Ahad, 23 Februari 2014

RANG UNDANG-UNDANG KEBANGSAAN UNTUK JADIKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA RASMI DITERBITKAN

Pada hari ini 23.2 dalam tahun 1967, Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan telah diterbitkan oleh Kerajaan dan akan berkuatkuasakan pada 1 September 1967. Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan itu mengandungi 8 Fasal dan akan diperdebatkan sekarang ini di Dewan Rakyat.Fasal Pertama: Undang-undang Bahasa Kebangsaan ini akan berkuatkuasakan pada 1 September 1967 dan ianya tidak meliputi negeri-negeri Borneo. Fasal Kedua: Bahasa Kebangsaan akan digunakan untuk urusan-urusan rasmi tetapi tertakluk kepada Fasal 152 Perlembagaan yang menentukan bahawa:
seseorang itu tidak akan dilarang menggunakan atau mengajar serta belajar bahasa-bahasa lain kecuali untuk tujuan-tujuan rasmi.
Kerajaan Federal atau Kerajaan-kerajaan Negeri berhak memelihara dan mengekalkan penggunaan dan pengajaran bahasa-bahasa masyarakat lain di Persekutuan.
Fasal Ketiga: membolehkan penggunaan secara lebih liberal bahasa-bahasa lain di Persekutuan setakat yang dikehendaki seperti sekarang ini.
Undang-undang itu tidak menyentuh hak Kerajaan Federal atau Kerajaan-kerajaan negeri untuk menggunakan sebarang terjemahan naskah-naskah rasmi dalam bahasa sesuatu masyarakat lain di Persekutuan untuk maksud-maksud yang dianggap perlu demi kepentingan umum.
Fasal Keempat: Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa untuk mengizinkan penggunaan terus Bahasa Inggeris untuk tujuan-tujuan rasmi yang dianggap perlu. Fasal Kelima: Ahli Parlimen atau ahli Dewan Negeri boleh menggunakan Bahasa Inggeris dengan keizinan.Fasal Keenam: Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris akan digunakan untuk perkara-perkara yang telah ditetapkan di dalam rang undang tersebut seperti pindaan undang-undang dan lain-lain.Fasal Ketujuh: Peruntukan di Fasa 6 tidak menyentuh undang-undang yang telah dibuat sebelumnya kerana undang-undang lama belum diterjemahkan ke dalam Bahasa Kebangsaan.Fasal Kelapan: Semua urusan dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah-mahkamah Rendah akan dijalankan dalam Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris atau kedua-duanya.Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan diharap akan berjaya memenuhi keinginan rakyat untuk mendaulatkan Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Rasmi yang tunggal.
SUMBER: http://www2.arkib.gov.my/hids/readarticle.php?article_id=553


Tiada ulasan:

Catat Ulasan