negara, 11 orang ahli rasmi dan 34 orang ahli tidak rasmi.  Kesemua ahli majlis ini mestilah warganegara Persekutuan Tanah Melayu ataupun rakyat British, kecuali ahli Ex-Officio.  Dalam persidangan ini, Dato' Onn Jaafar telah berucap mewakili orang Melayu menegaskan, bahawa rakyat Persekutuan Tanah Melayu tidak memerlukan  campurtangan dan kuasa luar dalam pentadbiran negara.  Manakala, orang cina telah diwakili oleh Dr. Ong Chong Keng dan S.B. Palma pula mewakili orang India telah menyatakan kesetiaan dan taat setia terhadap negara. Kesepaduan dan kesepakatan di kalangan rakyat berbilang kaum inilah yang membantu negara untuk mencapai  kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
SUMBER: http://www2.arkib.gov.my/hids

Ahad, 23 Februari 2014

LALUAN KEDUA TANJUNG KUPANG-TUAS SINGAPURA


 

ARKIB : 03/01/1998
Sejarah bermula
LALUAN kedua yang menghubungkan Tanjung Kupang di Johor dan Tuas di Singapura mula dilalui kenderaan dari kedua-dua hala pada pukul 10 pagi, semalam. - Gambar MOHAMAD ALI ISMAIL.

Projek laluan kedua yang menghubungkan Tanjung Kupang di Johor dengan Tuas di Singapura mula beroperasi semalam.

Pembukaan laluan kedua itu sekaligus akan dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Tambak Johor yang sebelum ini berfungsi sebagai laluan utama menghubungkan kedua-dua negara.

Laluan yang menelan belanja RM1,608 juta itu menyediakan perkhidmatan kedua terus dari Singapura ke Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail di Senai dan Laluan Persekutuan 1.

ArtikelPenuh:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz2u9Bt9aO1 © Utusan Melayu (M) Bhd

Apung kapal bawa harta karun

Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD-pengarang@utusan.com.my
KULAIJAYA 22 Feb. - Usaha mengapungkan kapal Portugis, Flor De Lamar yang dipercayai tenggelam di perairan Aceh, Indonesia ketika membawa rampasan khazanah empayar Melaka bernilai kira-kira AS$2 bilion (RM6.4 bilion) dijangka dapat direalisasi dengan kerjasama tiga negara.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras dan Penyelidikan usaha tersebut, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, negara terbabit ialah Malaysia, Indonesia serta Portugal dan untuk mencapai hasrat itu, beliau telah mengusulkan cadangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini untuk melaksanakan projek itu.

"Sejak dahulu beberapa percubaan telah dibuat oleh pemburu harta karun dari Eropah dan Asia untuk kenal pasti lokasi kapal Portugis itu, tetapi cubaan itu gagal atas beberapa perkara teknikal.

"Ini kerana terdapat 30 kapal di lokasi tersebut. Jadi, jika hendak mengenal pasti yang mana satu kapal Flor De Lamar, kita memerlukan teknologi canggih serta melibatkan kos kira-kira AS$30 juta (RM96 juta)," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Usahawan Bumiputera Perlu Bijak Rancang Strategi di Dewan Bandar Putera, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) percaya dengan kerjasama kerajaan ketiga-tiga negara terbabit, kapal tersebut boleh diapungkan dan secara langsung mengembalikan warisan dan kehebatan empayar Melaka ketika itu yang telah pun diambil oleh Portugis," katanya.

Rahim berkata, harta karun di dalam kapal Portugis itu yang dipercayai tenggelam di perairan Aceh diyakini masih tidak terusik kerana sudah dilitupi lumpur dan ditumbuhi batu karang.

"Kami difahamkan dalam kapal itu ada lebih 40 jenis barangan berharga yang hendak dibawa ke Portugal dari Melaka pada 1511, setelah dirampas oleh Panglima Afonso de Albuquerque.

"Senarai khazanah Melaka itu kemudian telah disenaraikan oleh anak Alfonso sebelum dibawa ke London dan badan lelongan harta purba di sana menganggar nilainya lebih AS$2 bilion.

"Antara harta karun itu ialah 22 peti wang emas dan perak serta dua patung monyet emas bertatahkan batu permata yang diberikan kerajaan Thai kepada Melaka," katanya sambil memberitahu harta berkenaan bukan sahaja mempunyai nilai kewangan, malah warisan sejarah.

Beliau berkata, sekiranya usaha mengapungkan harta tersebut berjaya, projek raksaksa itu mampu menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia.

"Menurut undang-undang laut antarabangsa, biasanya di mana kapal itu tenggelam, khazanah itu akan menjadi hak milik negara berkenaan. Tetapi Indonesia hingga kini tidak dapat mengenal pasti lokasi kedudukan kapal tersebut.

"Menurut pihak Indonesia, jika kita dapat buktikan khazanah itu dari Empayar Kesultanan Melaka, harta itu boleh menjadi khazanah Malaysia," katanya.

Katanya, kerjasama berkenaan pernah cuba dijalankan antara Malaysia dan Indonesia ketika beliau menjadi Ketua Menteri Melaka dari 1982 hingga 1994, tetapi tidak berhasil.

RujukanArtikelPenuh:http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140223/dn_05/Apung-kapal-bawa-harta-karun#ixzz2u8xCTKqp © Utusan Melayu (M) Bhd

Fosil dinosaur di banjaran gunung

 
Oleh Abdul Rashid Abdul Rahman-utusanpahang@utusan.com.my

TEMERLOH 22 Feb. - Kawasan banjaran gunung di negeri ini yang meliputi Gunung Tahan, Gunung Gagau, Gunung Berantai, Tembeling, kawasan Maran dan Endau Rompin berkemungkinan besar mempunyai banyak fosil dinosaur.

Ahli Paleontologis Institut Geologis Malaysia (IGM), Ahmad Rosli Othman (gambar) berkata, hanya kawasan tersebut mempunyai kelompok jujukan batuan berusia jura kapur dalam Kumpulan Tembeling yang mempunyai fosil dinosaur.

Sehubungan itu, katanya, adalah mustahil untuk menemukan fosil dinosaur di kawasan Kuala Semantan di sini yang hanya berpotensi menemukan cengkerang memandangkan geologinya adalah laut dalam satu ketika dahulu.

"Pada ketika ini usaha menjejak fosil dinosaur adalah sukar kerana kawasan ini diliputi hutan tebal dan topografinya bergunung-ganang, malah sesetengah kawasan adalah kawasan taman negara yang dilindungi.

"Bagaimanapun fosil tersebut boleh dijumpai di kawasan bukit yang dipotong untuk pembinaan jalan raya seperti di Lebuhraya Pantai Timur sekitar bandar Maran dan jalan raya Paloh Hinai-Bera.

"Boleh juga ditemui di kawasan Tembeling yang mana sekarang kerja-kerja pemotongan cerun bukit giat dijalankan untuk pembinaan empangan hidroelektrik," katanya di sini hari ini.

Pada Ogos tahun lalu kumpulan penyelidik Jabatan Geologi, Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) menemukan sebatang fosil gigi dinosaur daripada spesies 'Spinosaurid Therapod' yang dikenali sebagai 'dinosaur pemakan ikan' di sebuah lokasi di Gugusan Kuala Semantan dan Temerloh.

Fosil yang diberi nama sebagai 'Sampel UM10575' itu mempunyai ukuran 23 milimeter panjang dan 10 milimeter lebar.

Menurut Ahmad Rosli, penemuan gigi dinosaur itu membuka ruang bagi kajian lanjut terutamanya untuk mencari tulang belulang dinosaur yang masih tersimpan kukuh dalam batuan.

Dalam pada itu, beliau berkata, zaman jura dan kapur adalah zaman kemuncak kemunculan pelbagai jenis dinosaur yang mana apabila haiwan itu mati bangkainya tertimbus oleh enapan sedimen, lapisan demi lapisan.

"Lapisan sedimen yang tertimbus ini membentuk jujukan batuan iaitu mengawet tulang belulang itu membentuk fosil," ujarnya.

Sumber-ArtikelPenuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140223/dn_17/Fosil-dinosaur-di-banjaran-gunung#ixzz2u8vF3Wnh © Utusan Melayu (M) Bhd

Harta karun RM6.58 bilion diburu

Oleh HAFIZ ABBAS-mohdhafiz.abbas@kosmo.com.my
 
Estavao de Gama

KULAIJAYA – Selepas lima kurun tenggelam di Selat Melaka dekat Aceh, Indonesia, kapal dagang Flor de la Mar yang mengandungi khazanah dianggarkan AS$2 bilion (RM6.58 bilion) kini menjadi buruan pencari harta karun.

Kapal tersebut dipercayai tenggelam ketika membawa khazanah yang dirampas daripada Kesultanan Melaka yang jatuh ke tangan penjajah itu pada tahun 1511.

Khazanah tersebut meliputi 22 peti wang emas dan perak, dua patung monyet emas bertatah batu permata yang dihadiahkan oleh kerajaan Thai kepada Melaka serta pelbagai manuskrip.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras dan Penyelidikan bagi mengetuai eksplorasi untuk mencari harta karun itu.

Beliau berkata, projek pengapungan kapal dagang Portugis itu akan menelan belanja AS$30 juta (RM98.7 juta).

Katanya, ia akan dilakukan secara bersama oleh tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Portugal dan perkara itu telah diusulkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

SUMBER;KOSMO ONLINE 23.2.14

RANG UNDANG-UNDANG KEBANGSAAN UNTUK JADIKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA RASMI DITERBITKAN

Pada hari ini 23.2 dalam tahun 1967, Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan telah diterbitkan oleh Kerajaan dan akan berkuatkuasakan pada 1 September 1967. Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan itu mengandungi 8 Fasal dan akan diperdebatkan sekarang ini di Dewan Rakyat.Fasal Pertama: Undang-undang Bahasa Kebangsaan ini akan berkuatkuasakan pada 1 September 1967 dan ianya tidak meliputi negeri-negeri Borneo. Fasal Kedua: Bahasa Kebangsaan akan digunakan untuk urusan-urusan rasmi tetapi tertakluk kepada Fasal 152 Perlembagaan yang menentukan bahawa:
seseorang itu tidak akan dilarang menggunakan atau mengajar serta belajar bahasa-bahasa lain kecuali untuk tujuan-tujuan rasmi.
Kerajaan Federal atau Kerajaan-kerajaan Negeri berhak memelihara dan mengekalkan penggunaan dan pengajaran bahasa-bahasa masyarakat lain di Persekutuan.
Fasal Ketiga: membolehkan penggunaan secara lebih liberal bahasa-bahasa lain di Persekutuan setakat yang dikehendaki seperti sekarang ini.
Undang-undang itu tidak menyentuh hak Kerajaan Federal atau Kerajaan-kerajaan negeri untuk menggunakan sebarang terjemahan naskah-naskah rasmi dalam bahasa sesuatu masyarakat lain di Persekutuan untuk maksud-maksud yang dianggap perlu demi kepentingan umum.
Fasal Keempat: Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa untuk mengizinkan penggunaan terus Bahasa Inggeris untuk tujuan-tujuan rasmi yang dianggap perlu. Fasal Kelima: Ahli Parlimen atau ahli Dewan Negeri boleh menggunakan Bahasa Inggeris dengan keizinan.Fasal Keenam: Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris akan digunakan untuk perkara-perkara yang telah ditetapkan di dalam rang undang tersebut seperti pindaan undang-undang dan lain-lain.Fasal Ketujuh: Peruntukan di Fasa 6 tidak menyentuh undang-undang yang telah dibuat sebelumnya kerana undang-undang lama belum diterjemahkan ke dalam Bahasa Kebangsaan.Fasal Kelapan: Semua urusan dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah-mahkamah Rendah akan dijalankan dalam Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris atau kedua-duanya.Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan diharap akan berjaya memenuhi keinginan rakyat untuk mendaulatkan Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Rasmi yang tunggal.
SUMBER: http://www2.arkib.gov.my/hids/readarticle.php?article_id=553


PERSIDANGAN SERANTAU YANG PERTAMA MENGENAI PENGGUNAAN KOMPUTER DALAM KEJURUTERAAN AWAM

Pada hari ini 23.2  dalam tahun 1982, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Raja Ariffin Raja Sulaiman telah merasmikan Persidangan Serantau yang pertama penggunaan komputer di dalam kejuruteraan awam. Persidangan yang pertama kali diadakan ini telah dihadiri oleh 100 orang peserta terdiri daripada ahli-ahli akademik, ahli profesional, dan para jurutera dalam pelbagai bidang Kejuruteraan Awam Jabatan dan agensi Kerajaan dan swasta termasuk juga wakil daripada Amerika Syarikat, United Kingdom dan Thailand. Berucap semasa perasmian, Dato' Raja Ariffin berkata, reka bentuk dengan bantuan komputer boleh menjimatkan masa dan kos pembinaan dan merupakan suatu ciri penting bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti. Di samping itu penggunaan komputer di dalam kejuruteraan awam merupakan satu usaha mempercepatkan pembangunan khasnya dalam pembinaan bangunan, jabatan dan lebuh raya. Kemajuan di dalam penggunaan teknologi komputer yang mula diperkenalkan di negara ini, sudah pasti akan memberi kesan yang lebih besar kepada pembangunan negara. 

SUMBER: http://www2.arkib.gov.my/hids/readarticle.php?article_id=553

Sabtu, 22 Februari 2014

PEMBUKAAN RASMI MARKAS PASUKAN SIMPANAN SUKARELA ANGKATAN LAUT DI RAJA MALAYA BAHAGIAN PERSEKUTUAN

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pada hari  ini  dalam  tahun  23.2.1952,  Markas  Pasukan  Simpanan  Sukarela  Angkatan  Laut  Diraja  Malaya, Bahagian  Persekutuan  Tanah  Melayu  telah  dibuka  dengan  rasminya. Upacara  perasmian tersebut   telah  dilakukan  oleh  Pegawai  Pemerintah  Angkatan  Laut, Kawasan  Malaya,  Laksamana  Muda  A.F. Pugsley  di  hadapan  Fort  Cornwalis,  Padang  Kota  Lama, Pulau  Pinang. Turut  hadir  di upacara  itu  ialah  Pesuruhjaya  Residen  Pulau  Pinang (wakil  Kerajaan  Persekutuan), Pegawai-pegawai  Kanan  Kerajaan, Pegawai-pegawai  Kanan  Angkatan  Laut  Diraja  Melayu, Ahli-ahli  Mesyuarat Negeri  dan  orang-orang  kenamaan  tempatan.  Sebelum  upacara  perasmian  bermula,  pasukan  kawalan  angkatan  laut atau ‘naval guard’  dengan  3  orang   pegawai  dan  71  orang  anggota  dalam  kapal  H.M.S Alert, Kapal  Pelanduk  dan  Kapal  Panglima  yang  telah  berlabuh di  Pangkalan  Victoria.  Dengan diiringi oleh  Pasukan  Pancaragam  Batalion  Pertama, Rejimen  Manchester mereka berkawat  ke  tempat  upacara  melalui jalan-jalan  Downing  Street, Beach  Street  dan  Fort Road. Dengan perasmian  tersebut maka, Markas  Pasukan  Simpanan  Sukarela  Angkatan  Laut  Diraja  Malaya  Bahagian  Persekutuan  telah  memulakan  operasi.  Ia diketuai  oleh  Commander  D.W.Graham, dengan  kekuatan  anggota  seramai  25 pegawai  dan 150 anggota  sukarela sekaligus  membuka satu lagi lembaran baru dalam  dunia  ketenteraan di negara  ini.  

SUMBER: http://www2.arkib.gov.my/hids/readarticle.php?article_id=553