Sabtu, 22 Februari 2014

SEJARAH KAMPUNG ORANG ASLI PAYA TAMAN, MARAN

Oleh – AHMAD YAAKOB.
      Menurut Tok Batin Wahab bin Nong, Kampung Orang Asli Paya Taman, Maran telah wujud sejak tahun 1970-an lagi. Kampung Orang Asli Paya Taman terletak berhampiran Kem PLKN  Indra Pahlawan; Maran Kampung Sri Taman; Jengka 6, Mukim Chenor. Kampung ini juga terletak berdekatan dengan Felda Jengka 6 iaitu lebih kurang 2 kilometer. Berdasarkan sumber sejarah, kawasan kampung ini pernah dihuni oleh orang-orang Melayu. Tetapi kerana ancaman Pengganas   Komunis, pada tahun 1970-an mereka telah berpindah ke Kampung Kuala Sentul, Maran, Pahang.

     Menurut  Tok Batin Kampung Paya Taman, Wahab Noh lagi, seramai 23 keluarga orang asli Semak Brim telah mendiami kampung ini. Penduduk orang asli kampung ini mempunyai persamaan dialek percakapan sengan penduduk orang asli di Kampung Bangas. Penduduk  kampung yang berjumlah kira-kira 70 orang daripada 23 keluarga ini  masih mengikuti fahaman nenek moyang walaupun semakin terdedah dengan pengaruh moden. Mereka berminat untuk  mengenali ajaran Islam. Oleh itu mereka  meminta pendakwah Islam berkunjung lebih kerap ke kampung mereka kerana minat mendalam penduduk untuk mengenali agama Islam.   




      Kawasan perkampungan orang asli Semak Brim ini masih mundur. Jalan masuk ke Kampung Paya Taman sangat sempit berliku-liku kerana hampir tiga kilometer dari simpang PLKN Indra Pahlawan, pengunjung terpaksa mendaki bukit yang agak tinggi. Di kiri kanan jalan dipenuhi lalang dan tumbuhan lain yang agak tinggi dan kaki lima jalan hampir tidak kelihatan kerana dilitupi pokok-pokok yang tumbuh liar. Jalan masuk ini memang sempit, jadi kalau ada kereta dari arah yang bertentangan, salah seorang pemandu kena berhenti untuk memberi laluan.Selain dari itu jalan masuk ke Kampung Paya Taman juga tidak berturap dengan baik. Oleh itu mereka amat memerlukan bantuan kerajaan untuk membina jalan masuk yang lebih baik ke kampung mereka.



      Kemudahan asas di kampung ini juga tidak memuaskan. Lampu jalan untuk masuk ke kampung tidak ada. Kemudahan telefon awam juga tidak ada. Malah label masuk ke Kampung Paya Taman juga tidak ditemui. Sehingga kini masih ada penduduk kampung yang masih  menggunakan air hujan dan air bawah tanah untuk memasak, mandi atau membasuh pakaian.

     


Tiada ulasan:

Catat Ulasan