A. Pengenalan.
Ketua negara Malaysia ialah Yang
di-Pertuan Agong (YDPA). Baginda merupakan Raja Berperlembagaan dan tertakluk
kepada Perlembagaan Malaysia. Jawatan baginda diwujudkan sejak tahun 1957
mengikut Perlembagaan Malaysia. YDPA merupakan lambang kedaulatan dan
ketertinggian kuasa negara. Baginda menjadi tumpuan taat setia seluruh rakyat
tanpa mengira bangsa dan kaum. YDPA dipilih oleh Majlis Raja – Raja dalam
kalangan sembilan orang sultan Melayu mengikut peraturan pemilikan yang
terkandung dalam Perlembagaan Malaysia. Jawatan YDPA dipegang secara bergilir –
gilir dan bukan diwariskan mengikut keturunan. Jawatan YDPA dipegang selama
lima tahun oleh setiap raja yang dipilih untuk memegang jawatan tersebut. YDPA
tidak memiliki kuasa mutlak kerana baginda terikat dengan kuasa Perlembagaan
Persekutuan. YDPA menjalankan kuasa pemerintahan negara berdasarkan nasihat
Perdana Menteri.
B. Isi-isi.
YDPA merupakan ketua negara. Antara peranan atau tugas yang dilaksanakan oleh YDPA
ialah pemerintah tertinggi angkatan
tentera bersenjata Persekutuan Malaysia. Baginda merupakan lambang
kedaulatan dan menjadi penaung kepada kekuatan negara. Majlis Angkatan Tentera
dibawah kuasa am YDPA bertanggungjawab untuk memerintah, menjaga tatatertib,
mentadbir dan menguruskan segala perkara yang berhubung dengan angkatan
tentera. Baginda juga berkuasa untuk
menjatuhkan hukuman, mengampunkan dan menangguhkan hukuman bagi kesalahan
yang dibicarakan dalam mahkamah tentera. YDPA juga berkuasa mengampunkan
kesalahan – kesalahan lain di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan
dan segala hukuman dijatuhkan dalam mahkamah syariah di Melaka, Pulau Pinang,
Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.
Dari
aspek agama, YDPA ialah ketua agama Islam bagi
negeri - negeri yang tidak beraja seperti Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak
dan Wilayah Persekutuan. YDPA merupakan pelindung dan penaung agama Islam di
kawasan – kawasan tersebut. YDPA juga menjadi ketua agama Islam bagi negeri
baginda sendiri.
Dalam
bidang perundangan, YDPA bertanggungjawab untuk memperkenankan rang undang – undang yang
diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum diisytiharkan menjadi
undang – undang yang sah. Semua perlaksanaan undang – undang yang diluluskan
oleh Parlimen memerlukan pengiktirafan baginda sebelum dikuatkuasakan. Baginda
mestilah mengiktiraf undang – undang yang baharu dalam tempoh 30 hari selepas
diluluskan oleh Parlimen. Sekiranya baginda tidak bersetuju dengan rang undang
– undang, baginda boleh merujuknya kepada Parlimen untuk dibincangkan semula.
Selain itu, YDPA mempunyai kuasa untuk melantik Perdana Menteri, Hakim dan Jemaah
Menteri. Baginda juga berkuasa melantik dan mewujudkan jawatan Jemaah
Menteri atas nasihat Perdana Menteri. Baginda berkuasa melantik anggota Jemaah
Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja – Raja. YDPA juga bertanggungjawab
untuk melantik Ketua Hakim Negara Mahkamah Agong dan hakim – hakim mahkamah tinggi. YDPA turut
bertanggungjawab untuk memelihara
kedudukan istimewa masyarakat Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Seterusnya, YDPA juga berkuasa untuk memanggil, menangguh dan
membubarkan Parlimen atas nasihat Perdana Menteri. Tiada orang lain yang
berhak melaksanakan tanggungjawab tersebut. Baginda juga boleh menolak
permintaan untuk membubarkan Parlimen jika belum cukup tempoh lima tahun.
Baginda boleh memberikan ucapan dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Di samping
itu, YDPA boleh meminta supaya diadakan Mesyuarat Majlis Raja – Raja tentang
keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja – Raja Melayu.
Di samping itu, YDPA juga bertanggungjawab mentauliahkan duta – duta
yang dihantar ke luar negara dan menerima tauliah duta dari negara asing. Baginda
juga perlu menyambut tetamu luar negara yang setaraf dengan baginda seperti
Ratu England atau Maharaja Jepun. Baginda juga berperanan menganugerahkan pingat kehormat kepada orang yang telah berjaya
atau berjasa kepada negara.
Baginda juga mempunyai kuasa mengisytiharkan Undang-undang Darurat
di bawah “Undang-undang X” jika didapati keselamatan negara terancam. YDPA juga
bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan rakyat secara menyeluruh.
C. Kesimpulan
YDPA sebagai ketua negara memikul peranan dan
tanggungjawab tidak terhad di dalam dan luar negara. Namun dalam menjalankan
kuasa eksekutif, baginda bertindak atas nasihat Perdana Menteri. YDPA adalah
simbol keunikan sistem pemerintahan beraja berpelembagaan yang diamalkan di
negara kita sejak mencapai kemerdekaan sehingga hari ini.
SKEMA
PERCUBAAN SEJARAH STPM P3 NEGERI PAHANG 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan