Rabu, 24 September 2014

SKEMA PEPERIKSAAN PERCUBAAN SEJARAH STPM P3 2014 SMKJ2


1  Huraikan peranan Adat Perpatih dan Adat Temenggung dalam kalangan masyarakat Melayu sebelum campur tangan British.    [20]
Pengenalan
      Adat ialah undang-undang tidak bertulis yang diamalkan secara turun-temurun. Adat juga
merupakan peraturan yang berdasarkan kebiasaan dalam masyarakat. Terdapat dua undang-undang adat di Tanah Melayu, iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Kedua-dua adat ini dipercayai berasal dari Sumatera, Indonesia. Adat Perpatih diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang yang berasal dari Pagar Ruyong dan diamalkan di Negeri Sembilan serta kawasan Naning. Adat Temenggung pula diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan yang berasal dari Palembang dan diamalkan di semua negeri Melayu yang lain. Kedua-dua adat ini banyak dipengaruhi oleh agama Hindu dan kemudiannya secara beransur-ansur berubah kepada hukum syarak mengikut mazhab Syafie. Adat Perpatih dan Adat Temenggung mempunyai peranan yang berbeza dari aspek politik, ekonomi, sosial dan perundangan.

      Dari segi politik, Adat Perpatih mengamalkan sistem pemerintahan secara demokrasi dan
permuafakatan. Pemimpin dipilih dan dilantik melalui wakil daripada setiap suku. Anak Buah
akan melantik Buapak dan Buapak pula akan memilih Lembaga. Lembaga akan memilih Undang dan Undang akan melantik Yamtuan Besar. Sistem pemilihan pemimpin dalam Adat Perpatih jelas menunjukkan kuasa dibahagikan antara Undang, Lembaga dengan Buapak. Walaupun Yamtuan Besar berlindak sebagai sultan tetapi baginda tidak mempunyai kuasa dan tidak berhak melantik orang besar di negeri-negeri lain. Sebaliknya, pelantikan tersebut dibuat berpandukan hierarki yang lebih bawah daripada Yamtuan Besar. Setiap keputusan yang diambil oleh Yamtuan Besar adalah berasaskan keputusan yang dibuat bersama dengan Undang.

      Dari segi ekonomi, Adat Perpatih bersifat matrilineal, iaitu keutamaan diberi kepada kaum wanita. Dalam adat ini, kedudukan kaum wanita lebih tinggi daripada kaum lelaki. Harta pusaka diperturunkan menerusi garis keturunan sebelah perempuan atau sebelah ibu. Harta pusaka daripada pihak ibu sebagai pengasas akan diwariskan kepada anak perempuannya. Suami tidak berhak memilikiharta pusaka keluarga. Sekiranya tidak mempunyai anak perempuan, maka hartanya akan diwariskan kepada adik perempuan dan seterusnya. Kaum lelaki hanya berhak ke atas urusan pentadbiran keluarga sahaja.

      Dari segi sosial, Adat Perpatih mengamalkan cara hidup bersuku-suku, iaitu hidup secara
berkeluarga. Setiap suku menggunakan nama-nama tertentu. Masyarakat ini mengamalkan perkahwinan mengikut eksogami, iaitu adat atau perbuatan mengahwini seseorang daripada suku kaum lain contohnya Suku Batu Hampar dengan Tanah Datar sekali gus melarang perkahwinan dengan suku yang sama. Perkahwinan mestilah daripada suku yang berlainan kerana menganggap setiap ahli suku adalah bersaudara. Selepas perkahwinan, si lelaki akan meninggalkan kampung halamannya dan menetap di kawasan ibu isterinya sebagai semenda. Semenda perlu mendirikan rumah bagi isteri dan anak-anaknya di atas tanah yang dimiliki oleh keluarga isteri. Jika berlaku penceraian, semenda tidak mempunyai sebarang hak ke atas anaknya kerana berada dalam kelompok rumpun ibu.

      Dalam bidang perundangan, Adat Perpatih mementingkan penyelesaian yang akan memuaskan hati pihak mangsa dan pesalah. Hukuman yang diberi berlujuan membaiki keadaan, iaitu berbentuk pemulihan dan bukannya untuk menghukum.Undang-undang jenayah Adat Perpatih adalah bertimbang rasa dan berperikemanusiaan. Hukuman berat tidak
digalakkan dalam Adat Perpatih. Seorang pesalah akan didenda mengikut kesalahannya dan perlu membayar ganti rugi kepada mangsa. Hukuman tersebut dilaksanakan adalah untuk menyedarkan pesalah supaya tidak mengulangi kesalahan pada masa hadapan.

      Selain daripada Adat Perpatih, Adat Temenggung jrga mempunyai ciri-ciri dan peranannya yang tersendiri dari segi politik, ekonomi, sosial dan perundangan. Dari segi politik, Adat Temenggung bersifat autokratik, iaitu pemusatan kuasa di tangan sultan atau raja. Sultan merupakan tonggak sistem pemerintahan diikuti oleh kerabat diraja dan pembesar. Pembesar dilantik oleh sultan dan memerintah sebagai wakil sultan.Jawatan sultan bersifat warisan, iaitu digantikan oleh putera sulung. Kedudukan raja sangat istirnewa dan diperkukuh dengan konsep daulat, penggunaan lambang-lambang tertentu dan menjadi simbol perpaduan rakyat.

      Dari segi ekonomi, Adat Temenggung mementingkan kaum lelaki dalam pewarisan harta
pusaka kerana dipengaruhi oleh hukum agama Islam. Adat ini mengutamakan jurai keturunan
lelaki. Jika berlaku penceraian, pembahagian harta adalah berlandaskan hukum syarak. Harta
sepencarian akan dibahagikan sama banyak, manakala bagi isteri yang tidak bekerja pula akan diberi satu pertiga daripada harta. Bagi harta asal pula akan dikernbalikan kepada pemiliknya.

     Dalam bidang sosial, Adat Temenggung bersifat patrilineal, iaitu berkaitan dengan hubungan keturunan atau kekeluargaan mengikut garis keturunan sebelah lelaki atau bapa. Sejajar dengan prinsip hukum faraid dalam Islam, lelaki diberikan keutamaan dan diiktiraf sebagai ketua keluarga.Menurut adat ini, sistem kekeluargaan mengikutsebelah  ayah . Adat Temenggung membenarkan perkahwinan dengan sesiapa sahaja asalkan tidak bercanggah dengan hukum syarak. Apabila seorang lelaki berkahwin,isterinya akan menjadi ahli keluarga suaminya.

      Dalam segi perundangan, hukuman dikenakan mengikut Adat Temenggung adalah bertujuan menghukum. Hukuman yang berat dan tegas dilaksanakan untuk memberikan pengajaran dan iktibar kepada orang lain. Jenis hukuman yang dikenakan adalah berbentuk pembalasan kepada si pesalah. Hukuman paling berat yang dilaksanakan ialah hukuman bunuh. Sultan melaksanakan hukuman tetapi pembesar atau penghulu boleh melakukannya sekiranya mendapat mandat daripada sultan. Walau bagaimanapun, hukuman mati hanya
boleh dijatuhi oleh sultan sahaja.

      Adat Perpatih dan Adat Temenggung masih diamalkan sehinggalah berlakunya campur tangan British di Tanah Melayu. Pemerintahan British memberikan kesan kepada kedua-dua jenis adat ini. Selepas campur tangan British, adat-adat ini tidak lagi penting kerana British menggantikannya dengan undang-undang Barat.

2. Terangkan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Kaum Muda untuk  membangkitkan 
   kesedaran nasionalisme  di Tanah Melayu pada abad ke-20. [20]
Pengenalan
Penglibatan Kaum Muda yang telah memulakan Gerakan Islah dalam gagasan nasionalisme di Tanah Melayu bermula pada awal abad ke-20. Gerakan Islah dipimpin oleh golongan reformis Islam pada awal abad ke-20. Gerakan ini dipimpin oleh golongan reformis yang berpendidikan Arab dari Timur Tengah khususnya di Mesir. Antara tokoh gerakan yang terkenal ialah Syeikh Muhammad Tahir bin Jalaluddin, Haji Abbas bin Muhammad Taha dan Syed Syeikh Ahmad al-Hadi. Golongan ini mendapat ilham dan inspirasi daripada gerakan pemulihan lslam dan gerakan Pan-Islamisme yang tersebar di Mesir dan Turki.

      Kemunculan gerakan Kaum Muda di Tanah Melayu  disebabkan oleh keadaan sosioekonomi masyarakat Melayu pada masa itu. Selain itu, gerakan Kaum Muda juga berusaha untuk membangkitkan semangat nasionalisme, menentang perluasan kuasa dan pengaruh British. Golongan ini juga berjuang menghapuskan persaingan ekonomi dari kaum-kaum lain. Mereka menyeru masyarakat Melayu agar kembali berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar berlandaskan al-Quran dan hadis.

      Antara usaha terawal yang diambil oleh Kaum Muda ialah pengasasan akhbar Al-Iman pada 22 Julai 1906 di Singapura. Akhbar ini memberikan sumbangan dalam pemulihan agama. Al-lmam juga mengandungi idea-idea perubahan sosial seperti kepentingan pendidikan dan ekonomi orang Melalu serta emansipasi, iaitu pemberian hak yang sama untuk golongan wanita khususnya peluang mendapatkan pendidikan.

      Kaum Muda juga mendirikan masjid dan beberapa buah madrasah untuk menyebarkan idea mereka dengan lebih berkesan seperti Madrasah al-Hadi dan Madrasah al-Masyhur al-Islamiah di Pulau Pinang. Mereka juga mendirikan Madrasah al-Diniah di Perak. Selain menyebarkan idea-idea pembaharuan dengan lebih berkesan, Kaum Muda juga menekankan pendidikan akademik seperti mata pelajaran Sains dan bahasa Inggeris. Pendidikan moden diberi bagi meningkatkan kemajuan dalam bidang ekonomi dan sosial. Masyarakat Melayu juga digalakkan supaya melibatkan diri dalam bidang perdagangan.

      Kaum Muda juga berpendapat bahawa orang Melayu harus menceburi dalam bidang perniagaan kerana ia bersesuaian dengan ajaran Islam yang sebenar. Kaum Muda juga menggesa bangsaMelayu menggunakan kemudahan kewangan yang disediakan oleh bank-bank dan syarikat kerjasama di Tanah Melayu.

      Kaum Muda juga bersifat anti penjajah dan mengutuk dasar penjajah Inggeris yang berat sebelah dan tidak berperikemanusiaan. Kaum Muda berusaha membangkitkan semangat nasionalisma di kalangan orang Melayu supaya memperjuangkan kebebasan dari penjajah. Sikap ini timbul kerana kerajaan Inggeris untuk meningkatkan taraf hidup orang Melayu dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Kerajaan British juga tidak mengindahkan soal pelajaran untuk membolehkan orang Melayu mencapai taraf hidup yang lebih tinggi.

      Inggeris hanya menyediakan sistem pelajaran asas iaitu membaca, menulis dan mengira. Pelajaran menengah tidak dipentingkan, malahan orang Melayu yang berpendidikan tinggi tidak berpeluang menjawat jawatan tinggi dalam pentadbiran Inggeris. Semua jawatan tinggi dibolot oleh pegawai-pegawai Inggeris. Dasar diskriminasi ini membangkitkan perasaan anti penjajah di kalangan Kaum Muda.

      Kaum Muda juga memainkan sentimen terhadap golongan raja-raja dan pembesar Melayu. Golongan ini diingatkan kewajipan mereka terhadap rakyat yang diperintah oleh mereka. Raja-raja dan pembesar Melayu digesa memelihara kepentingan sosial, ekonomi dan politik serta hak-hak istimewa kaum Melayu. Kaum Muda menggesa kaum pemerintah dan juga rakyat menubuhkan persatuan yang berunsurkan politik atau separuh politik untuk memajukan pendidikan dan ekonomi orang Melayu.

      Perjuangan Kaum Muda  mendapat tentangan hebat daripada Kaum Tua yang terdiri daripada guru agama yang mempunyai kepercayaan kolot dan golongan elit Melayu tradisional. Kaum Tua menuduh Kaum Muda terpesong dari akidah . Idea-idea mereka dikutuk dan mereka dianggap sebagai kafir atau qadiani. Kaum Tua melarang Kaum Muda daripada berkutbah di masjid-masjid di Tanah Melayu. Walau bagaimanapun idea Kaum Muda menimbulkan kesan yang besar dalam membangkitkan kesedaran orang-orang Melayu untuk maju dalam bidang agama, sosial, ekonomi dan politik.

KESIMPULAN
      Kaum Muda telah memperjuangkan kemajuan bangsa Melayu dalam bidang agama,sosial, ekonomi dan politik. Kaum Muda juga berjaya menyedarkan orang Melayu supaya membaiki kemunduran mereka dalam bidang-bidang tersebut. Kaum Muda juga menggesa orang Melayu bangkit memajukan taraf hidup mereka dan membebaskan diri dari belenggu penjajah British. Perjuangan Kaum Muda menjadi asas bagi penubuhan persatuan politik dan separuh politik  di Tanah  Melayu pada tahun 1930-an. Kaum Muda gagal meluaskan pengaruh di Negeri-Negeri Melayu kerana mendapat tentangan dari   Kaum Tua.

3 Terangkan sumbangan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dalam bidang politik sejak
   dilantik menjadi Presiden UMNO pada tahun 1951. [20]
Pengenalan
Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj lahir pada 8 Februari 1903. Beliau merupakan putera ketujuh Sultan Abdul Halim Shah iaitu Sultan Kedah yang ke-24. Beliau belajar di sekolah Melayu sebelum berpindah ke Penang Free School. Pada tahun 1919, beliau melanjutkan pelajaran ke St Catherine's College. Pada tahun 1925, beliau lulus dari Universiti Cambridge. Beliau merupakan anak Melayu pertama yang mendapat kelulusan universiti dari England.

      Kemudiannya, Tunku menyertai perkhidmatan awam di Kedah dan pernah befiugas sebagai pegawai daerah di Kuala Muda, Padang Terap, Langkawi dan Kulim. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Inner Temple dan ditauliahkan sebagai peguam pada tahun 1949. Pada tahun tersebut juga Tunku telah menyertai UMNO dan dipilih sebagai ketua UMNO negeri Kedah. Pada 26 Ogos 1951,Tunku dipilih sebagai Presiden UMNO peringkat kebangsaan setelah Dato' Onn Ja'afar meletak jawatan. Sebelum dipilih sebagai Presiden, Tunku memang sangat aktif dalam bidang politik.

      Beliau bersama-sama dengan raja-raja Melayu dan orang Melayu menentang Malayan Union.Antara usaha awal Tunku ialah langkah-langkah untuk mewujudkan perpaduan sebelum memperjuangkan kemerdekaan. Beliau telah mengadakan pakatan murni demi memupuk perpaduan kaum. Beliau telah menganjurkan konvensyen kebangsaan bersama-sama dengan MCA pada tahun 1954.

      Pada tahun 1955. Parli Perikatan telah dibentuk iaitu gabungan UMNO, MCA dan MlC. Dalam pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan, Parti Perikatan berjaya mencapai kemenangan cemerlang dengan memenangi 5l buah kerusi. Kemenangan itu menyebabkan Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu.

      Pada tahun 1956, Tunku mengetuai rombongan ke London untuk menuntut semula kedaulatan negara daripada kerajaan Britian. Perjanjian kemerdekaan ditandatangani di London pada 8 Februari 1 956. Tarikh kemerdekaan ditetapkan pada 31 Oktober 1957. Sebuah suruhanjaya iaitu Suruhanjaya Reid dibentuk untuk mengkaji perlembagaan bagi Tanah Melayu.

      Selepas merdeka Tunku dilantik sebagai Perdana Menteri pertama. Beliau terus memimpin Parti Perikatan dalam tiga pilihan raya iaitu pada tahun 1959, 1964 dan 1969. Kepimpinan Tunku adalah faktor yang mendorong Tanah Melayu berjaya mencapai kemerdekaan tanpa pertumpahan darah.Dasar toleransi dan taktik permuafakatan kaum beliau menunjukkan keunggulan beliau sebagai seorang pemimpin yang bijak.

      Sumbangan Tunku yang lain ialah usaha beliau dalam menamatkan ancaman komunis di Tanah Melayu. Beliau sanggup mengadakan Rundingan Baling dan bertemu dengan Chin Peng. Hal ini jelas membuktikan bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang mengambil berat tentang keamanan dan keselamatan negara. Rundingan Baling telah berlangsung di Sekolah Rendah Baling pada 28 Disember 1955. Rundingan ini tidak berjaya kerana Tunku enggan mengiktiraf PKM sebagai parli politik yang sah. Namun demikian, perjuangan PKM
bertambah lemah kerana tidak mendapat sokongan daripada penduduk tempatan yang sudah pun yakin terhadap pemerintahan Tunku. Malahan terdapat gerila PKM yang menyerah diri dan ada juga yang melarikan diri ke sempadan Thailand. Ancaman komunis tamat semasa pemerintahan Tunku dan darurat diisytiharkan tamat pada tahun 1960.

      Sumbangan politik Tunku yang masih disanjung tinggi ialah usaha beliau membentuk Gagasan Malaysia. Pada 27 Mei 1961, Tunku telah  mengemukakan idea pembentukan Malaysia di Hotel Adelphi Singapura. Tujuan beliau adalah untuk menjamin kekukuhan politik, keselamatan, ekonon.ri dan sosial semua negara yang terlibat. pada peringkat awal, gabungan ini melibatkan Tanah Melayu, Singapura, Sabah. Sarawak dan Brunei tetapi kemudiannya Brunei telah menarik diri kerana rnenghadapi pemberontakan daripada rakyat yang dipirnpin oleh A.M.Azahari selain disebabkan isu hasil minyak.

      Pembentukan Gagasan Malaysia juga mendapat reaksi negatif dari negara jiran seperti Filipina dan Indonesia yang kemudiannya melancarkan konfrontasi. Tunku dengan kebijaksanaannya berjaya mengatasi segala cabaran ini dengan mendapat sokongan padu dari
rakyat, kerajaan British dan PBB. pada l6 Septernber I963, Persekutuan Malaysia telah dibentuk dan Tunku digelar 'Bapa Malalsia'.

      Tunku juga telah merintis jalan dalarn menggubal dasar luar negara dengan rrengarnbil kira beberapa faktor penting. Pada peringkat awal kemedekaan, beliau mengamalkan dasar probarat dan antikomunis.Dasar ini dapat menjamin kedauiatan negara daripada ancaman musuh. Pada masa yang sarna, dasar ini dapat menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara.

      Tunku juga menjalinkan hubungan baik dengan negara jiran dengan mencadangkan penubuhan ASA dan MAPHILINDO. Tujuan pertubuhan-pertubuhan tersebut adalah untuk rneningkatkan persahabatan dan penyertaan dalam ASEAN. ASEAN yang dibentuk pada tahun 1967 bertujuan mewujudkan hubungan serantau yang baru.
      Sumbangan politik Tunku yang amat besar ialah penyertaan beliau dalam pentubuhan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Bagi menghargai sumbangannya, Tunku telah dilantik sebagai Setiausaha Agung OIC yang pertama. Tunku berusaha mendapatkan kerjasama OIC untuk menyelesaikan peperangan Iran-lraq. pada masa yang sama Malaysia juga rnenyokong perjuangan rakyat palestin dalam memerangi kezaliman rejim lsrael. Tunku juga menubuhkan Bank Pembangunan Islam yang rnemberi bantuan kewangan kepada negara anggota OIC.

      Selain dari itu, Tunku juga mementingkan hubungan antarabangsa. Malaysia bergerak aktif dalam badan-badan antarabangsa seperti PBB dan Komanwel Tunku telah menghantar misi perdamaian dan kearnanan ke Congo pada tahun 1961. Beliau juga sangat menghormati hak asasi manusia dan ini digambarkan dalam usaha beliau mengkritik keras DasarAparteid di Afrika Selatan sehingga negara tersebut disingkirkan daripada Komanwel.


      Kesimpulannya, Tunku Abdul Rahman merupakan seorang pemimpin yang berwibawa dan berkaliber.Beliau mempunyai pandangan jauh untuk membawa Malaysia ke arah kemajuan dan kegemilangan. Usaha-usaha Tunku rnenunjukkan beliau seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan sangat mementingkan perpaduan kaum. Tunku telah meninggal dunia pada 6 Disember 1990. Narrun, sumbangan besar Tunku sebagai 'Bapa Kemerdekaan' dan .Bapa Malaysia tetap dikenang oleh setiap rakyat Malaysia.

Jumaat, 12 September 2014

Model tugu negara gembira dapat rumah


 
MOHD. Noor Daud (berdiri, dua dari kiri) beramah mesra dengan (duduk, dari kiri) Zainal Buyong, Mohd. Sabri Bedollah dan Kholib Che Nan dalam majlis penyerahan bantuan Program Membaik Pulih Rumah Veteran 1Malaysia NBOS kepada veteran ATM Pahang di Raub, kelmarin.

RAUB 12 Sept. - Setelah sekian lama mendiami rumah serba uzur, seorang pesara tentera yang pernah menjadi model Tugu Negara, Zainal Buyong, 81, kini mampu menarik nafas lega apabila berpeluang tinggal di kediaman baharu yang jauh lebih selesa hasil sumbangan kerajaan.

Pembinaan rumah baharu membabitkan kos RM45,000 itu diselenggarakan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV-ATM) menerusi Program Membaik Pulih Rumah Veteran 1Malaysia Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Majlis penyerahan kunci rumah kepada Zainal bersama dua lagi pesara tentera dari sekitar daerah ini disempurnakan oleh Ketua Pengarah JHEV-ATM, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Noor Daud di sini semalam.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Zainal yang tinggal di Kampung Kuala Atok di sini berkata, pemberian rumah baharu yang mempunyai tiga bilik itu amat bermakna kerana memberikan keselesaan kepadanya sekeluarga.

Beliau yang menjadi model memegang bendera Malaysia di Tugu Negara berkata, tanpa sumbangan ini dia yang hanya mengharapkan kepada kerja kampung dan bantuan kebajikan sudah tentu tidak akan dapat membina sebuah rumah.

"Saya cukup bersyukur kerana rumah ini amat selesa berbanding rumah lama yang uzur sehingga kami terpaksa mencari tempat berlindung sekiranya hujan. Dinding dan kayu rumah dahulu juga telah dimakan anai-anai sehingga hampir roboh ditimpa dahan durian tahun lalu.

"Justeru pemberian rumah kepada saya ini membuktikan keprihatinan kerajaan khususnya JHEV-ATM yang sentiasa menghulurkan bantuan termasuklah sara hidup dan perubatan," katanya.

Mengenai kisahnya menjadi model Tugu Negara, Zainal berkata, peristiwa itu berlaku ketika berkhidmat di sebuah kem di ibu negara pada tahun 1958 setelah diarahkan oleh pegawai bertugas.

"Arahan ini berikutan permintaan pengukir dari Austria yang mahukan askar sebenar sebagai panduan dalam membuat ukiran Tugu Negara.

"Maka saya bersama empat lain membuat aksi seperti mana kelihatan pada Tugu Negara dengan yang berdiri di tengah sambil memegang bendera adalah 'saya'," jelasnya sambil tersenyum mengingati peristiwa lebih separuh abad itu.

Dalam pada itu, seorang lagi penerima, Mohd. Sabri Bedollah, 54, yang tinggal di Kampung Paya Keladan, Temerloh berkata, pemberian bantuan rumah berkenaan telah memenuhi impiannya untuk mempunyai rumah sendiri sejak sekian lama.

Dia yang berkhidmat sebagai tentera dari 1980 hingga 1998 berkata, selama ini dia hanya mampu tinggal di rumah sewa dan tidak pernah termimpi untuk mendapat rumah sendiri.

"Saya amat berterima kasih kepada kerajaan yang tidak pernah melupakan kami. Ini adalah hadiah paling bermakna dalam hidup saya sebagai seorang veteran tentera," katanya yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Seorang lagi penerima, Kholib Che Nan, 58, berkata, pemberian rumah berkenaan merupakan satu anugerah bermakna kepadanya sekeluarga selepas rumah yang didiaminya sebelum ini di Kampung Kuala Lurah, Bentong musnah dalam kebakaran.

Dia yang berkhidmat sebagai tentera dari 1977 hingga 1992 berkata, pembinaan rumah baharu yang dilakukan pihak JHEV memberi harapan baharu kepadanya sekeluarga.
SUMBER-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140913/dn_14/Model-tugu-negara-gembira-dapat-rumah#ixzz3D9MPx7VQ © Utusan Melayu (M) Bhd





Selasa, 2 September 2014

SEJARAH PENERBITAN PENGASUH 1918-1955

OLEH- AHMAD BIN YAAKOB


1.0   PENGENALAN
Akhbar-akhbar Melayu yang diterbitkan sejak abad ke-19 merupakan satu sumber sejarah kerana setiap satunya merakam peristiwa sejarah semasa masing-masing. Menurut Khoo Kay Kim, “Akhbar memang biasa digunakan sebagai sumber sejarah; tetapi tidak ramai sebenarnya yang banyak bergantung kepada akhbar Melayu untuk menulis sejarah masyarakat Melayu pada hal bilangan akhbar Melayu, sepanjang abad ke-20, melebihi bilangan akhbar Inggeris…”.[1] Bagi Roff pula, “…untuk seorang ahli sejarah akhbar dan majalah yang lama-lama itu merupakan suatu alat perakaman yang amat mustahak dan berguna. Mustahak, bukan saja kerana pada halaman-halamannya diriwayatkan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku, tetapi adalah kerana akhbar-akhbar itu menggambarkan dan menjelaskan  fikiran dan perasaan orang-orang yang hidup ketika itu.”[2]  Manakala menurut Ahmat Adam, akhbar amat penting “…untuk meluahkan rasa prihatin masyarakat terhadap pihak berkuasa atau pemerintah mengenai sesuatu dasar dan tindakan yang melibatkan kepentingan umum.[3]

      Seterusnya, makalah yang terkandung di dalam akhbar-akhbar itu ada juga menghuraikan peristiwa-peristiwa sejarah sebelumnya. Contohnya, akhbar Chahaya Pulau Pinang yang menyiarkan makalah riwayat hidup Stamford Raffles yang bertajuk “Darihal Pegawai Yang Mengambil Akan Singapura.” [4] Pengasuh pula menyiarkan rencana  yang bertajuk, “Tamadun Orang-Orang Arab Pada Masa Jahiliah dan Islam.”[5] Segala perkara yang terakam dalam akhbar itu dapat menyumbang kepada timbunan sumber sejarah. Walaupun sebahagian daripada rakaman tersebut asalnya bukanlah sebenarnya catatan sejarah. Walau bagaimanapun makalah yang terdapat di dalam akhbar itu perlu dinilai ketepatan fakta sejarah supaya objektif kebenaran sejarah adalah sah.

      Unsur historiografi atau pensejarahan yang terkandung atau dipaparkan oleh sesebuah akhbar Melayu kuat dipengaruhi oleh pendirian individu, pengaruh zamannya, dasar kerajaan pada zaman penjajahan British yang menyekat kebebasan akhbar dan organisasi,[6] atau pengarang yang membuat penilaian moral dan komen mengikut pendapat dan pandangan mereka sendiri.

            Memandangkan akhbar merupakan bayangan falsafah hidup masyarakat setempat, maka lahirlah akhbar-akhbar yang mencerminkan falsafah itu. Misalnya  Pengasuh, Neracha dan Saudara mencerminkan unsur keagamaan. Isi kandungan Neracha dan Saudara, “…cenderung ke arah perjuangan reformasi Islam,iaitu satu gerakan untuk memurnikan kembali ajaran Islam dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam dan umatnya.”[7] Menurut Md. Sidin Ahmad Ishak, “…terdapat editor dan penulis Pengasuh yang turut memperjuangkan idea Kaum Muda.”[8] Bagi Khoo Kay kim pula, akhbar-akhbar bercorak keagamaan ini membincangkan segala masalah orang Melayu “…daripada perspektif agama Islam.”[9] Dari segi karya pensejarahan pula akhbar-akhbar ini, “…memberi tumpuan penulisannya adalah kepada pensejarahan Islam.”[10] 

      Manakala menurut Muhd. Yusuf Ibrahim, akhbar yang sekular orientasinya seperti Chahaya Pulau Pinang, Lembaga Melayu,Utusan Melayu, Warta Malaya, Warta Ahad dan Lembaga Malaya “…penulisan pensejarahan itu tidak tertumpu kepada pensejarahan Islam, malah kepada peristiwa sejarah seperti sejarah tempatan, sejarah Eropah, tokoh,peperangan, malah sejarah akhbar/ majalah itu sendiri.”[11] Roff pula menyatakan, “ terdapat surat-surat khabar mingguan dan harian yang tiada hubungan dengan agama bernama Utusan Melayu (1907-21) dan Lembaga Melayu (1914-31). Kedua-dua unsur tersebut adalah bentuk-bentuk nilai yang menyelubungi masyarakat Melayu ketika akhbar-akhbar itu berperanan.

            Selain dari itu kecenderungan pengisian bahan-bahan penulisan di dalam akhbar-akhbar juga ditentukan oleh jangka hayat sesebuah akhbar, dasar kerajaan, batasan sumber kewangan atau pembiayaan dan sambutan pembaca. Contohnya Jawi Peranakkan yang jangka hayatnya agak panjang iaitu 19 tahun telah menyiarkan berita-berita yang berlaku “…di negeri-negeri Melayu di Semenanjung dan di daerah -daerah seperti Lingga, Jawa Barat, Sumatera Utara, Sumatera Barat, Sumatera Timur dan Brunei. Untuk kaum pedagang Jawi Peranakan menyiarkan harga barang-barang dagangan seperti timah, gambir,lada hitam, lada putih…”.[12] 

      Akhbar Peridaran Syamsu Wal-Kamar, Nujumul Fajar dan Idaran Bintang Timor gagal menyaingi Jawi Peranakan dan “…tidak sempat hidup lama lantaran kepicikan pelanggan.”[13] Akhbar Pemimpin Warita (1895-1897) juga tidak panjang umurnya “…kerana kesulitan mendapat sokongan pembaca dan langganan yang tetap, Pemimpin Warita diberhentikan penerbitannya pada penghujung bulan Ogos 1897.”[14]   

      Sementara itu, Cahaya Pulau Pinang (1900-1908) yang cuma mempunyai empat halaman turut memuatkan pensejarahan tempatan dan luar negeri. Contohnya “Darihal Duli Tengku Diauddin Yang Maha Mulia”[15] dan “Istanbul”.[16] Tetapi akhbar ini cuma hidup lapan tahun setengah dan terkubur pada 28 Mac 1908,[17] kerana tidak mendapat sambutan. Bagi mengulas fenomena ini, Khoo Kay Kim menegaskan, “…mengeluarkan akhbar dan majalah pada masa dahulu bukanlah satu jenis perniagaan yang begitu viable. Bukan hanya pasarannya terbatas bahkan pengedarannya sudah tentu menimbulkan masalah terutamanya pada waktu sebelum Perang Dunia II kerana sistem perhubungan masih belum begitu efisien.”[18]

      Pendapat ini diperkukuhkan lagi oleh Hj.Muhammad Mohd. Said yang mengatakan; “…kehidupan surat-surat khabar Melayu dan lainnya, sekiranya tiada siapa yang gemarkannya dan tiada pula dibayar  wang yuran langganannya tentulah ia tiada hidup dengan berpanjangan umur.”[19] Beliau juga menegaskan bangsa Melayu yang berpendidikan ketika itu menganggap, “…membaca surat khabar itu disifatkan suatu perkara yang tiada memberi faedah dan jauh sekali mereka itu hendak berlanggan dan membayar yurannya.”[20]

      Manakala Utusan Melayu dan Lembaga Melayu yang pro-kerajaan hidup segar kerana dibantu oleh akhbar Inggeris Singapore Free Press dan Malaya TribunePengasuh pula walaupun mengalami kerugian akibat langganan tidak dibayar terus juga diterbitkan kerana ia merupakan lidah rasmi  Majlis Ugama dan Istiadat Melayu Kelantan.[21]

      Berdasarkan contoh-contoh tadi jelaslah bahawa makalah pensejarahan Melayu dimuatkan berdasarkan keperluan dan kepentingan semasa dan batasan kewangan. Ini kerana pelanggan akhbar ketika itu tidak ramai dan lebih meminati karya sastera seperti pantun, cerpen, syair, cerita adat dan hikayat. Contohnya akhbar Jawi Peranakkan yang mempunyai empat halaman tidak mementingkan makalah pensejarahan, sebaliknya “…separuh isinya dipenuhi dengan iklan.”[22] Natijahnya dari sudut historiografi, maka nilai pensejarahan yang terkandung atau dipaparkan oleh sesebuah akhbar turut dipengaruhi oleh unsur-unsur yang disebutkan tadi.

            Salah sebuah akhbar penting yang menyumbang kepada pensejarahan Melayu ini baik secara positif dan negatif ialah Pengasuh. Bagi memahami peranan Pengasuh dari segi pensejarahan Melayu ada lebih baik kita tinjau kedudukan peranan dan sumbangan akhbar lain yang wujud sebelum dan semasa dengan Pengasuh. Dengan ini kita dapat membuat penilaian sejauh manakah akhbar-akhbar yang wujud menjadi penyumbang kepada pensejarahan Melayu dalam bentuk atau kebolehan masing            -masing apabila dibandingkan dengan akhbar Pengasuh yang menjadi fokus utama kajian ini.

      Kaedah ini akan meningkatkan lagi cara pengukuran terhadap Pengasuh dari segi historiografi kerana Pengasuh umumnya merupakan sebuah akhbar yang sensitif kepada keperluan rakyat dan menjadi sumber sejarah orang awam serta kepada penulisan sejarah dari bawah yang melibatkan rakyat biasa. Antara sumbangan Pengasuh kepada pensejarahan Melayu ialah menyumbangkan   pensejarahan sosial, pensejarahan riwayat hidup tokoh, pensejarahan politik dan ekonomi, kemasyarakatan, keagamaan, tatanegara, peperangan dan pensejarahan bahasa.




              [1] Khoo Kay Kim, Majalah dan Akhbar Melayu Sebagai Sunber Sejarah, Perpustakaan Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1984,  hlm.5.
              [2]William R. Roff, Sejarah Surat-Surat Khabar Melayu, Monograf Persekutuan Bahasa Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1967,hlm.7.
              [3]Ahmat Adam, Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Melayu Abad Kesembilan Belas , hlm.30.
              [4] Chahaya Pulau Pinang, 29 Disember 1900, hlm.2-3.
              [5]Syed Abu Bakar Abdullah Al-Attas, “Tamadun Orang-Orang Arab Pada Masa Jahiliah dan Islam, Pengasuh, Bil.611, 20 Mei 1937, hlm. 1-2.
              [6]Undang-undang hasutan diperkenalkan di Negeri-Negeri Selat  di bawah Ordinan No.11,1915 apabila dunia antarabangsa sedang mengalami peperangan. Pihak berkuasa kolonial di Malaya semakin berhati-hati tentang sentimen anti-British. Di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu,kawalan penerbitan yang mengendungi unsure hasutan dibuat oleh Pesuruhjaya Tinggi di bawah Public Emergency Enactment 1917. Untuk keterangan lanjut lihat Md. Sidin Ahmad Ishak, Penerbitan Percetakan Buku Melayu 1807-1960, Dewan Bahasa dan Pustaka, KualaLumpur, 1998, hlm.253-266.
              [7]Azmah Abdul Manaf, Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia , Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 2001, hlm.324.
              [8]Editor tersebut ialah Tok Kenali dan Hj.Muhammad bin Muhammad Said. Lihat Md. Sidin Ahmad Ishak, Penerbitan Percetakan Buku Melayu 1807-1960, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1998,hlm.61.
              [9]Khoo Kay Kim, Majalah dan Akhbar Sebagai Sumber Sejarah, hlm.7.
              [10] Muhd. Yusuf Ibrahim,Pensejarahan Melayu 1800-1960, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,1994, hlm.143.
              [11]Ibid., hlm.143.
              [12]Ahmat Adam, Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Melayu Abad Kesembilan Belas, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 1994,  hlm.59.
              [13]Ibid., hlm.62.
              [14]Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu ,hlm. 1776.
              [15]Chahya Pulau Pinang, 26 Januari 1901, hlm.2. 
               [16]Chahya Pulau Pinang, 6 Ogos 1904, hlm.2.
              [17]Chahya Pulau Pinang, 28 Mac 1908, hlm.1.
              [18]Khoo kay Kim, Majalah dan Akhbar Melayu Sebagai Sumber Sejarah, hlm.6.
              [19]Rencana Pengarang, “Kehidupan Surat-Surat Khabar Melayu dan Kemajuannya,”Pengasuh, Bil.52, 30 Julai 1920, hlm.1.
              [20]Ibid., hlm.1.
              [21]Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan dieja Majlis Ugama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan kerana ejaan tersebut merupakan ejaan asal yang terdapat di dalam Pengasuh.
              [22]William R. Roff, Sejarah Surat-Surat Khabar Melayu,hlm.9.