Sabtu, 8 Oktober 2016

1.Sejauhmanakah masyarakat urban (bandar) telah menjadi ciri utama pembentukan masyarakat industri di England pada abad ke-18 hingga abad ke-19.


Pengenalan

Revolusi perindustrian terbahagi kepada dua tahap. Tahap pertama bermula di England pada tahun1760 hingga 1850. Tahap kedua pula bermula antara tahun 1890 hingga 1914 di Perancis, Jerman dan Belgium. Revolusi ini telah melahirkan masyarakat yang dikenali sebagai masyarakat industri yang terdiri daripada pelbagai kelas. Antaranya ialah golongan  pengusaha industri dan buruh industri. Perubahan –perubahan yang berlaku telah mengubah ciri masyarakat daripada  feudal iaitu masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman berhijrah dan memberi tumpuan ke kawasan bandar contoh Manchester, Liverpol dan Leeds.   Proses pembandaran ini telah menjadi ciri utama pembentukan masyarakat industri di England. Namun begitu terdapat ciri-ciri lain yang turut membentuk masyarakat industri di England iaitu , muncul kelas masyarakat baru, berlakunya mobiliti sosial, lahir masyarakat berpendidikan, munculnya masyarakat yang mempunyai pengkhususan pekerjaan, masyarakat yang memberikan tumpuan kepada kegiatan ekonomi berasaskan industri, perubahan gaya hidup masyarakat  dan masyarakat yang mempunyai semangat keusahawanan.

FAKTA 1

Masyarakat Urban /Bandar (Pengetahuan 1-wajib dalam perenggan 1)


TAAKULAN
Masyarakat industri ialah masyarakat yang tinggal di bandar-bandar seperti London , Manchester, Liverpool dan Munich. Dalam hal ini, selepas berlakunya Revolusi Perindustrian di Eropah, masyarakat luar bandar telah berhijrah secara beramai-ramai ke bandar-bandar dan mereka bekerja di kilang-kilang. Fenomena ini menyebabkan kemunculan proses pembandaran khususnya di bandar-bandar perindustrian. Perkembangan ini menyebabkan berlaku pertambahan penduduk secara mendadak di kawasan-kawasan bandar. Kesannya, penghijrahan secara beramai-ramai telah mengakibatkan kesesakan yang teruk di bandar-bandar industri tersebut. Revolusi industri telah memberi impak yang cukup besar terhadap pertumbuhan penduduk di Eropah terutama nya England. Populasi penduduk Eropah berkembang pada kadar yang perlahan pada awal kurun ke-18 tetapi mula menunjukkan pertumbuhan yang agak pesat pada tahun 1780. Menjelang kurun ke-18, populasi penduduk Eropah telah meningkat pada kadar tertinggi. England merupakan contoh terbaik bagi melihat pertumbuhan positif penduduk ini kerana pada tahun 1688, jumlah penduduk di England hanyalah 5.5 juta orang tetapi menjelang tahun 1801, populasi penduduk di England bertambah menjadi 9 juta orang dan pada tahun 1851, jumlah ini meningkat lagi menjadi 18 juta orang iaitu peningkatan sekali ganda berbanding 50 tahun sebelumnya.

Industrialisasi dan pertumbuhan penduduk saling memperkukuhkan antara satu sama lain. Bekalan makanan dan peluang pekerjaan yang lebih baik menggalakkan orang untuk berkahwin pada usia yang lebih muda dan memperolehi anak yang ramai. Kadar kelahiran yang tinggi bermakna jumlah kanak-kanak juga ramai dan seterusnya menyumbang kepada bekalan buruh kanak-kanak yang menjadi tenaga penting di lombong-lombong arang batu. Pada kurun ke-19, kanak-kanak yang berusia kurang daripada 15 tahun adalah seramai 40 peratus daripada penduduk seluruh Britain. Pertumbuhan penduduk yang pesat di kawasan-kawasan industri Eropah juga disebabkan oleh proses migrasi yang berlaku. Berjuta-juta orang melakukan migrasi atau perpindahan semasa berkembangnya revolusi industri dengan ada di antara mereka yang berpindah dari kampung ke bandar dengan harapan mencari pekerjaan ataupun mencari kehidupan yang lebih baik.

FAKTA 2
Masyarakat Yang Menggunakan Teknologi Moden


Taakulan
Masyarakat di England merupakan masyarakat yang menggunakan peralatan-peralatan moden  hasil daripada kemajuan dalam bidang sains dan teknologi. Dalam hal ini, terdapat minat yang mendalam untuk menerapkan unsur-unsur sains dan teknologi dalam bidang perindustrian dan hal ini memungkinkan pengenalan beberapa rekaan dan ciptaan peralatan-peralatan moden seperti mesin-mesin. Penciptaan mesin-mesin ini menyebabkan perkembangan kegiatan perindustrian di mana hasil hasil ini dipatenkan untuk mengelakkan peniruan daripada orang lain.     Dalam hal ini, pelbagai mesin telah direka oleh ahli sains seperti enjin wap yang dihasilkan daripada penghasilan tenaga wap melalui pembakaran arang batu. Sebagai contoh, enjin berkuasa wap yang dihasilkan oleh Thomas Newcomen dan James Watt.

FAKTA 3
Masyarakat Yang Berkerja di Kilang-Kilang
TAAKULAN
Revolusi Perindustrian yang bermula di England juga telah menyebabkan perubahan pekerja dan keadaan  kerja di kilang-kilang di Eropah. Sebelum Revolusi Perindustrian di Eropah kebanyakan golongan bawahan masyarakat Eropah berkerja sebagai petani dan mereka dikongkong oleh tuan tanah. Menjelang Revolusi Perindustrian keadaan ini berubah kerana pada masa itu golongan bawahan yang tertindas kebanyakan bukan berkerja sebagai petani tetapi mereka yang berkerja di kilang-kilang yang pesat dibangunkan ketika itu. Pada kebiasaanya, seorang pekerja kilang berkerja selama 12 jam sehari dan enam jam tiga puluh minit pada setiap hari minggu. Manakala upah yang dibayar kepada pekerja-pekerja ini hanya mencukupi untuk mengisi perut. Keadaan ini membawa kesan yang buruk kepada masyarakat bawahan di Eropah kerana mereka bukan sahaja tidak berpeluang untuk memperbaiki hidup tetapi terus berada dalam keadaan terhimpit dan dibelenggu kemiskinan.

Penindasan terhadap golongan bawahan pada ketika itu adalah amat teruk. Masa berkerja yang terlalu lama dan masa rehat yang singkat menyebabkan kebanyakan pekerja, khususnya kanak-kanak berasa amat letih dan ada yang terjatuh ke dalam mesin lalu terbunuh. Kanak-kanak yang menjadi buruh juga berkerja dalam suasana yang gelap dan berbahaya di dalam lombong arang batu. Tempat tinggal yang disediakan oleh pengusaha kilang kepada pekerja mereka juga adalah amat teruk. Nasib golongan para pekerja kilang ini hanya terbela pada awal tahun 1790. Pada ketika itu kadar penindasan terhadap golongan bawahan mula bekurangan dan pada 1802 Parlimen telah melarang dan mengharamkan penindasan terhadap golongan bawahan. Pada ketika itu juga, mula muncul beberapa majikan dan golongan sosial reformis yang memperjuangkan nasib para kanak-kanak dan buruh-buruh yang ditindas oleh majikan mereka. Mereka mula mempersoalkan tentang nasib golongan yang tertindas dan menuntut piawaian kemanusiaan diwujudkan.

  Dalam memperjuangkan nasib pekerja-pekerja kilang golongan ini juga menggunakaan risalah-risalah kepada masyarkat umum di Eropah bagi menyedarkan mereka tentang penindasan yang berlaku terhadap golongan bawahan. Di samping itu, golongan reformis sosial juga mendesak Parlimen di Eropah agar dapat mewujudkan satu sistem perundangan yang melindungi golongan tertindas khususnya kanak-kanak. Hasil daripada usaha golongan ini, akhirnya mereka berjaya memperbaiki nasib golongan bawahan dan pekerja kilang yang ditindas oleh para pengusaha kilang dan lombong.

 Pencapaian terbesar golongan reformis adalah dengan terbentuknya akta kilang 1833. Akta ini telah menetapkan masa berkerja kanak-kanak yang berusia 9 hingga 13 tahun adalah 8 jam sehari. Dalam pada itu, golongan remaja yang sebelumnya bekerja 14 hingga 18 jam sehari telah dilonggarkan waktu bekerja nya menjadi 13 jam sehari. Peraturan tersebut juga melarang semua kilang-kilang mengambil kanak-kanak yang berusia kurang daripada 9 tahun untuk berkerja. Kanak-kanak dalam lingkungan usia ini akan didaftarkan di sekolah-sekolah rendah yang ditubuhkan oleh pengusaha-pengusaha kilang. Akhirnya usaha perjuangan untuk membela nasib golongan pekerja kilang mula terbela dan secara perahan-lahan penindasan terhadap golongan tersebut mula berkurangan.


FAKTA 4
Taraf  Hidup Masyarakat Mengikut Kelas
Taakulan
Masyarakat industri  tergolong kepada dua kelas iaitu kelas kapitalis dan kelas pekerja. Kelas kapitalis terdiri daripada pemilik kilang, tuan tanah dan pengusaha lombong. Dalam pada itu, golongan pekerja amat bergantung kepada golongan kapitalis. Dalam hal ini, pada peringkat awal, proses perindustrian membawa kesengsaraan kepada rakyat biasa yang bekerja sebagai buruh di kilang dan selepas berlakunya peningkatan dalam pengeluaran, muncul pula golongan profesionalisme. Perkembangan ini menyebabkan taraf kehidupan golongan pekerja meningkat.

Revolusi Perindustrian di Eropah juga menyaksikan kemunculan golongan baru dalam hierarki masyarakat Eropah. Sebelum Revolusi Perindustrian, masyarakat di Eropah terdiri daripada masyarkat petani tradisional yang meliputi golongan bangsawan dan pemilik tanah, sekumpulan kecil pedagang dan tukang, dan sekumpulan besar golongan petani. Golongan kelas pertengahan baru merupakan kelompok penting dalam strata sosial di Eropah menjelang abad ke-18 dan kemunculan mereka adalah disebabkan oleh perkembangan revolusi industri pada abad berkenaan. Golongan kelas pertengahan baru ini termasuklah pemilik kilang, peniaga, ahli-ahli bank, peguam dan jurutera. Kewujudan mereka ini telah membawa perubahan yang amat besar dalam sistem hierarki di Eropah. Mereka bukan sahaja menyebabkan perubahan dalam masyarakat Eropah tetapi golongan ini juga banyak menyumbang kepada pendapatan ekonomi negara-negara Eropah. Golongan pertengahan ini ber keinginan mencuba idea baru dan bersedia menerima risiko dalam urusan perniagaan baru yang diceburi. Semangat dan keberanian golongan pertengahan ini menjadi salah satu faktor yang menyebabkan bidang industri di Eropah berkembang dengan pesat.

Menjelang abad ke-17 dan ke-18, kemunculan golongan pertengahan atau lebih dikenali sebagai golongan borjuis telah mula mencabar kedudukan golongan aristokrat di Eropah. Golongan borjuis atau menengah pada asalnya terdiri daripada kalangan orang bandar yang bergiat dalam berbagai-bagai kegiatan ekonomi seperti perdagangan, perniagaan bank, pembuatan, guaman, kedoktoran dan sebagainya. Lama–kelamaan hasil daripada penglibatan dalam pelbagai bidang golongan ini menyebabkan mereka dapat mengumpul kekayaan. Dari segi ekonomi golongan kelas pertengahan ini mula menyaingi kekayaan golongan bangsawan di Eropah. Daripada kekayaan yang mereka perolehi golongan ini telah membeli banyak tanah di kawasan luar bandar. Keadaan ini bukan sahaja memberi saingan ekonomi kepada golongan aristokrat tetapi juga telah mula mencabar kedudukan golongan aristokrat dari segi kuasa politik.

Pada peringkat awal, golongan pertengahan di Eropah tidak mempunyai kuasa dalam bidang politik, tetapi apabila kegiatan perdangangan semakin berkembang, peranan golongan ini menjadi semakin penting. Dasar merkantilisme yang diamalkan oleh kebanyakan negara Eropah selepas abad ke-16 juga menyebabkan peranan dan pengaruh golongan ini semakin berkembang. Pada ketika itu raja-raja di Eropah mula memberi kerjasama kepada golongan borjuis kerana melalui aktiviti yang dijalankan oleh golongan tersebut, raja-raja dapat mengukuhkan dan memperkembangkan ekonomi negara.


FAKTA 5
Perubahan Sosial Masyarakat Ke Arah  Materialistik dan Masalah Sosial
Taakulan
Sebelum zaman revolusi, masyarakat Eropah merupakan masyarakat yang sangat terikat dengan tradisi kekeluargaan yang kuat dan kebanyakkan mereka tinggal di kawasan luar bandar. Mereka hidup secara ringkas dan seadanya dan tidak ada usaha untuk melakukan mobiliti sosial dan cara hidup mereka yang mudah. Ibu bapa memainkan peranan yang cukup jelas dalam keluarga dan mereka juga mempunyai hak mutlak dalam menentukan jodoh anak mereka. Setelah tercetusnya revolusi industri, keadaan tersebut mula berubah dan golongan muda mula beremigrasi menuju ke kawasan yang giat dengan kegiatan industri atau kawasan bandar. Ikatan kekeluargaan yang sebelum ini erat mula menjadi longgar. Keadaan di kawasan bandar melahirkan gaya hidup yang sangat mencabar. Keadaan ini menyebabkan golongan yang berada di bandar lebih berdikari dan cekal dalam menghadapi cabaran.

Bakat dan kekayaan menjadi kayu ukur kepada standard sosial seseorang manakala skala kehidupan feudal yang bergantung kepada status keturunan untuk sampai ke satu tahap sosial sudah semakin lemah. Dalam pada itu, kehidupan yang bebas di bandar mendedahkan penduduknya dengan pelbagai permasalahan sosial yang kritikal seperti masalah pelacuran dan jenayah berat. Pelacuran menjadi penyakit sosial di Eropah. Di London 80,000 orang pelacur. Golongan wanita menjadi golongan yang begitu rendah kedudukannya dalam carta sosial di zaman revolusi industri.

Sebelum revolusi industri isteri para pegadang boleh bergiat aktif dalam perniagaan tetapi setelah revolusi industri mereka adalah ditegah daripada terlibat dengan sebarang aktiviti perniagaan dan mereka hanya perlu bertanggungjawab terhadap rumah tangga, hamba-hamba, pendidikan anak-anak dan kehidupan sosial keluarga. Golongan pelabur menjadi golongan penting dalam zaman revolusi industri kerana mereka berperanan sebagai penjana ekonomi kerajaan. Golongan ini juga menjadi pendukung aktiviti penjelajahan dan penerokaan ke Timur dengan menyediakan modal untuk tujuan ekonomi.

FAKTA 6
Masyarakat Literasi
Taakulan

Masyarakat industri juga merupakan masyarakat yang mempunyai ilmu pengetahuan dan berpendidikan. Oleh yang demikian, mereka terdedah kepada unsur-unsur demokrasi dalam kehidupan seharian mereka dan masyarakat ini menggunakan ilmu secara sistematik dan teratur untuk merancang tugas dan menjalankan aktiviti sosial yang lain.

FAKTA 7
Masyarakat Keusahawanan
Taakulan
Semangat keusahawanan dalam kalangan tokoh-tokoh perindustrian membantu perkembangan industri di England. Semangat keusahawanan ini menentukan daya kreativiti dan inovatif tokoh-tokoh perindustrian. Antara tokoh-tokoh yang memiliki sifat-sifat ini seperti James Watt dan Matthew Boulton. Sebagai contoh, James Watt telah memperbaiki enjin ciptaan Thomas Newcomen pada 1763 dan enjin tersebut berupaya menghasilkan tenaga wap yang lebih berkesan. Dalam hal ini, James Watt telah menubuhkan syarikat usahasama dengan Matthew Boulton dan syarikat itu telah mengeluarkan enjin berkuasa untuk pasaran domestik dan antarabangsa. Dalam hal ini, ramai pengusaha kaya di England yang mampu membeli mesin-mesin baru untuk kilang-kilang mereka.


FAKTA 8
Perubahan Politik Dalam Masyarakat
Taakulan
  Akibat daripada kemunculan beberapa golongan baru iaitu golongan pertengahan atau borjuis dan golongan pekerja atau proletariat pada zaman industri maka pemikiran politik masyarakat Eropah menjadi lebih terbuka yang akhirnya mencambahkan idea-idea politik yang baru. Golongan pertama atau kelas pertengahan merupakan golongan yang sentiasa menambahkan kekayaan dan kekuasaan. Manakala golongan pekerja atau proletariat adalah tidak terurus dan berada dalam kemiskinan. Akibat kemiskinan dalam kalangan golongan pekerja mula terdapat golongan yang mempercayai bahawa golongan kaya mengeksploit golongan miskin dan golongan ini merupakan golongan yang memiliki sebahagian besar daripada sumber kekayaan dalam masyarakat. Golongan ini telah mendesak kerajaan di Eropah supaya campur tangan dalam perdagangan dan industri bagi membendung penindasan yang berlaku terhadap golongan proletariat dan seterusnya melahirkan masyarakat yang adil. Perjuangan golongan ini akhirnya membawa kepada kemunculan fahaman sosialisme.

Fahaman sosialis ini berpendapat persamaan dari segi sivil dan politik tidak bermakna tanpa persamaan  dalam bidang ekonomi. Pada peringkat awal terdapat penganut sosialisme ini terbahagi kepada dua. Perbezaan kedua-dua penganut ini bukanlah dari segi matlamat akhir tetapi berbeza dari segi teknik bagi mencapai matlamat. Kumpulan pertama lebih mementingkan cara damai bagi mencapai matlamat mereka. Golongan ini menetang pemusatan kuasa di dalam pemerintahan dan menaruh kepercayaan kuat kepada manusia untuk menguruskan kemasyarakatan. Golongan ini juga percaya bahawa revolusi industri boleh membawa kepada zaman kemakmuran. Berpandukan keyakinan ini, maka mereka mengagungkan pekerjaan dan pekerja, serta memandang rendah terhadap golongan yang menyara hidup tanpa berkerja dengan tulang empat kerat.

 Lanjutan daripada tradisi sosialis akhirnya membawa kepada kemunculan fahaman Marxisme atau Komunis. Marx adalah ahli sosialis pertama yang menerangkan politik dan sejarah dalam konteks ekonomi. Menurut Marx semua masyarkat manusia melalui tahap yang sama dalam perkembangan sejarah. Setiap tahap tersebut ditandakan oleh perubahan dalam kaedah pengeluaran dan pergelutan antara kelas masyarakat iaitu antara pemerintah dan yang diperintah. Idea utama yang didukung oleh Marx ialah teori materialisme. Teori tersebut menyatakan keadaan ekonomi sesebuah masyarakat akan menentukan bentuk institusi yang terbaik, negara, undang-undang, dan agama dalam masyarakat. Oleh itu, sebarang perubahan dalam bidang ekonomi akan turut mempengaruhi sesuatu institusi. Dalam hal ini perjuangan kelas untuk mengawal punca-punca pengeluaran akan membawa masyarakat kepada kedudukan yang lebih tinggi dan keadaan ini akan menyebabkan berlakunya revolusi.       

Selain itu, Marx turut menyatakan bahawa pertentangan antara kelas masyarakat adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam golongan pertengahan kerana golongan tersebut sentiasa memburu keuntungan. Bagi mendapatkan keuntungan golongan pertengahan akan menindas golongan proletariat. Manakala puak proletariat pula akan bersatu untuk mempertahakan diri dan kemudianya akan mampu membentuk sebuah masyarakat tanpa kelas ataupun masyarakat komunis.

Kemunculan fahaman baru dalam pemikiran politik ini telah menyebabkan berlaku berlaku pertelingkahan antara masyarakat Eropah. Keadaan ini berpunca daripada fahaman antara beberapa pihak yang cuba untuk memperbaiki beberapa golongan khususnya golongan pekerja di Eropah. Dalam hal ini, Revolusi Perindustrian yang berlaku di Eropah bukan sahaja membawa impak yang menyebabkan perubahan dalam pemikiran politik di Eropah tetapi turut membawa kepada perjuangan golongan pekerja dalam politik untuk memperbaiki kehidupan mereka.



FAKTA 9
Masyarakat Kapitalis / Pemodal
Taakulan
Terdapat modal yang mencukupi untuk pelaburan dalam sektor perindustrian di England di mana kerajaan England memiliki modal yang banyak yang dipusatkan di Bank of England. Kemunculan institusi perbankan menyebabkan terdapat kemudahan pinjaman bagi membiayai projek-projek perindustrian. Dalam pada itu, Revolusi Pertanian menyebabkan muncul peladang-peladang yang kaya dan peladang-peladang ini sanggup melaburkan lebihan modal  dalam sektor perindustrian. 

FAKTA 10
Kemunculan Golongan Proletariat
Taakulan
Selain daripada kemunculan kelas pertengahan, Revolusi Perindustrian di Eropah juga telah melahirkan golongan kelas pekerja kilang dan lombong yang dikenali sebagai proletariat. Golongan proletariat ini terdiri daripada penganggur, pemintal dan penenun. Pada zaman Revolusi Perindustrian mesin yang pada asalnya dikerjakan oleh golongan proletariat dengan menggunakan tenaga mereka tidak lagi diperlukan. Sebaliknya mesin pada zaman Revolusi Perindustrian yang menggunakan kuasa wap telah mengambil alih peranan sebahagian besar golongan ini. Oleh itu, golongan tersebut hanya mampu menawarkan tenaga buruh. Akibatnya, menjelang penghujung abad ke-18 dan ke-19 golongan proletariat tadi dibayar gaji yang amat rendah kerana mesin telah menggantikan kerja-kerja yang dijalankan oleh golongan tersebut sebelum ini.     Di Britain dan negara-negara Eropah yang lain walaupun golongan ini berkerja lebih masa dari yang sepatutnya mereka tetap tidak dapat mengatasi masalah kemiskinan. Keadaan ini menyebabkan golongan para pekerja ataupun golongan proletariat berada dalam kemiskinan walaupun pada ketika itu Eropah berada pada zaman Revolusi Industri.

KESIMPULAN

(ulas semula soalan dengan menyatakan pendirian menyokong soalan di samping terdapat ciri-ciri lain).

         Revolusi industri yang melanda Eropah pada abad ke-18 dan ke-19 telah membawa pelbagai impak terhadap perkembangan ekonomi, sosial, dan politik masyarakat Eropah. Sebelum revolusi industri, kegiatan ekonomi masyarakat Eropah masih lagi berpusatkan kepada pertanian ataupun industri primer. Namun demikian, setelah tercetusnya revolusi industri, masyarakat Eropah mula mengorak langkah ke arah penglibatan dalam kegiatan ekonomi yang lebih pelbagai dan pada ketika ini industri sekunder dan sektor ekonomi yang melibatkan perlombongan dan perkilangan semakin berkembang maju. Perkembangan positif dalam kedua-dua sektor ekonomi tersebut akhirnya turut mempengaruhi perkembangan sosial dan politik di Eropah.


 SKEMA PEPERIKSAAN PERCUBAAN SEJARAH STPM P1 NEGERI PAHANG 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan