Rabu, 19 Februari 2014

LALUAN KEDUA (LINK KEDUA) MALAYSIA DAN SINGAPURA DIBUKA SECARA RASMI 2.1.1998

oleh- Ahmad Yaakob SMKJ2

Pada hari ini dalam tahun 1998, Laluan Kedua yang menghubungkan Malaysia dan Singapura di buka secara rasminya. Projek pembinaan Laluan Kedua ini dilancarkan pada tahun 1996 selepas beberapa siri rundingan dan kata sepakat yang dicapai di antara kedua-dua negara. Pembinaan yang mengambil masa 32 bulan ini siap seminggu lebih awal daripada yang dijadualkan apabila segmen gelegar ke-840 dicantumkan dengan rasminya pada 9 Julai 1997.  Pencantuman itu menghubungkan pembinaan jambatan 1.7 kilometer di sebelah Tanjung Kupang dan 300 meter pembinaan di Tuas, Singapura. Jambatan enam lorong ini menggunakan teknologi dari Jepun yang menghubungkan segmen gelegar konkirt pasang siap dengan teknik penyangganya. Laluan Kedua ini menyediakan perkhidmatan laluan terus ke Lebuh raya Utara-Selatan, Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail dan laluan Persekutuan Satu. Laluan pertama yang menghubungkan Malaysia dengan Singapura ialah menerusi Tambak Johor yang dibuka secara rasmi pada tahun 1924. Sesungguhnya pada hari ini dalam tahun 1998, satu sejarah terpahat dan sebuah lembaran baharu telah dibuka dalam sejarah perhubungan antara Malaysia dan Singapura. Laluan Kedua Malaysia – Singapura ini juga membantu dari segi pertumbuhan ekonomi, sosial dan politik termasuklah pembangunan hartanah selain daripada menjimatkan masa perjalanan dan mengurangkan kos pengendalian pengangkutan melalui pelencongan lalu lintas dari bandar Johor Bahru.

SUMBER:http://hids.arkib.gov.my/search.php

Tiada ulasan:

Catat Ulasan