Isnin, 24 Februari 2014

PERSIDANGAN ECAPE DIBUKA DENGAN RASMINYA

Pada hari ini 24.2 dalam tahun 1958, satu Persidangan Suruhanjaya ekonomi Asia dan Timur Jauh atau ECAPE telah diadakan di kalangan negara-negara anggota ECAPE di Kuala Lumpur. Persidangan telah dihadiri oleh wakil 23 buah negara anggota, membincangkan berkenaan dengan perusahaan dan hasil bumi yang terdapat di negara masing-masing serta cara-cara untuk memajukan hasil tersebut. Persidangan yang diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman Kuala Lumpur selama 2 hari tersebut telah dirasmikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra. Berucap semasa persidangan tersebut Tunku menjelaskan usaha-usaha dijalankan oleh negara ini bagi memajukan perusahaan dan pencarian hasil bumi bagi menambahkan dan mempelbagai hasil pendapatan negara dan peluang pekerjaan kepada penduduknya. Antara usaha-usaha yang dijalankan oleh ECAPE ini ialah seperti menjalankan kajian serta menyediakan peta kawasan galian di Asia dan Timur Jauh yang menunjukkan kawasan yang mengandungi hasil-hasil bumi untuk dimajukan. Manakala berkaitan dengan perusahaan pula usaha-usaha dijalankan oleh negara-negara ahli bagi memajukan negara masing-masing berkaitan dengan perusahaan baru serta pemindahan teknologi daripada negara-negara maju ke negara yang baru merdeka. Dengan adanya persidangan ini, negara-negara anggota dapat bertukar-tukar pandangan berkaitan dengan usaha-usaha memajukan sektor perkilangan dan hasil bumi negara-negara di bawah naungan anggota ECAPE.

SUMBER: http://www2.arkib.gov.my/hids

Tiada ulasan:

Catat Ulasan