Ahad, 23 Februari 2014

Fosil dinosaur di banjaran gunung

 
Oleh Abdul Rashid Abdul Rahman-utusanpahang@utusan.com.my

TEMERLOH 22 Feb. - Kawasan banjaran gunung di negeri ini yang meliputi Gunung Tahan, Gunung Gagau, Gunung Berantai, Tembeling, kawasan Maran dan Endau Rompin berkemungkinan besar mempunyai banyak fosil dinosaur.

Ahli Paleontologis Institut Geologis Malaysia (IGM), Ahmad Rosli Othman (gambar) berkata, hanya kawasan tersebut mempunyai kelompok jujukan batuan berusia jura kapur dalam Kumpulan Tembeling yang mempunyai fosil dinosaur.

Sehubungan itu, katanya, adalah mustahil untuk menemukan fosil dinosaur di kawasan Kuala Semantan di sini yang hanya berpotensi menemukan cengkerang memandangkan geologinya adalah laut dalam satu ketika dahulu.

"Pada ketika ini usaha menjejak fosil dinosaur adalah sukar kerana kawasan ini diliputi hutan tebal dan topografinya bergunung-ganang, malah sesetengah kawasan adalah kawasan taman negara yang dilindungi.

"Bagaimanapun fosil tersebut boleh dijumpai di kawasan bukit yang dipotong untuk pembinaan jalan raya seperti di Lebuhraya Pantai Timur sekitar bandar Maran dan jalan raya Paloh Hinai-Bera.

"Boleh juga ditemui di kawasan Tembeling yang mana sekarang kerja-kerja pemotongan cerun bukit giat dijalankan untuk pembinaan empangan hidroelektrik," katanya di sini hari ini.

Pada Ogos tahun lalu kumpulan penyelidik Jabatan Geologi, Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) menemukan sebatang fosil gigi dinosaur daripada spesies 'Spinosaurid Therapod' yang dikenali sebagai 'dinosaur pemakan ikan' di sebuah lokasi di Gugusan Kuala Semantan dan Temerloh.

Fosil yang diberi nama sebagai 'Sampel UM10575' itu mempunyai ukuran 23 milimeter panjang dan 10 milimeter lebar.

Menurut Ahmad Rosli, penemuan gigi dinosaur itu membuka ruang bagi kajian lanjut terutamanya untuk mencari tulang belulang dinosaur yang masih tersimpan kukuh dalam batuan.

Dalam pada itu, beliau berkata, zaman jura dan kapur adalah zaman kemuncak kemunculan pelbagai jenis dinosaur yang mana apabila haiwan itu mati bangkainya tertimbus oleh enapan sedimen, lapisan demi lapisan.

"Lapisan sedimen yang tertimbus ini membentuk jujukan batuan iaitu mengawet tulang belulang itu membentuk fosil," ujarnya.

Sumber-ArtikelPenuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140223/dn_17/Fosil-dinosaur-di-banjaran-gunung#ixzz2u8vF3Wnh © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan