Sabtu, 15 Oktober 2016

PENGIKTIRAFAN KELULUSAN KOLEJ ISLAM

Pada hari ini 15.10.1960, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mengumumkan pengiktirafan Sijil Kelulusan Kolej Islam, Kelang. Pengiktirafan ini diumumkan oleh Menteri Pelajaran, Encik Abdul Rahman bin Haji Talib di Majlis Penyampaian Sijil di Kolej Islam itu. Kolej Islam yang dibuka pada tahun 1955 dengan 50 orang penuntut, dikelolakan oleh satu majlis yang dinamakan Majlis Kolej Islam. Kolej yang berkembang pesat ini telah mendapat bantuan kewangan dari Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri di samping bantuan kewangan tahunan dari Kerajaan Mesir dan Arab Saudi dan negara-negara Arab yang lain. Malah penuntut-penuntut yang belajar di kolej ini adalah terdiri dari penuntut-penuntut Sekolah Arab dari seluruh negara. Salah satu tujuan kolej ini ditubuhkan ialah untuk menyediakan bakal-bakal Guru Agama Islam dan bahasa Arab yang secukupnya serta cekap mengajar di sekolah-sekolah menengah dan rendah. Di atas kepentingan ini, maka pada hari ini dalam tahun 1960 Kerajaan Persekutuan bersetuju mengiktiraf kelulusan Kolej Islam. YB Encik Abdul Rahman Talib dalam majlis Penyampaian Sijil Kolej ini menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu berusaha untuk mengawal dan melaksanakan dasar-dasar untuk mengembangkan agama Islam seperti yang terkandung di dalam Perenggan 49 Undang-Undang Pelajaran. Di dalam usaha mengiktiraf Sijil Kelulusan Kolej Islam ini, Kementerian Pelajaran telah membuat penyelidikan dan perundingan dengan Kerajaan-Kerajaan Negeri untuk menetapkan tangga gaji dari kelulusan  Kolej Islam supaya bersesuaian dengan tangga gaji  dari kelulusan maktab-maktab yang telah diakui oleh kerajaan. Perkembangan Kolej Islam Kelang yang terbatas itu telah menghalang langkah-langlah meninggikan mutu pelajaran yang ditawarkan. Bagaimanapun, langkah-langkah penubuhan Jabatan Pengajian Islam di Fakulti Sastera, Universiti Malaya dan kemudian penyerahan Kolej Islam, Petaling Jaya kepada Fakulti Islam Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun-tahun 1970/71 telah memberikan saluran untuk pelajar-pelajar Kolej Islam melanjutkan pengajian mereka ke peringkat ijazah.

SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan