Kaherah: Ahli arkeologi
Sepanyol menemui mumia berusia 3,600 tahun dalam keranda kayu dengan lukisan
bulu pelepah di bandar Luxor, Mesir, kelmarin.
Keranda dengan ketinggian dua
meter dan 50 sentimeter lebar itu berada dalam keadaan baik dan warnanya masih
belum pudar. Menteri Sejarah Purba Mesir, Mohamed Ibrahim berkata lukisan
seperti itu jarang ditemui pada keranda lama.
“Keranda berkenaan dari zaman
dinasti ke-17 iaitu 1,600 tahun Sebelum Masihi,” kata pengarah Jabatan
Tinggalan Sejarah Firaun kementerian berkenaan, Ali El-Asfar.
KERANDA kayu yang berusia 3,600
tahun ditemui ahli arkeologi Sepanyol di Luxor, kelmarin.
“Berdasarkan pemeriksaan awal
ke atas keranda berkenaan, pemiliknya mungkin pembesar di zamannya,” katanya.
Mengikut kepercayaan zaman
Firaun ukiran hieroglif yang terdapat pada keranda bertujuan memudahkan
perjalanan hidup pemiliknya selepas mati.
Ukiran bulu pelepah
melambangkan dewi undang-undang Mesir silam, Maat yang dipercayai menimbang
hati si mati dengan bulu pelepah bagi menentukan kedudukan mereka selepas mati.
Ia ditemui di tebing barat
Luxor berhampiran makam pentadbir gudang Ratu Hatshepsut dari pentadbiran
dinasti ke-18 yang memerintah Mesir dari tahun 1502 hingga 1482 Sebelum Masihi.
Pasukan arkeologi Sepanyol yang
sudah membuat kajian di Luxor selama 13 tahun, turut menemui keranda kayu yang
menempatkan mumia kanak-kanak berusia lima tahun dari dinasti ke-17 tahun lalu.
- AFP
Artikel ini disiarkan pada :
2014/02/15
MYMETRO ONLINE 15.2.14
Tiada ulasan:
Catat Ulasan