Jumaat, 31 Oktober 2014

Malaysia menang kes pertikaian tanah KTM




01 November 2014 2:10 AM
PUTRAJAYA 31 Okt. – Pertikaian berhubung cukai tanah yang mengancam projek usaha sama antara kerajaan Malaysia dan Singapura membabitkan tanah milik KTM Berhad di Singapura telah dimuktamadkan dengan Mahkamah Tetap Timbang Tara di The Hague, Belanda semalam memutuskan bahawa isu itu memihak kepada Malaysia.

Mahkamah Timbang Tara dalam keputusannya semalam berhujah bahawa tidak ada cukai tanah tambahan perlu dibayar oleh syarikat usaha sama antara Khazanah Nasional Bhd.-Temasek Holdings Ltd iaitu M+S Pte Ltd, dengan perkongsian 60:40.

Pertikaian tentang cukai itu timbul berikutan perbezaan tafsiran terhadap perjanjian berkaitan mercu tanda itu pada 2010 yang mana Malaysia bersetuju menyerahkan beberapa bidang tanah milik KTM di Singapura melalui satu pertukaran tanah yang membawa kepada pembentukan syarikat M+S Pte Ltd. bagi melaksanakan projek-projek utama di Marina South dan kawasan Ophir-Rochor.

Tanah-tanah KTM itu ialah di Tanjong Pagar, Kranji, Woodlands dan Bukit Timah. Malaysia telah bersetuju bahawa M+S perlu menanggung bayaran pembangunan bagi tanah di Bukit Timah, tetapi bukan untuk tiga bidang tanah yang lain.

“Kementerian Pembangunan Nasional Singapura mentafsirkan bayaran pembangunan sebagai cukai ke atas nilai tanah yang telah ditingkatkan berikutan kelulusan kerajaan bagi pembangunan dengan nilai yang lebih tinggi,” lapor Business Times Singapura.

Mahkamah The Hague memutuskan bahawa M+S tidak dipertanggungjawabkan untuk menanggung bayaran pembangunan ke atas tanah-tanah Keppel, Kranji dan Woodlands jika tanah-tanah itu telah dilaburkan dalam M+S dan jika M+S telah memajukan tanah-tanah itu memenuhi keperluan penggunaan tanah yang ditetapkan.

Dalam satu kenyataan bersama, semalam, kedua-dua kementerian luar kedua-dua negara berkata: “Singapura dan Malaysia berpuas hati dengan proses penyelesaian dan mengesahkan bahawa kedua-dua negara ditawarkan peluang untuk membentangkan kes mereka berhubung isu itu.

“Singapura dan Malaysia telah bersetuju untuk mematuhi dan melaksanakan sepenuhnya keputusan Tribunal itu.”

Channel News Asia melaporkan bahawa Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menyambut baik keputusan mahkamah itu dengan berkata, beliau “gembira Singapura dan Malaysia telah mampu menyelesaikan pertikaian itu secara adil dan baik”.
- sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/malaysia-menang-kes-pertikaian-tanah-ktm-1.19328#sthash.ISHQpxrV.dpuf

Rabu, 22 Oktober 2014

Pejuang sastera yang tiada galang ganti



Oleh ZAMRI RAMBLI dan
KHADIJAH MOHAMAD NOR
rencana@kosmo.com.my
 
Tiga adik-beradik Hussein dalam susur galur kesu sasteraan dan seni budaya negara begitu masyhur. Datuk Abdullah Hussein merupakan penulis dan novelis yang diangkat sebagai Sasterawan Negara kelapan, manakala Allahyarham Datuk Ibrahim Hussein pula seorang pelukis tersohor yang mengharumkan nama Malaysia ke seanterio dunia.

Bagaimanapun, istimewanya Profesor Emeritus Tan Sri Ismail dalam keluarga Hussein ialah beliau me rangkumkan ranah kedua-dua adik-beradiknya iaitu jalur kesusasteraan, bahasa dan kebudayaan untuk mendakap erat dalam dirinya.

Dalam seluruh hidupnya, Allahyarham Ismail mengabdikan diri untuk memperjuangkan bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu, bukan sahaja di Malaysia, bahkan nun jauh sampai ke tanah Afrika.

Pemikiran Ismail cukup jelas jika diamati daripada ungkapannya dalam pelbagai konvensyen, gagasan mahupun penulisan iaitu memartabatkan kesusasteraan bahasa Melayu ke setiap penjuru dunia.

Maka tidak hairanlah, gerakan pemikiran beliau berjaya menyatupadukan rumpun bangsa Melayu menerusi gagasan seperti Pertemuan Sasterawan Dunia, Pertemuan Sasterawan Nusantara dan Pertemuan Penulis Asia Tenggara.

Handalan sastera

Selain itu, beliau turut menganjurkan idea Simposium Kebudayaan Melayu di Vietnam, Yunan, China dan Cape Town, Afrika Selatan selain Persidangan Dunia Melayu Dunia Islam yang menggabungkan negara-negara seperti Indonesia, Kemboja, China, Thailand, Filipina, Australia dan Madagaskar.

Kehebatan pemikiran Ismail memperikat kukuh dan menghembus nafas baharu bahasa Melayu amat dikagumi dunia Melayu yang menganugerahkan beliau dengan gelaran Pendeta pada Simposium Dunia Melayu di Sri Lanka pada tahun 1985.

ALLAHYARHAM Ismail (depan kiri) yang menghidap parkinson sejak tiga tahun lalu bergambar bersama keluarganya. Foto ini dirakamkan pada Mei lalu.

Namun malam kelmarin, pencinta kesusasteraan seluruh dunia tergamam hiba menerima perkhabaran duka pemergian Ismail yang menghembus nafas terakhir pada usia 82 tahun di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Sri Rugayah Abdul Rashid, 76, empat orang anak dan lima orang cucu.

“Dia adalah hero saya kerana kehandalannya dalam dunia sastera. Allahyarham tidak pernah lokek ilmu.

“Hormatnya saya kepada Tan Sri, sehinggakan saya tidak pernah bergurau senda dengannya kerana menganggap beliau sebagai seorang guru,” ujar bekas Menteri Pertanian yang juga mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid ketika ditemui pada majlis pengebumian jena zah Allahyarham di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Selain Sanusi, tokoh sasterawan negara, A. Samad Said turut mengagumi dan menghargai ketokohan Allahyarham.

Ungkap Pak Samad, Ismail ialah tokoh sastera, bahasa dan budaya yang sangat gemilang pada zamannya.

“Saya kehilangan seorang sahabat. Dia seorang Bapa Persuratan Melayu dan sewajarnya Allahyarham diberi penghargaan atas segala sumbangan hebat beliau,” ujar Pak Samad ketika ditemu bual Kosmo! semalam.

Ternyata sebelum Ismail me ngangkat gagasan idea sastera dan budaya Melayu di peringkat antarabangsa, beliau terlebih dahulu memahat nama dan menyentuh hati segenap lapisan masyarakat di dalam negara.

Dilahirkan di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah pada tanggal 30 Januari 1932, Ismail mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Limau Dalam sebelum menyambung pelajaran di Sekolah St. Michael, Alor Setar dan Maktab Sultan Abdul Hamid.

SULTAN ABDUL HALIM menyampaikan sepersalinan baju Melayu kepada Ismail pada majlis penyampaian Anugerah Khas Gapena Seri Cendekia Mulia di Alor Setar, Kedah pada tahun 2002.

Dibesarkan dalam keluarga yang susah, Ismail hidup sama se perti anak-anak kampung lain yang gemar bermain layang-layang, gasing atau melastik burung. Namun, ayahnya segera menangkap minat Ismail yang gemar membaca buku sehingga ketajaman pengetahuannya membo lehkan dia mendapat 5A dalam Pe periksaan Senior Cambridge (Tingkatan lima).

41 tahun mengetuai Gapena

Malah, beliau dikatakan terlebih dahulu mengambil jurusan Sains, tetapi kemudian memilih Kesusaste raan Melayu di Universiti Malaya (UM) dari tahun 1955 hingga 1959. Kepin taran Ismail membolehkan dia menjadi anak Melayu pertama yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Pe ngajian Melayu Kelas Pertama.

Beliau menyambung pengajian di pe ringkat Sarjana di UM pada tahun 1961 dan seterusnya ke peringkat Doktor Falfasah di Universiti Leiden, Belanda.

Ismail kemudian menjadi pensyarah di Universiti Malaya dan dilantik sebagai Profesor Kesusasteraan Me layu pada tahun 1971. Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial dan kemudian menjadi Ketua Jabatan Pe ngajian Me layu dari tahun 1978 hingga 1984.

Namun, salah satu jawatan yang paling dekat di hati Ismail ialah Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) yang dipegang beliau selama 41 tahun dari 1971 sehingga 2012.

Sewaktu memegang jawatan itulah selain selaku seorang tokoh akademik, Ismail berjaya mengembang dan me ngangkat kesusasteraan serta budaya Melayu bukan sahaja di Malaysia, bahkan di pelosok dunia.

Sekadar menyebut beberapa pengiktirafan yang diterima Ismail antaranya Darjah Setia Diraja Kedah membawa gelaran Datuk pada tahun 1980, Ijazah Kehormat Doktor Honoris Causa daripada Universitas Indonesia pada tahun 1984, gelaran Pendeta pada Simposium Dunia Melayu di Sri Lanka pada tahun 1985, Darjah Pang lima Setia Mahkota oleh Yang Dipertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri pada tahun 1993 dan anugerah Profesor Emeritus daripada Universiti Malaya pada tahun 1997.

Namun, bagi mereka yang mengenali Ismail secara dekat, susunan anugerah itu tidak pernah menjadikan beliau individu yang bermegah atau meninggi diri.

Ujar anak kedua Allahyarham, Ria Ismail, 47, bapanya mempunyai karakter happy go lucky tetapi tegas dalam mendidik anak-anak. Beliau juga tidak pernah kisah mengenai status dan pangkat sehinggakan mudah didekati sesiapa sahaja.

ALLAHYARHAM Ismail (dua dari kiri) bersama rakan seperjuangan dalam dunia kesusasteraan ketika menghadiri sebuah program penyair terkenal dan sasterawan negara, Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala di ibu negara. Turut kelihatan Pak Samad Said (kanan).

“Dari segi penampilan ayah sangat ringkas. Ayah boleh keluar berjalan dengan baju T dan seluar panjang sehinggakan orang mungkin tidak pernah menyangka dia seorang tokoh sasterawan dan pendeta bahasa,” kata anak keduanya itu.

Sementara itu, anak saudara Ismail, Roosmawaty Ibrahim 56, turut menceritakan bagaimana Allahyarham merupakan seorang individu yang gemar menolong orang susah.

“Dulu bila Pak Anjang (gelaran dalam kalangan anak saudara) pulang ke kampung, beliau akan pastikan but keretanya dipenuhi dengan puluhan tin Milo, Ovaltin dan makanan lain untuk diberikan kepada sanak saudara,” katanya sambil memberitahu Ismail gemarkan makanan tradisi Kedah seperti gulai ikan Kedah, pulut durian dan ikan terubuk.

Mengimbau kenangan bersama Allahyarham, kata Roosmawaty, bapa saudaranya itu sangat mementingkan pendidikan sehingga sanggup menanggung segala perbelanjaan persekolahannya sewaktu belajar di Sekolah Menengah Convent Assunta, Petaling Jaya.

Bahkan, Roosmawaty sukar melupakan bagaimana hampir setiap hari Ismail akan menyuruh dia membaca akhbar berbahasa Inggeris dan menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu.

“Mula-mula memang saya marah bila kena buat macam itu, tapi hakikatnya itulah kehebatan beliau dalam mendidik yang akhirnya membantu saya melanjutkan pelajaran peringkat A-Level di Kolej Oxford dan Sarjana Muda dalam bidang Sains di Universiti Coventry, United Kingdom,” kata Roosmawaty yang kini bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar di Sekolah Menengah Sungai Kapar Indah, Klang, Selangor.

Yang pasti, kehebatan pemikiran dan idea Allahyarham Ismail begitu mudah menyentuh hati sesiapa sahaja, bukan hanya ahli keluarga, kawan, pelajar, pencinta sastera, para ilmuan, tokoh politik, bahkan segenap lapisan masyarakat.
SUMBER-KOSMO ONLINE 22/10/14
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1022&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3Guq0Da6C

1.Bincangkan susun lapis masyarakat dalam sistem sosial di Vietnam pada abad ke-19.[20]




Pengenalan
      Susun lapis masyarakat Vietnam berbentuk piramid. Setiap lapisan mencerminkan kedudukan dalam masyarakat Vietnam.Dalam susun lapis masyarakat vietnam, golongan cendekiawan-pentadbir (Quan atauMandarin) berada di kedudukan paling tinggi selepas Maharaja.Ini diikuti dengan kelas petani, petukang, dan saudagar pada lapisan berikutnya.
ISI-ISI PENTING
1.Lapisan paling atas
      Maharaja menduduki lapisan teratas dalam susun lapis masyarakat Vietnam. Maharaja berkuasa mutlak dalam bidang pemerintahan, kehakiman, percukaian dan ekonomi. Institusi maharaja di Vietnam dipengaruhi oleh budaya dan falsafah China.Hubungan antara isntitusi maharaja Nguyen amat rapat.
Ini kerana Vietnam pernah berada di bawah pemerintahan langsung China antara tahun 111 S.M-939 Masihi. Maharaja Gia Long hingga Maharaja Thien-tri menerima mohor perlantikan daripada wakil Peking yang berada di Hanoi.

2.Lapisan kedua
       Secara keseluruhannya, terdapat dua kumpulan besar dalam masyarakat Vietnam, iaitu golongan cendekiawan-pentadbir dan petani-pengeluar. Terdapat dua kumpulan penting dalam masyarakat vietnam, iaitu kumpulan sami Buddha dan sekumpulan kecil peniaga Cina yang berpengaruh. Dalam masyarakat Vietnam, taraf pendidikan, ijazah, dan jawatan dalam pentadbiran awam serta kuasa merupakan pertimbangan penting dalam membezakan status antara seseorang individu dengan individu yang lain.

       Pendidikan berasaskan ajaran Confucius menjadi kayu ukur yang mengasingkan golongan petani dengan golongan Quan (Matdarin). Mereka mempunyai kedudukan dan kuasa yang tinggi kerana berpendidikan Confucius.

      Dalam masyarakat Vietnam, hanya kumpulan cendekiawan sahaja yang mendapatpendidikan ke peringkat yang lebih tinggi. Bagi rakyat biasa, mereka hanya diberikan latihan sivik atau pendidikan minimum agar mereka memahami undang-undang dan peraturan sosial seperti cara menghormati golongan yang lebih tua, menghormati adat istiadat, upacara kampung, dan keluarga.

       Keanggotaan dalam pentadbiran negara bersifat eksklusif kerana pencapaian akademik dalam klasik Confucius dan bahasa Cina sama ada di peringkat daerah atau di pusat hanya terhad kepada individu yang mempunyai harta dan waktu untuk belajar sahaja. Seorang anak kampung yang miskin boleh maju tetapi sokongan daripada seorang Mandarin amat perlu untuk memastikan kejayaannya. Ini menunjukkan betapa kuat pengaruh golongan Mandarin dalam sistem pentadbiran Vietnam.

       Sebagai satu kumpulan, Quan mempunyai bidang kuasa yang besar dan berpengaruh dalam masyarakat.. Mereka bertanggungjawab menentukan beberapa aspek kehidupan masyarakat seperti keluasan rumah, bentuk, dan warna pakaian yang mesti dipakai, serta upacara keagamaan yang berkaitan dengan pengebumian.

       Secara berkumpulan, Quan tidak ada persaingan kerana mereka mengendalikan semua fungsi penting negara seperti peperangan, kebajikan, pentadbiran, dan adat istiadat. Mereka juga menguasai pentadbiran agama melalui sistem patron-klien.Namun, susun lapis masyarakat Vietnam pada abad ke-19 tidak lagi terdiri daripada golongan bangsawan kerana pembaharuan yang dilaksanakan oleh Maharaja Gia Long ke arah pembentukan sistem pemusatan kuasa melalui birokrasi pusat.

       Maharaja Gia Long telah menghapuskan keistimewaan yang dimiliki oleh golongan bangsawan dan kerabat diraja seperti pemilikan ladang yang besar dan pemungutan cukai kampung. Golongan bangsawan yang hilang keistimewaan tradisi dibayar gaji dalam bentuk wang dan beras. Mereka juga tertakluk di bawah kuasa Maharaja.

3.Lapisan ketiga.
      Rakyat biasa yang pandai dan berpengetahuan dalam ajaran Confucius berpeluan menjadi pegawai tnggi awam atau kerajaan. Ini membuktikan mobiliti wujud dalam sistem sosial di Vietnam. Rakyat biasa melalukan aktiviti seperti menenun kain atau menghasilkan tembikar.

Petani pula  menduduki  merupakan kumpulan terbesar dalam masyarakat Vietnam. Golongan petani berada di lapisan ketiga kerana memainkan peranan penting kerana sumbangan mereka dalam ekonom vietnam yang berasaskan pertanian.
Petani mengusahakan ekonomi sara diri iaitu menanam padi sawah bagi memenuhi keperluan rakyat.
Selain dari petani golongan yang menduduki lapisan ketiga ialah petukang dan pedagang.

Kesimpulan
Setiap anggota lapisan masyarakat memainkan peranan penting dalam membangunkan pentadbiran , ekonomi dan sosial negara Vietnam. Setelah campurtangan British melalui dasar pengilhakan institusi beraja dihapuskan. Golongan pembesar mandarin juga turut terhapus kerana Perancis tidak mengiktiraf pencapaian akdemik berasaskan ajaran Cofucius.

Selasa, 21 Oktober 2014

BUAT kali pertama, imej sebenar Firaun Tutankhamun dikeluarkan


BUAT kali pertama, imej sebenar Firaun Tutankhamun dikeluarkan
BUAT kali pertama, imej sebenar Firaun Tutankhamun dikeluarkan sekumpulan saintis menggunakan kaedah penggabungan imej. – AGENSI

Buat pertama kali, para saintis berjaya melakar bentuk badan dan wajah sebenar Firaun Tutankhamun atau lebih dikenali sebagai Raja Tut selepas 3,300 tahun beliau meninggal dunia.

Mail Online melaporkan, lakaran yang dihasilkan melalui penggabungan lebih daripada 2,000 imej yang diimbas menggunakan kaedah ‘autopsi maya’ itu menunjukkan Raja Tut memiliki saiz pinggul yang kecil, bergigi jongang dan berkaki tempang.

Para saintis berpendapat, Raja Tut yang memerintah Mesir pada tahun ke 14 sebelum Masihi dan gemarkan perlumbaan kereta kuda, berjalan menggunakan tongkat sepanjang hayatnya.

Saintis dari Institut Mumia dan Zaman Batu Itali, Albert Zink berkata, Raja Tut dilahirkan cacat kerana mengalami masalah genetik dan berdasarkan kajian asid deoksiribonukleik (DNA) mendapati, masalah itu wujud selepas bapanya iaitu Raja Akhenaten menjalinkan hubungan kelamin bersama kakaknya sendiri.

Pensyarah Kolej Imperial London, Hutan Ashrafian berkata, perbuatan sumbang mahram telah menyebabkan bayi yang dilahirkan tidak sempurna.

“Ahli keluarga sebelum kelahiran Raja Tut semuanya meninggal dunia pada usia yang lewat, berbanding adik-beradik beliau yang meninggal dunia awal dan ini berkaitan rapat dengan masalah genetik,” jelas Ashrafian.

Fakta berkenaan sekali gus membuktikan bahawa Raja Tut meninggal dunia bukan disebabkan kemalangan ketika menyertai perlumbaan kereta kuda tetapi disebabkan oleh masalah kesihatan.

Raja Tut mula popular selepas mumianya dijumpai pada tahun 1922 bersama barang kemas dan artifak, termasuk topeng emas di sisinya.

Beliau menjadi firaun ketika berusia 10 tahun dan hanya sempat memerintah selama sembilan tahun sebelum meninggal dunia pada usia 19 tahun.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/saintis-dedah-wajah-sebenar-tutankhamun-1.15148#sthash.LsVNUpZh.dpuf