ARKIB : 19/09/1998
Air mata Nurul Huda mengiringi
kemenangannya selepas papan markah mencatat tembakannya 494.8 mata, bukan
sahaja sudah cukup untuk menjuarai acara tersebut malah mengatasi rekod Sukan
Komanwel 488.7 mata yang dipegang Fani Theofanus dari Cyprus.
Paling manis, kejayaan meraih
emas pertama acara menembak Sukan Komanwel itu diraikan Perdana Menteri, Datuk
Seri Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang
turut berada di LISRAM.
Sebaik berakhir acara raifal
angin perseorangan wanita semalam, Perdana Menteri dan isteri terus mengucapkan
tahniah kepada Nurul Huda sambil diiringi laungan kata-kata semangat ''Malaysia
Boleh'' dan nyanyian lagu patriotik Barisan Kita oleh skuad penembak negara.
Bagi menambah kerancakan
''pesta'' kejayaan negara, tidak jauh dari tempat Nurul Huda menempa
kemenangan, seorang lagi penembak, Zainal Abidin Md. Zain melakukan kejutan
untuk meraih perak acara raifal laras penuh perseorangan lelaki.
Kejayaan tersebut menambahkan
lagi koleksi pingat negara dalam sukan menembak dengan satu emas, empat perak
dan dua gangsa setakat ini.
Sebelum ini, Malaysia
memperoleh tiga pingat perak dalam acara raifal angin berpasangan dan raifal
angin perseorangan lelaki, pistol sport perseorangan wanita manakala dua gangsa
diperolehi menerusi acara pistol sport berpasangan dan pistol angin berpasangan
wanita. Peringkat akhir raifal angin perseorangan wanita semalam menyaksikan
Nurul Huda memulakan tembakan agak mencemaskan apabila mencatat 8.8 mata
sedangkan pencabar terdekatnya, Sharon Bowes (Kanada) menembak 10.4 mata.
Bagaimanapun, Nurul Huda
bangkit melepaskan tembakan ke sasaran yang melebihi angka 10 mata dalam siri
kedua sehingga lapan untuk mengumpulkan 475.6 mata bagi mengatasi Sharon yang
mengikuti rapat dengan catatan 472.4 mata.
Nurul Huda kemudian menembak
9.2 mata dalam siri kesembilan untuk mengumpul 494.8 mata di depan sekalipun
Sharon mencatat 10.3 tetapi ketinggalan dengan jumlah keseluruhan 493.3 mata.
Akhirnya Nurul mengakhiri acara
tersebut dengan tembakan 10.0 mata bagi mencipta rekod baru Sukan Komanwel
dengan catatan 494.8 untuk mengatasi pemenang perak, Sharon (493.3 mata)
manakala Louise Minett dari England meraih gangsa (491.7).
Sementara penembak perak
negara, Zainal Abidin pula berjaya mengatasi pemenang gangsa Andrew Luckman
dari England dalam acara yang menyaksikan James Paton bukan sahaja meraih emas
tetapi mencatat 402 mata untuk memecah rekod Sukan Komanwel (398).
Lain-lain acara pula tidak
menghadiahkan pingat buat negara apabila Hasli Amir Hassan sekadar menduduki
tempat keempat (668.0) dalam acara pistol tembak tubi perseorangan lelaki yang
menyaksikan juara Metodi Igorov dari Kanada meraih emas (674.8) serta mengatasi
rekod Sukan Komanwel (674.8).
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0919&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4LshzJdEK©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan