Isnin, 24 Februari 2014

PERSIDANGAN PERTAMA MAJLIS PERUNDANGAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU

Pada  hari  ini  24.2 dalam  tahun  1948,   Dewan  Perundangan  Persekutuan  Tanah Melayu  telah  mengadakan  persidangan  yang  pertama  di Dewan  Tuanku  Abdul Rahman, Kuala  Lumpur.  Persidangan  yang  bersejarah  ini  telah  dirasmikan  oleh Pesuruhjaya Tinggi Inggeris Sir Edward Gent. Turut hadir ialah Menteri Negara bagi Hal Ehwal Tanah Jajahan, Lord Listowel. Pembentukan Majlis ini berasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan 1948,  Bahagian Empat yang  menyatakan bahawa ahli-ahli majlis mestilah terdiri daripada Pesuruhjaya Inggeris sebagai Presiden, 3 orang Ex-Officio iaitu Ketua Setiausaha, Setiausaha Kewangan dan Peguam Negara, 11 orang ahli rasmi dan 34 orang ahli tidak rasmi.  Kesemua ahli majlis ini mestilah warganegara Persekutuan Tanah Melayu ataupun rakyat British, kecuali ahli Ex-Officio.  Dalam persidangan ini, Dato' Onn Jaafar telah berucap mewakili orang Melayu menegaskan, bahawa rakyat Persekutuan Tanah Melayu tidak memerlukan  campurtangan dan kuasa luar dalam pentadbiran negara.  Manakala, orang cina telah diwakili oleh Dr. Ong Chong Keng dan S.B. Palma pula mewakili orang India telah menyatakan kesetiaan dan taat setia terhadap negara. Kesepaduan dan kesepakatan di kalangan rakyat berbilang kaum inilah yang membantu negara untuk mencapai  kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
SUMBER: http://www2.arkib.gov.my/hids

Tiada ulasan:

Catat Ulasan