Jumaat, 21 Februari 2014

Hanya sedikit dinosaur wujud - Pakar

Hanya sedikit dinosaur wujud - Pakar
KUALA LUMPUR 19 Feb. - Penemuan sebatang fosil gigi dinosaur di Pahang baru-baru ini, membuktikan bahawa hidupan purba tersebut pernah wujud di Malaysia.

Ahli Paleontologis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Shafeea Leman bagaimanapun berkata, kewujudan spesies itu hanya dalam bilangan kecil disebabkan faktor geografi yang tidak bersesuaian menjadi habitat kehidupan tersebut.

"Semenjak 500 juta tahun dahulu, dinosaur berada di mana-mana. Memandangkan faktor geografi di Malaysia yang agak sempit dan tidak mempunyai kawasan lembangan luas, hanya sedikit sahaja hidup di beberapa kawasan di negara ini.

"Berbanding dengan negara lain seperti China dan Thailand yang mempunyai kawasan lembangan lebih luas, maka kawasan tersebut menjadi habitat yang sesuai dengan haiwan prasejarah tersebut dan lebih banyak fosil dijumpai di sana," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas hasil kajian kumpulan penyelidik daripada Jabatan Geologi di Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) yang berjaya menemukan sebatang fosil gigi dinosaur daripada spesies Spinosaurid Therapod di Pahang kelmarin.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, terdapat banyak lagi fosil yang akan dijumpai jika negara mempunyai kelengkapan serta program yang efektif dalam bidang paleontologi.

"Penemuan fosil tersebut membuktikan dinosaur pernah wujud di beberapa kawasan di Malaysia terutama di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Perkara begini merupakan pencapaian besar buat negara, namun setakat ini tidak ramai ingin menceburi bidang paleontologi kerana melibatkan kajian dalam jangka masa lama," katanya.
SUMBER:Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140220/dn_13/Hanya-sedikit-dinosaur-wujud---Pakar#ixzz2tx3yYiQJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan