Khamis, 26 Januari 2017

Tongkang purba menjadi tumpuan


 

ARKIB : 20/06/2000
Tongkang purba menjadi tumpuan
MOHD. NASIR (tengah) memegang satu serpihan kayu yang ditemuinya dipercayai sebahagian daripda struktur tongkang purba berusia 200 tahun di Parit 3, Sungai Manik, Teluk Intan semalam.

TELUK INTAN 19 Jun - Sebuah tongkang purba yang dipercayai berusia lebih 200 tahun ditemui di sebuah kawasan berpaya di Parit 3, Sungai Manik, dekat sini, baru-baru ini.

Tongkang berukuran kira-kira 12 meter panjang, 1.5 meter lebar dan 1.2 meter tinggi itu tertanam sedalam lebih dua meter di tanah paya itu.

Ia dijumpai pada 2 Jun lalu ketika kerja-kerja merata tanah dan mengorek parit menggunakan jentera kaut dijalankan untuk tujuan penanaman kelapa sawit.

Turut dijumpai berdekatan kawasan itu ialah satu serpihan mangkuk kaca dipercayai khazanah purba yang mempunyai kaitan dengan penemuan tongkang itu.

Berikutan itu, kawasan tersebut kini menjadi tumpuan umum, khususnya penduduk sekitar yang ingin melihat lebih dekat tongkang berkenaan.

Wakil pemilik tanah berkenaan, Mohd. Nasir Dahaman, 52, ketika ditemui berkata, beliau dan pemandu jentera kaut yang bekerja di kawasan itu tidak menyangka serpihan kayu tersebut adalah sebahagian daripada struktur tongkang purba.

Menurutnya, ia hanya disedari apabila jentera berkenaan gagal menarik keluar sebahagian lagi struktur tongkang yang tertanam di dalam tanah milik anak menantunya itu.

''Semasa jentera cuba menaikkan kayu yang tertanam, kita nampak bahagian permukaan tanah memanjang kira-kira 12 meter bergerak seperti ada objek panjang di dalam tanah.

''Selepas itu baru kita nampak bahagian kepala tongkang terjungkit keluar dan kemudian saya minta supaya dihentikan kerja tersebut,'' katanya kepada Utusan hari ini.

Tinjauan di lokasi penemuan mendapati, antara serpihan struktur yang dijumpai termasuklah sebahagian dinding tepi dan bahagian penyangkut dayung.

Struktur tongkang didapati langsung tidak menggunakan sebarang paku, sebaliknya memasang pasak sedalam antara tujuh dan 10 sentimeter bagi menyambungkan setiap rangka binaan dipercayai daripada kayu merbau.

Sumber arkeologis memberitahu, berdasarkan fakta- fakta itu, tongkang itu dipercayai berusia lebih 200 tahun kerana ia mungkin dibina pada era sebelum penggunaan paku iaitu kira-kira 150 tahun lalu.

Mohd. Nasir memberitahu, penemuan itu telah dimaklumkan kepada pihak Jabatan Muzium dan Antikuiti di Kuala Lumpur serta Jabatan Muzium Perak di Taiping untuk tujuan kajian.

Katanya, beberapa pegawai dari kedua-dua jabatan itu melawat kawasan penemuan itu dan memaklumkan akan menjalankan kajian arkeologi tidak lama lagi.

''Saya telah diminta supaya tidak meneruskan kerja menggali di kawasan penemuan struktur kayu yang dipercayai tongkang purba itu.

''Malah seorang pegawai telah mengambil serpihan mangkuk yang saya temui untuk tujuan kajian,'' jelasnya.

Mohd. Nasir juga meminta orang ramai yang membawa pulang serpihan kayu dari kawasan penemuan itu supaya memulangkannya semula bagi membolehkan kajian sejarah dijalankan oleh pihak berkuasa.

''Saya tidak boleh halang mereka ambil kerana saya tidak ada kuasa manakala saban masa orang datang seperti pesta di kawasan penemuan tongkang purba itu,'' ujarnya.

Sementara itu pihak Jabatan Muzium Perak ketika dihubungi memberitahu, kerja-kerja menyelamat dan mengkaji penemuan itu akan dijalankan oleh pihak Jabatan Muzium dan Antikuiti, Kuala Lumpur.

Menurut jurucakapnya, sekumpulan pengkaji sejarah diketuai oleh Kurator Arkeologi Jabatan Muzium dan Antikuiti, Zulkifli Jaafar akan mengadakan kajian mengikut Akta Benda Purba 1976 di kawasan itu dalam tempoh terdekat ini.

Oleh: RAMLI ABDUL KARIM

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4WvFa1twe © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan