Oleh Suliati Asri
KEPESATAN bandar raya Kuala Lumpur yang semakin
membangun ini nyata cukup membanggakan. Saban tahun, ada saja perubahan yang
berlaku terutama kewujudan bangunan pencakar langit yang cukup mengagumkan.
Namun, pernahkah kalian melihat bagaimana keadaan Kuala
Lumpur 126 tahun yang lalu? Bagaimana pembangunan yang telah berlaku dulu, kini
dan akan datang? Jika anda melihat sendiri bagaimana pembangunan yang berlaku
di Kuala Lumpur ini, anda mungkin akan lebih menghargai kota metropolitan yang
cukup gah di mata dunia ini dan semuanya ada di KL City Gallery.
Terletak bersebelahan Padang Merdeka, KL City Gallery
membawa anda kembali ke masa lampau, kini dan masa depan bandar raya Kuala
Lumpur.HAYATI sejarah Kuala Lumpur di ‘Memories of Kuala Lumpur’.Walaupun tidak
sebesar City Gallery yang ada di negara membangun, kewujudannya atas dasar
cintakan budaya dan komitmen untuk ‘menghidupkan warisan’, KL City Gallery
nyata sesuatu yang cukup membanggakan.
Memasuki bangunan dengan inspirasi rekaan Moghul-India
yang dibina pada 1898 itu, tanpa sebarang bayaran, anda akan dibawa mengimbau
kembali keadaan Kuala Lumpur dari awal pembukaannya di ‘Memories of Kuala
Lumpur’.
Di sini, anda berpeluang membaca pelbagai maklumat yang
secara tidak langsung memberikan gambaran mengenai keadaan bandar raya ini satu
ketika dahulu.
Anda juga pastinya bagaikan tidak percaya tatkala melihat
gambar gergasi Kuala Lumpur pada 1888 yang memenuhi satu sudut di ‘Memories of
Kuala Lumpur’.
Cukup mengimbau kembali sejarah Kuala Lumpur, sesuatu
yang menakjubkan menanti anda di tingkat dua bangunan berusia 116 itu di ‘Kuala
Lumpur City Model’.
Menerusi tayangan video ‘Discovery The City’, anda
berpeluang melihat keseluruhan bandar raya Kuala Lumpur lengkap dengan setiap
bangunan, rumah dan apa juga pembangunan yang ada menerusi model yang cukup
unik.
Lebih menarik, anda juga dapat melihat bangunan yang
sedang dan akan dibina di dalam ‘Kuala Lumpur City Model’ ini.
Selesai sesi melihat Kuala Lumpur secara menyeluruh
dengan model bangunan berskala kecil, anda pastinya sekali lagi akan kagum saat
turun kembali ke tingkat satu dengan melihat ‘Dataran Merdeka Diorama Model’.
Di ruangan ‘The Making of Arch’, anda dapat melihat
sendiri bagaimana kepakaran setiap pekerja berpengalaman menghasilkan
cenderamata yang diperbuat daripada kayu.
Ketelitian mereka membuat setiap cenderamata yang cukup
ekslusif itu benar-benar membuatkan anda mengagumi mereka.
Puas melihat cenderamata ARCH yang diangkat oleh Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur sebagai Cenderamata Rasmi Kuala Lumpur, anda juga
berpeluang mencuba sendiri bagaimana mencantumkan sesuatu cenderamata sehingga
menjadi satu karya disamping membeli pelbagai barangan sebagai penutup kepada
kunjungan ke lokasi yang disenaraikan sebagai 10 tarikan utama di Kuala Lumpur
ini.
Untuk keterangan lanjut, layari laman sesawang
www.klcitygallery.com.
Artikel ini disiarkan MYMETRO ONLINE pada : 2014/02/13
Tiada ulasan:
Catat Ulasan