Jumaat, 21 Februari 2014

Dinosaur di Pahang lebih besar daripada T-Rex

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Spesies dinosaur 'Spinosaurid Therapod' yang dijumpai di Pahang itu dipercayai menyamai atau lebih besar saiznya daripada spesies Tyrannosaurus (T-Rex).

Satu sumber Universiti Malaya (UM) berkata, ini berdasarkan fosil gigi dinosaur yang ditemui di Pahang oleh kumpulan penyelidik Jabatan Geologi, Fakulti Sains UM yang diumumkan kelmarin dipercayai merupakan gigi anak dinosaur, berdasarkan saiznya yang kecil.

"Apa yang kita jumpa baru-baru ini adalah gigi anak dinosaur sahaja. Kita percaya saiz spesies dinosaur tersebut besar, cuma lebih bongkok sedikit daripada spesies Tyrannosaurus," jelasnya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, kumpulan itu akan meneruskan penyelidikan sehingga dapat menemui bahagian-bahagian lain spesies berkenaan atau spesies dinosaur lain di kawasan tersebut.

Jelasnya, kerja penyelidikan untuk mencari fosil dinosaur di Gugusan Kuala Semantan dan Temerloh di Pahang akan diteruskan kerana dipercayai spesies dinosaur lain juga pernah wujud di kawasan itu.

"Ini disebabkan keadaan geografi kawasan itu dipercayai sesuai untuk menjadi habitat kepada spesies haiwan berkenaan yang berhampiran dengan sungai dan tanah mendap," katanya.

Tambah sumber itu lagi, pihaknya sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri Pahang untuk mewartakan kawasan arkeologi tersebut agar tidak diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Penemuan fosil berkenaan merupakan yang pertama di Malaysia hasil penyelidikan Jabatan Geologi, Fakulti Sains UM bersama dua institusi pengajian tinggi Jepun iaitu Universiti Waseda dan Universiti Kumamoto sejak September 2012.

Pada Ogos tahun lalu, kumpulan itu menemukan sebatang fosil gigi dinosaur daripada spesies itu yang dikenali sebagai 'dinosaur pemakan ikan' di sebuah lokasi di Pahang.

Fosil yang diberi nama sebagai 'Sampel UM10575' itu mempunyai ukuran 23 milimeter panjang dan 10 milimeter lebar.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140221/dn_22/Dinosaur-di-Pahang-lebih-besar-daripada-T-Rex#ixzz2tyUyMg2q © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan