Khamis, 26 Januari 2017

Tongkang purba menjadi tumpuan


 

ARKIB : 20/06/2000
Tongkang purba menjadi tumpuan
MOHD. NASIR (tengah) memegang satu serpihan kayu yang ditemuinya dipercayai sebahagian daripda struktur tongkang purba berusia 200 tahun di Parit 3, Sungai Manik, Teluk Intan semalam.

TELUK INTAN 19 Jun - Sebuah tongkang purba yang dipercayai berusia lebih 200 tahun ditemui di sebuah kawasan berpaya di Parit 3, Sungai Manik, dekat sini, baru-baru ini.

Tongkang berukuran kira-kira 12 meter panjang, 1.5 meter lebar dan 1.2 meter tinggi itu tertanam sedalam lebih dua meter di tanah paya itu.

Ia dijumpai pada 2 Jun lalu ketika kerja-kerja merata tanah dan mengorek parit menggunakan jentera kaut dijalankan untuk tujuan penanaman kelapa sawit.

Turut dijumpai berdekatan kawasan itu ialah satu serpihan mangkuk kaca dipercayai khazanah purba yang mempunyai kaitan dengan penemuan tongkang itu.

Berikutan itu, kawasan tersebut kini menjadi tumpuan umum, khususnya penduduk sekitar yang ingin melihat lebih dekat tongkang berkenaan.

Wakil pemilik tanah berkenaan, Mohd. Nasir Dahaman, 52, ketika ditemui berkata, beliau dan pemandu jentera kaut yang bekerja di kawasan itu tidak menyangka serpihan kayu tersebut adalah sebahagian daripada struktur tongkang purba.

Menurutnya, ia hanya disedari apabila jentera berkenaan gagal menarik keluar sebahagian lagi struktur tongkang yang tertanam di dalam tanah milik anak menantunya itu.

''Semasa jentera cuba menaikkan kayu yang tertanam, kita nampak bahagian permukaan tanah memanjang kira-kira 12 meter bergerak seperti ada objek panjang di dalam tanah.

''Selepas itu baru kita nampak bahagian kepala tongkang terjungkit keluar dan kemudian saya minta supaya dihentikan kerja tersebut,'' katanya kepada Utusan hari ini.

Tinjauan di lokasi penemuan mendapati, antara serpihan struktur yang dijumpai termasuklah sebahagian dinding tepi dan bahagian penyangkut dayung.

Struktur tongkang didapati langsung tidak menggunakan sebarang paku, sebaliknya memasang pasak sedalam antara tujuh dan 10 sentimeter bagi menyambungkan setiap rangka binaan dipercayai daripada kayu merbau.

Sumber arkeologis memberitahu, berdasarkan fakta- fakta itu, tongkang itu dipercayai berusia lebih 200 tahun kerana ia mungkin dibina pada era sebelum penggunaan paku iaitu kira-kira 150 tahun lalu.

Mohd. Nasir memberitahu, penemuan itu telah dimaklumkan kepada pihak Jabatan Muzium dan Antikuiti di Kuala Lumpur serta Jabatan Muzium Perak di Taiping untuk tujuan kajian.

Katanya, beberapa pegawai dari kedua-dua jabatan itu melawat kawasan penemuan itu dan memaklumkan akan menjalankan kajian arkeologi tidak lama lagi.

''Saya telah diminta supaya tidak meneruskan kerja menggali di kawasan penemuan struktur kayu yang dipercayai tongkang purba itu.

''Malah seorang pegawai telah mengambil serpihan mangkuk yang saya temui untuk tujuan kajian,'' jelasnya.

Mohd. Nasir juga meminta orang ramai yang membawa pulang serpihan kayu dari kawasan penemuan itu supaya memulangkannya semula bagi membolehkan kajian sejarah dijalankan oleh pihak berkuasa.

''Saya tidak boleh halang mereka ambil kerana saya tidak ada kuasa manakala saban masa orang datang seperti pesta di kawasan penemuan tongkang purba itu,'' ujarnya.

Sementara itu pihak Jabatan Muzium Perak ketika dihubungi memberitahu, kerja-kerja menyelamat dan mengkaji penemuan itu akan dijalankan oleh pihak Jabatan Muzium dan Antikuiti, Kuala Lumpur.

Menurut jurucakapnya, sekumpulan pengkaji sejarah diketuai oleh Kurator Arkeologi Jabatan Muzium dan Antikuiti, Zulkifli Jaafar akan mengadakan kajian mengikut Akta Benda Purba 1976 di kawasan itu dalam tempoh terdekat ini.

Oleh: RAMLI ABDUL KARIM

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4WvFa1twe © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 25 Januari 2017

Jabal Ajyad perkampungan komuniti Melayu di Mekah

 
Gelagat tiga kanak-kanak berketurunan Melayu yang dirakam di perkampungan Melayu Mekah.

Mekah merupakan sebuah kota utama di Arab Saudi yang menjadi tumpuan umat Islam dari seluruh dunia untuk menunaikan ibadah haji dan umrah.

Mekah juga merupakan kota suci bagi umat Islam dan tempat lahirnya nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW. Malah, Masjidilharam yang menempatkan Kaabah iaitu kiblat bagi orang Islam juga sentiasa menerima kunjungan puluhan ribu orang setiap hari untuk melaksanakan pelbagai ibadah.

Namun, di sebalik kunjungan ke Mekah untuk melaksanakan ibadah di masjid agung itu, tidak ramai para jemaah termasuk dari Malaysia yang mengetahui bahawa terdapat sebuah penempatan masyarakat Melayu di kota Mekah.

“Hampir setiap hari, saya akan bertemu dengan jemaah umrah yang datang dari Malaysia kerana sebahagian daripada mereka mengambil pakej untuk mendiami hotel-hotel yang terletak kurang 500 meter dari Masjidilharam.

“Apabila saya bercerita tentang kewujudan sebuah perkampungan masyarakat berketurunan Melayu di Mekah, sebahagian besar mereka tertanya-tanya adakah ia benar-benar wujud.

“Sebenarnya, perkampungan itu memang wujud dan ia terletak tidak jauh dari sini (Masjidilharam),” jelas Saifudin Masodi, 55, yang merupakan warga Malaysia berasal dari Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Saifudin berpindah ke Mekah bersama keluarganya sejak lapan tahun lalu selepas mendapat tawaran meluaskan kerjanya sebagai pensyarah di Universiti Umm Al-Qura di kota itu.

Lereng bukit

Bagaimanapun, beberapa tahun lalu, Saifudin mengambil keputusan untuk menceburi bidang perniagaan. Kini, dia merupakan antara warga asing di kota Mekah yang menjalankan perniagaan perhotelan di sekitar Masjidilharam secara tender.

Bercerita tentang perkampungan Melayu di Mekah, Saifudin memberitahu, ia terletak di kawasan lereng bukit di Jabal Ajyad iaitu kurang satu kilometer dari Masjidilharam.

Terdapat antara 5,000 hingga 6,000 penduduk di perkampungan itu yang kesemuanya berketurunan Melayu berasal dari Nusantara termasuk Malaysia, Indonesia dan Thailand. Mereka merupakan antara kira-kira 40,000 hingga 50,000 orang Melayu yang menetap di sekitar Mekah.


Perkampungan Melayu di Jabal Ajyad yang terletak kira-kira satu kilometer dari Masjidilharam.

“Orang Melayu sebenarnya telah bermastautin di Mekah sejak kira-kira 200 tahun lalu dengan kebanyakannya datang untuk menunaikan ibadah haji dan umrah sebelum mengambil keputusan menetap terus di situ bagi mendalami ilmu agama.

“Ada antara mereka yang berjaya menjadi ulama Nusantara tersohor seperti Sheikh Daud al-Fathani, Syeikh Abdus Samad Al-Falembani dan Syeikh Mohammad Said Al-Linggi yang sangat terkenal di Mekah suatu ketika dahulu.

“Dahulu, penempatan masyarakat Melayu adalah di sekitar Masjidilharam iaitu berhadapan Pintu Raja Fahad dan antara aktiviti yang dilaksanakan oleh mereka ialah menguruskan kemasukan jemaah haji dari negara masing-masing,” kata Saifudin.

Ketika itu katanya, penempatan masyarakat Melayu di Mekah dikenali dengan beberapa nama seperti Rumah Selangor, Rumah Kelantan, Rumah Kedah dan Rumah Pattani mengikut asal-usul keluarga mereka.

Namun jelas beliau, selepas pemerintah Arab Saudi membuat keputusan untuk melaksanakan pembesaran Masjidilharam secara besar-besaran, penempatan tersebut terpaksa dipindahkan ke beberapa kawasan lain dan antara lokasi yang ditawarkan ialah di Jabal Ajyad yang menjadi penempatan sebahagian daripada mereka sehingga kini.

Malah katanya, keputusan kerajaan Arab Saudi memperkenalkan Muassasah Thawaffah iaitu sebuah badan khas yang diwujudkan untuk melayani jemaah haji yang datang dari luar Arab Saudi sejak tahun 2000 telah menghapuskan peranan yang dimainkan oleh masyarakat Melayu di Mekah dalam menguruskan kemasukan jemaah haji setiap tahun.

Justeru katanya, sebahagian besar masyarakat Melayu Mekah terpaksa menceburi kerjaya lain bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka di kota suci itu.

Cara hidup

Dalam pada itu, seorang pemuda berketurunan Melayu Pattani, Hassan Ismail Abdul Latif, 26, ketika ditemui memberitahu, sebahagian besar daripada penduduk di Perkampungan Melayu di situ sudah meninggal dunia selain ada antara mereka yang mengambil keputusan untuk pulang ke negara asal.

“Kami masih mengamalkan cara hidup Melayu termasuklah cara pakaian dan hidangan makanan.

“Malah, pertuturan seharian kami di sini juga masih menggunakan bahasa Melayu terutama ketika berkumpul semasa kami. Cuma, apabila bertemu dengan bukan Melayu, kami lebih kerap menggunakan bahasa Arab kerana ia merupakan medium komunikasi utama di sini,” katanya yang dilahirkan di Mekah dan memiliki taraf pemastautin tetap Arab Saudi.

Kata Hassan Ismail lagi, kanak-kanak berketurunan Melayu di Mekah juga dibenarkan untuk menerima pendidikan di sekolah-sekolah Arab milik kerajaan.

Justeru, tidak hairanlah jika kesemua orang Melayu di Mekah fasih berbahasa Arab.

– RIZAM ZAKARIYA

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz4WoxAojxO Hakcipta terpelihara

Selasa, 24 Januari 2017

SUMBANGAN KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB

oleh-Ahmad bin Yaakob
Nama sebenar Umar ialah Umar bin al-Khattab bin Naufal. Beliau dilahirkan pada tahun 584M dan meninggal dunia pada tahtn 644M/123H.Khalifah Umar bin al-Khattab telah dicalonkan oleh Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dengan persetujuan para sahabat.Pemilihan Umar bin al-Khattab dilalukan kerana ketokohan beliau dalam bidang agama dan politik.
SUMBANGAN
a) Penubuhan  majlis syura
b) Pembahagian  wilayah
c) Dasar pelantikan  gabenor  dan pegawai-pegawai  kerajaan surat pelantikan,  senarai tugas, pengisytiharan  harta  sebelum dan selepas pelantikan.
d) Mengasaskan  birokrasi Islam - menubuhkan jabatan-jabatan kerajaan  seperti Diwan al-Jund dan Diwan al-Kharaj
e) Memperbaharui  undang-undang  pentadbiran tanah
f)Mengemaskini  sistem kewangan dan perbendaharaan (Baitulmal)
g) Sistem gaji
h) Kehakiman
pelantikan  kadi di setiap wilayah
i)  Pendidikan dan keilmuan
j)  Memajukan  bidang ekonomi termasuk bidang pertanian seperti pembinaan empangan  dan terusan
k) Keadilan  sosial
l) Memperkenalkan  takwim Hijrah.[1]

ii.Sumbangan Khalifah Umar al-Khattab
1.Politik dan Pentadbiran
i.Pentadbiran wilayah
Beliau telah membahagikan wilayah Islam kepada beberapa bahagian dan melantik pegawai yang bertugas, iaitu gabenor, setiausaha dan ketua-ketua jabatan.Pegawai yang dilantik akan diperiksa harta dan keperibadiannya untuk mengelakkan berlaku salah guna kuasa.Setiap tahun, pegawai itu akan datang ke Makkah untuk membuat laporan.[2]
Pentadbiran tanah
 Tanah-tanah yang dikuasai oleh tentera Islam dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:tanah sawafi-tanah tidak bertuan yang ditadbir oleh pemegang-pemegang amanah yang dilantik daripada golongan ahl al-Ayyam, iaitu golongan peneroka (ahl al-fay). Tanah ini tidak boleh dibeli atau dimiliki oleh sesiapa bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dalam kalangan umat Islam.Tanah dhimmah-tanah bertuan yang ditadbir oleh pemiliknya.[3]
Membentuk Majlis Syura
Majlis Syura, iaitu lembaga atau majlis perundangan negara yang  tertinggi telah ditubuhkan oleh Khalifah Umar bin al-Khattab.Antara tanggungjawab majlis tersebut adalah menentukan polisi negara yang berkaitan dengan hubungan luar dan pemerintahan negara.Majlis Syura juga membincangkan masalah tentang politik, sosial dan keselamatan.Majlis Syura terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Majlis Syura Tertinggi dan Majlis Syura Am. Majlis Syura Tertinggi dianggotai oleh Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, Ali bin Abi Talib, Zaid bin Thabit, Muadh bin Jabal dan Saad bin Abi Waqqas.[4]
Mengasaskan al-Diwan
Al-Diwan ialah daftar atau buku catatan.Diwujudkan untuk mencatatkan nama-nama tentera dan keluarga mereka serta jumlah sara hidup masing-masing.Bayaran sara hidup dibuat berdasarkan jasa seseorang terhadap Islam, terutama semasa proses peluasan wilayah.
Mengasaskan Takwim Hijrah
Beliau menjadikan tahun Hijrah Rasulullah s.a.w ke Yathrib (Madinah) sebagai tarikh permulaan perkiraan kalendar bagi umat Islam.Pengenalan takwim Hijrah memudahkan catatan peristiwa-peristiwa selepasnya.Takwim ini memudahkan umat Islam mengingati sesuatu peristiwa dan membuat catatan mengenainya.[5]

Sosial
Memperkembang Pelajaran al-Quran
Antara langkah yang diambil untuk mengembangkan pelajaran al- Quran adalah dengan menyediakan guru-guru untuk mengiatkan al-Quran. Guru-guru dihantar ke merata-rata tempat dengan ganjaran gaji yang lumayan.Pada peringkat wilayah, sekolah-sekolah telah ditubuhkan di masjid-masjid untuk mengajarkan pelajaran al-Quran.Golongan yang menghafaz seluruh kandungan al-Quran akan diberi ganjaran. Umat Islam juga diwajibkan menghafaz suruh-surah yang tertentu.[6]
Memperbaharui Taraf dan Kedudukan Golongan Hamba
Dalam hal-hal tertentu, taraf golongan hamba akan disamakan dengan tuannya.Bagi menjaga kepentingan sosial, iaitu taraf dan kedudukan golongan hamba dalam masyarakat, satu perubahan telah diadakan.Hamba tidak boleh ditindas manakala hamba yang mempunyai keluarga dilarang daripada dipisah-pisahkan.[7]

Ekonomi
Penubuhan Baitulmal
 Beliau menubuhkan baitulmal kerajaan.Buku kira-kira juga disediakan kewangan negara.
Sumber-sumber kewangan negara kharaj, al-fay' dan usytr, untuk menguruskan hartauntuk mengetahui jumlah ialah zakat, ghanimah, jizyah.
Memajukan Bidang Pertanian
Khalifah Umar bin al-Khattab berusaha meningkatkan hasil pertanian dengan membina tali air dan terusan. Contohnya, Empangan Abu Musa dan Terusan Amir al-Mukminin di Mesir.Terusan Amirul-Mukminin yangmenhubungi Sungai Nil dengan Laut Merah sepanjang 69 batu dari bandar Fustat. Di Iraq beliau telah membina Empangan Abu Musa yang menyambung Sungai Dijlah (Tigris dengan bandar Basrah. Tanah juga telah dikaji selidik bagi menempatkan tanaman-tanaman yang bermutu. Rakyat digalakkan untuk membuka tanah-tanah baharu bagi memperbanyakkan hasilpertanian. Manakala tanah yang tidak dikerjakan akan ditarik balik sekiranya tidak terdapat aktiviti pertanian di dalamnya.[8]

Beliau juga telah mengubah sistem pungutan cukai. Cukai yang dikenakan adalah berdasarkan kesuburan tanah dan juga jenis tanaman. Manakala, peraturan yang tidak adil dan membebankan petani dimansuhkan.[9]



[1]“Institusi Khalifah”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),17.
[2]Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,50.
[3] Ibid.
[iv] Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini,53.
[4] Ibid.
[5] Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,51.
[6] Ibid.
[7]Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2,80. 
[8]Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,54.

Sumbangan khalifah Abu Bakar al-Siddiq 11-13H/632-634M

OLEH- AHMAD BIN YAAKOB
a)Menyelesaikan masalah isu berkaitan kewafatan Nabi Muhammad SAW.
b)Menyelesaikan isu pengganti Nabi Muhammad SAW
c)Menyelesaikan masalah golongan al-Riddah (nabi palsu, golongan murtad dan golongan enggan mengeluarkan zakat.)
d)Menangani ancaman musuh luar khasnya Rom dan Parsi.
e)Memulakan usaha pengumpulan ayat-ayat al-Quran.
f)Menyusun dan mengemaskini pentadbiran.
g)Melaksanakan dasar dan ekspedisi ketenteraan.[1]
1.Khalifah Abu bakar
Nama sebenar Abu Bakar al-Siddiq ialah Abdullah bin Uthman. Beliau berasal dari Bani Tamim. Beliau dilahirkan di Kota Mekah pada tahun 572 dan meninggal dunia pada tahun 634/13H. Kahlifah Abu Bakar mempunyai keperibadian mulia. Beliau tidak minum arak dan melakukan perbuatan keji seperti pemuda lain pada zamannya.[2]Beliau merupakan orang kedua yang terawal memeluk Islam selepas Siti Khadijah isteri Rasulullah SAW. Sekaligus menjadikannya antara sahabat karib Nabi Muhammad SAW.
Sumbangan khalifah Abu Bakar.

a)Menyelesaikan masalah isu berkaitan kewafatan Nabi Muhammad SAW.
Nabi Muhammad SAW tidak meninggalkan sebarang wasiat atau pesanan mengenai bakal penggantinya atau khalifahnya. Sebaliknya Baginda menyerahkan kepada kebijaksanaan para sahabatnya untuk menyelesaikan masalah pemilihan khalifah supaya mereka dan masyarakat Islam lainnya lebih bebas memilih antara mereka yang lebih layak untuk mengisi jawatan tersebut. Sekurang-kurangannya terdapat tiga golongan yang bersaing untuk merebut jawatan khalifah berikutan kewafatan nabi Muhammad SAW, iaitu puak Bani Hasyim,Muhajirin dan Ansar.[3]

      Puak Bani Hashim mengatakan khilafah merupakan institusi suci yang dianugerahkan Allah  kepada Nabi Ibrahim dan keturunannya dan Ali adalah pewaris yang sah. Puak Muhajirin pula mendakwa mereka juga layak menjadi khalifah kerana mereka berketurunan Quraisy dan semuaketurunan Quraisy adalah keturunan Nabi Ibrahim juga. Puak Ansar juga turut bersaing untuk merebut jawatan khalifah kerana jasa dan sumbangan mereka yang besar terhadap Nabi Muhammad SAW dan kaum Muhajirin ketika berhijrah ke Madinah. Pada pendapat mereka jawatan khalifah itu tidak dihadkan kepada ketutunan tertentu sahaja.[4]

      Abu bakar dengan penuh kebijaksanaan menyelesaikan isu kewafatan Nabi Muhammad SAW yang cuba dinafikan oleh Umar al-Khattab. Umar mengatakan bahawa sebahagian kaum munafik yang menyangkakan Rasulullah wafat. Padahal baginda tidak wafat tetapi diangkat ke langit untuk menemui Allah seperti yang pernah berlaku ke atasNabi Isa.Untuk mengelak sebarang kekeliruan Abu Bakar berkata sesiapa yang menyembah Muhammad SAW sesungguhnya Muhammad sudah wafat, tetapi sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya dia sentiasa hidup. Kemudian Abu Bakar membaca sepotong ayat al-Quran daripada surah al-Imran: 144 yang bermaksud bahawa Nabi Muhammad SAW hanyalah seorang rasul seperti rasul-rasul sebelumnya dan mereka semuanya telah wagfat.[5]

b)Menyelesaikan isu pengganti Nabi Muhammad SAW
Selepas kewafatan nabi, beliau menjadi orang tengah dalam menyelesaikan pertikaian antara golongan Muhajirin dengan ansar tentang perlantikan khalifah. Masalah ini timbul kerana;
a.Nabi tidak meninggalkan wasiat sebagai calon pengganti.
b.Terdapat ramai yang bersaing untuk menjadi pemimpin, terutama dalam kalangan Muhajirin, Ansar dan penyokong-penyokong kaum keluarga Nabi Muhammad s.aw termasuk Ali bin Abi Talib.

      Terdapat empat orang sahabat Nabi Muhammad yang dilihat layak memegang jawatan khalifah, iaitu Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Affan dan Ali Abi Talib. Selepas kewafatan Nabi Muhammad diumumkan, golongan Ansar telah memilih Saad Ubaidah sebagai pengganti nabi. Berita ini menyebabkan Abu Bakar dan Umar al-Khattab pergi ke Saqifah Bani Saidah. Namun perlantikan khalifah belum dibuat kerana kaum Aus tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

      Abu Bakar al-Siddiq mencadangan agar ketua yang dilantik mestilah daripada golonan Muhajirin. Malah ada yang mencadangankan supaya dua orang ketua dilantik, tetapi cadangan ini ditolak oleh Umar al-Khattab. Sebelum mereka membuat keputusan Umar al-Khattab telah membaiah Abu Bakar al-Siddiq. Tindakan ini kemudiannya diikuti oleh pihak lain yang terdiri daripada golongan Muhajirin dan Ansar. Ali bin Abi Talib turut membaiah Abu Bakar al-Siddiq. Umat Islam memilih Abu Bakar al-Siddiq  kerana jasa dan pengaruhnya pada zaman Islam.[6]
c)Menyelesaikan masalah golongan al-Riddah
Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w dan Khalifah Abu Bakar memerintah muncul golongan murtad, enggan membayar zakat dan nabi palsu.Keadaan ini berlaku kerana kebanyakan orang Islam yang tinggal di luar kawasan Mekah dan Madinah belum dapat memahami dan menghayati Islam yang sebenar. Setelah Nabi wafat ramai dalam kalangan mereka yang murtad, enggan membayar zakat dan mengakui nabi-nabi palsu.[7]

      Khalifah Abu bakar menyedari kewujudan golongan ini boleh menjadi anasir yang dapat menghancurkan kerajaan Islam. Sebagai langkah untuk mengatasi ancaman tersebut, Khalifah Abu Bakar al-Siddiq telah menghantar para utusan kepada ketua kumpulan-kumpulan tersebut untuk mengajak mereka kembali kepada Islam. Namun hanya sebilnahan kecil sahaja yang menerima seruan tersebut seperti Bani Abd Qais di daerah Bahrain.[8]

Memandangkan  golongan  tersebut enggan  kembali  kepada Islam,Khalifah Abu Bakar al-Siddiq  terpaksa mengambil  tindakan ketenteraan bagi menghadapi  kedegilan  golongan  tersebut.Sebanyak  11 buah pasukan tentera telah ditubuhkan dan diketuai oleh panglima Islam yang terkenal,  iaitu Khalid bin al-Walid.Pasukan  tentera Islam ini telah dihantar  oleh Khalifah  Abu Bakar al-Siddiq  ke luar kawasan Hijazbagi memerangi  golongan penentang  Islam tersebut. Akhimya, gerakan tentera tersebut memperoleh kemenangan  apabila berjaya menundukkan dan mengembalikan  golong an al - Riddah ke pangkuaglslam.

      Panglima  Islam, iaitu Khalid  bin al-Walid telah berjaya membunuh ketua Bani Tamim, iaitu Malik bin Nuwairah. Pengikut Malik bin Nuwairah dari Bani Tamim dan Yarbu' dapat dikembalikan kepada Islam  dan membayar  zakat seperti biasa. Musaylimah  al-Kadhdhab juga berjaya dibunuh oleh beliau. Ini menyebabkan ramai  pengikut  nabi palsu tersebut, iaitu daripada  Bani Hanifah kembali kepada Islam. Begitu  juga dengan  kumpulan yang lain.

      Pasukan  tentera Islam yang dibentuk oleh Khalifah Abu Bakar al-Siddiq akhirnya telah memperoleh  kejayaan.Kejayaan  ini menunjukkan  Khalifah Abu Bakar al-Siddiq telah berjaya menghapuskan semua  anasir yang membahayakan kedudukan Islam. Pasukan tentera yang dibentuk  oleh beliau ini juga kemudiannya  menjadi tulang belakang dalam  menjaga keselamatan  negara dan umat Islam daripada ancaman  musuh.[9]

d)Menangani ancaman musuh luar khasnya Rom dan Parsi.
 Khalifah  Abu Bakar  al-Siddiq juga bertanggungjawab  meluas dan menyebarkan  syiar Islam  ke seluruh Semenanjung  Tanah Arab. Bagi mencapai tujuan itu, beliau telah meluaskan pengaruh Islam  ke negara  jiran seperti  Rom,  Parsi,  dan Syria. Tujuannya ialah untuk menangani ancaman musuh luar khasnya Rom dan Parsi.Rom merupakan  sebuah empayar besar yang kuat dan menguasai negara Mesir di Afrika Utara. Penduduknya  terdiri
daripada pelbagai  kaum  dan beragama  Kristian. Disebabkan kezaliman pemerintahannya,  keadaan  dalam negeri  tidak aman dan rakyat sering memberontak.

      Keadaan tersebut memudahkan  pertapakan  Islam di Rom. Perkara yang sama turut berlaku di Parsi, iaitu berlaku pemberontakan  disebabkan tidak puas hati dengan bentuk pemerintahan.  Panglima Khalid al-Walid dan Muthana bin Harith dengan mudah menakluk Parsi  dan Parsi jatuh kepada pemerintahan  Islam Madinah di bawah Khalifah Abu Bakar al-Siddiq.Philip K. Hitti dalam The History of the Arabs menyatakan penaklukan  ke atas Parsi merupakan  penaklukan  Khalifah Abu Bakar  al-Siddiq  yang Pertama  di luar Semenanjung  Tanah Arab.

    Selain penaklukan ke atas Parsi  dan Rom, Khalifah Abu Bakar al-Siddiq melakukan  penaklukan  ke atas Syria. Penaklukan ke atas Syria berpunca  daripada  kekejaman pemerintah Syria terhadap umat Islam Syria. Setelah wafatnya Nabi Muhammad  s.a.w.,  Hercules mempengaruhi  orang Badwi untuk melancarkan  pemberontakan ke atas orang  Islam.[10]

      Oleh kerana  Parsi pernah membunuh  utusan Islam, khalifah Abu Bakar telah menghantar  empat pasukan tentera  ke Syria.Pasukan  pertama dipimpin  oleh panglima Ubaidah al-Jarrah,pasukan kedua dipimpin oleh panglima  Amr al-As ditugaskan untuk menawan Palestin, pasukan ketiga dipimpin  oleh panglima  Yazid bin Abu Sufyan  ditugaskan untuk menawan Damsyik,  dan pasukan keempat dipimpin oleh panglima Syurahbil  bin Hasanah ditugaskan  untuk menawan Jordan.

      Keempat-empat  pasukan  tentera  tersebut diketuai oleh panglima  agung, Khalid al-Walid.  Dengan  tentera  berjumlah 9 000 orang, panglima Khalid  al-Walid melancarkan  serangan ke atas Syria. Raja Syria, Hercules  melarikan  diri ke Antioch (Antakya)  dan Syria dengan mudahnya jatuh kepada tentera Islam dan membolehkan Islam  berkembang  pesat di Syria.[11]

e)Memulakan usaha pengumpulan ayat-ayat al-Quran.
Pengumpulan al-Quran pada mulanya telah dicadangkan oleh Umar bin al-Khattab kepada Sayidina Abu Bakar apabila ramai penghafaz al-Quran terkorban  dalam peperangan  bagi memerangi golongan al-Riddah. Abu Bakar menerima cadangan tersebut setelah yakin dengan hujah-hujah Umar.

      Idea ini dibuat apabila melihat 70 orang Huffaz telah gugur syahid dalam Perang Yamamah. Oleh itu timbul kesedaran dan keperluan untuk menghimpun ayat-ayat al-Quran ini. Atas cadangan Umar al-Khattab kemudian dipersetujui oleh Sayidina Abu Bakar, maka Zaid bin Thabit telah ditugaskan untuk melaksanakan usaha-usaha pembukuannya.

      Selain itu, tujuan al-Quran dibukukan ekoran banyat ayat al-Quran yang ditulis pada kulit-kulit pokok kurma , batu-batu dan kayu sudah banyak yang rosak sehingga perlu diselamatkan.Pembukuan al-Quran juga dilakukan dengan tujuan dapat dijadikan pedoman bagi umat Islam sepanjang masa.[12]
Al-Quran disimpan di rumah Abu Bakar al-Siddiq.


f)Melaksanakan dasar dan ekspedisi ketenteraan
Sebelum Nabi Muhammad SAW wafat, baginda telah membentuk pasukan tentera yang diketuai oleh Usamah bin Zaid ke sempada Syam untuk menyerang Ghassan yang ketika itu berada di bawah jajahan Byzantine.Tidakan tersebut dilakukan kerana beberapa orang utusan Nabi Muhammad SAW telah dibunuh.

      Selepas kewafatan Nabi Muhamad s.aw Khalifah Abu Bakar berhasrat menyambung semula usaha baginda. Walau bagaimanapun cadangan tersebut kurang dipersetujui oleh sesetengah para sahabat.  Mereka mencadangan siupaya ekspedisi ke sempadan Syam ditangguhkan kerana ancaman al-Riddah lebih berbahaya dan memerlukan penyelesaian segera. Namun Khalifah abu Bakar tetap tegas dengan keputusan beliau.[13]

      Selepas berperang selama 40 hari, pasukan Usamah bin Zaid memperolehi kemenangan. Kemenangan ini menyedarkan kaum yang berhasrat menyerang Madinah, tentera Islam adalah kuat dan tidak mudah untuk dikalahkan.

      Setelah pasukan Usamah kembali ke Kota Madinah, pasukan beliau ditugaskan menjaga keselamatan Kota Madinah. Tindakan ini dapat menghindarkan Kota Madinah daripada ancaman kaum Zubyan dan lain-lain. Khalifah Abu Bakar juga telah menghantar misi ketenteraan yang diketuai oleh Khald al-Walid ke Iraq bagi memerangi Parsi serta ke Syam bagi memerangi Byzantine yang sering mengancam kerajaan Islam.

g.Menentukan bakal khalifah.
Ketika sakit, Abu Bakar mengadakan perundingan dengan para sahabat untuk melantik Umar al-Khattab sebagai Khalifah. Uthman Affan diarahkan oleh khalifah Abu Bakar untuk menulis keputusan tersebut. Dengan cara ini, Khalifah Abu Bakar telah berjaya mengukuhkan kedudukan politik Islam.[14]

[1]“Institusi Khalifah”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),17
[2]Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini, (Shah Alam: Oxford Fajar.2014)  ,49.
[3] Mahayudin Yahya, Tamadun Islam, (Shah Alam: Fajar Bakti, 1998),114.
[4] Ibid,118.
[5] Ibid,119.
[6]Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2, (Shah Alam:Oxford Fajar.2014)  ,47.
[7]Ibid,48.
[8]Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini,51.
[9] Ibid.
[10]Mahdi Shuid, Sazlina Othman dan Arjuna @ Mohd. Noor Yunus, Teks STPM Pra U Sejarah  Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd, 2014), 78.
[11] Ibid,79.
[12] Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2, (Kuala Lumpur: Pearson Malaysia Sdn. Bhd, 2014), 74.
[13]Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2 Edisi Kemaskini,50.

[14] Mahayudin Hj. Yahya et. Al., Ace Ahead Teks STPM Sejarah Islam (500-1918) Penggal  2,50.