ARKIB : 24/09/1998
PADA 20 Februari 1956, Almarhum
Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan bagi Tanah Melayu atau Malaya.
Tempatnya di sebuah padang di Bandar Hilir, Melaka. Tunku yang sampai pada
tengah malam 19 Februari dari Singapura membawa suatu dokumen yang cukup
berharga bagi seluruh rakyat Malaya.
Padang itu kemudiannya
dinamakan Padang Pahlawan sebagai mengambil sempena peristiwa bersejarah itu.
Tentunya banyak air mata gembira dan terharu luruh di sini.
Padang Pahlawan dalam sejarah
kemerdekaan negara adalah monumen penting kebangkitan sebuah bangsa yang
merdeka. Bukan kerana Padang Pahlawan terletak di Melaka Bandaraya Bersejarah
tetapi di sinilah tempat pengisytiharan kemerdekaan bagi Malaya 41 tahun lalu.
Kepada negara mana atau bangsa
apa sekalipun kemerdekaan adalah suatu yang sangat berharga. Kerana itu semua
yang berkaitan dengan kemerdekaan wajar dipelihara untuk dirujuk oleh generasi
kini dan akan datang.
Tetapi selepas 41 tahun Tunku
mengisytiharkan merdeka di padang berhampiran Kota A Famosa dan Bukit St. Paul
ini, ia semacam telah tertinggal jauh dalam sejarah. Padang Pahlawan hilang di
tengah-tengah monumen peninggalan penjajah Portugis yang lebih menonjol.
Tetapi hati menjadi kaku dan
pilu apabila anak-anak bertanya di mana Padang Pahlawan ketika menjejak kaki di
Padang Pahlawan. Barangkali pada bayangan mereka Padang Pahlawan seumpama
Dataran Merdeka.
Padang Pahlawan terbiar dalam
keadaan yang menyedihkan. Kini ia hanya menjadi trek yang digunakan untuk
kereta lembu membawa pelancong. Ah, beginikah rupa sebuah monumen merdeka?
Wajahnya becak, tidak terurus
dan pastinya mencari sejarah besar kemerdekaan negara terlalu sukar ditemui di
padang ini. Ia menjadi suatu yang tidak penting lagi apabila Padang Pahlawan
telah dibayangi oleh populariti St. Paul dan A Famosa.
Malah, paling menyedihkan
apabila Padang Pahlawan menjadi trek bagi kereta lembu yang mengenakan bayaran
RM6 sekali bagi satu pusingan.
Sebagai monumen sejarah bangsa
dan negara, organisasi tertentu wajar menjadikan Padang Pahlawan sebagai simbol
penting sebuah kemerdekaan.
Barangkali banyak yang bertanya
apa relevannya kereta lembu dengan Padang Pahlawan yang dianggap sebagai sebuah
monumen kemerdekaan?
Untuk mencari kembali peninggalan
sejarah kemerdekaan di Padang Pahlawan memanglah suatu yang menyukarkan. Ini
kerana padang bersejarah ini dibayangi kehebatan A Famosa dan St Paul.
Untuk mengangkat martabat
Padang Pahlawan, tentunya ia tidak cukup sekadar membariskan beberapa gerai
menjual cenderamata sahaja.
Generasi hari ini pasti tidak
banyak yang mengetahui tentang sejarah tempat ini. Sebaliknya mereka lebih
mengenali sejarah peninggalan penjajah yang terpelihara sedemikian rupa. Tidak
salah memelihara apa sahaja peninggalan sejarah tetapi membiarkan Padang
Pahlawan tentunya menjejaskan label sebuah bandar raya bersejarah di negara
ini.
Apakah nasib yang menimpa
Padang Pahlawan itu kerana sejarah sudah tidak diperlukan lagi untuk terus
mencipta kegemilangan? Atau kemerdekaan semakin hilang nilainya apabila rakyat
diasuh memburu kemajuan tanpa memanfaatkan pengalaman silam?
Di mana sebenarnya sejarah di
bandar raya bersejarah ini? Kerana banyak peninggalan sejarah penjajah Portugis
atau sejarah bangsa selain Perigi Hang Tuah dan Makam Hang Jebat?
Membiarkan sebuah tempat yang
menyimpan sejarah negara memberikan persepsi negatif kepada masyarakat luar
tentang patriotisme rakyat negara ini. Kalau tempat yang begitu bersejarah
boleh terbiar, apalah lagi yang ada untuk memperkatakan tentang maruah dan patriotik?
Organisasi yang terbabit dengan
pemuliharaan tempat bersejarah di negeri ini perlu menyelamatkan Padang
Pahlawan daripada terus dilupakan.
Aktiviti kesenian misalnya
perlu ditumpukan di tempat-tempat seperti ini selain gerai atau beca yang menggenakan
bayaran yang cukup mahal.
Kepada siapa sahaja yang
menginsafi peritnya perjalanan sebuah kemerdekaan pasti terasa pilu kerana
monumen sepenting Padang Pahlawan telah dimamah zaman. Kini ia jauh lebih daif
berbanding namanya dalam sejarah negara.
Percayalah bahawa sejarah
kemerdekaan tetap berharga walau setua mana sekalipun usianya. Bukankah
kemajuan juga hasil daripada kemerdekaan?
E-mel : kuseman@pc.jaring.my
Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz4LtDSXuXh©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan