Sabtu, 1 Oktober 2016

Pingat pertama tinju negara



ARKIB : 16/09/1998
 
ADNAN Yusoh membuka tirai kemenangan pingat gangsa pertama Malaysia dalam acara tinju selepas dia menewaskan peninju Afrika Selatan, Silence Mabuza, dalam pertandingan bagi kategori bantam weight semalam.

Kemenangan dengan kiraan mata 16-14 itu sememangnya satu kejayaan manis dalam sejarah tinju negara pada Sukan Komanwel, kerana ini merupakan kali pertama peninju negara memenangi pingat.

Kejayaan itu juga melayakkan Adnan menerima hadiah RM20,000 di bawah skim galakan Majlis Sukan Negara. Tetapi dengan semangat yang semakin meluap-luap, Adnan kian yakin akan dapat mengubah warna pingat yang dimenanginya jika dia berjaya menumbangkan pencabar seterusnya, peninju Tanzania, Yomba Yomba, pada separuh akhir.

Adnan, yang bertinju secara agresif seawal pusingan pertama, menunjukkan kelincahannya mengelakkan serangan lawan serta kepantasan melancarkan serangan kilat.

"Selepas pusingan kedua, saya yakin Adnan akan memenangi perlawanan,'' kata ketua jurulatih Malaysia, Adun Pasu.

Harapan terhadap kemenangan Adnan pada perlawanan suku akhir begitu tinggi sehinggakan para penyokong Malaysia memberikan sokongan bergemuruh daripada awal perlawanan sehingga akhir. Malah, Presiden Persatuan Tinju Amatur Malaysia, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad turut menyaksikan perlawanan itu dan kemudian turun menyambut kemenangan Adnan selepas perlawanan tamat. Adun berkata, selepas peninju pertama negara Rakib Ahmad tewas di tangan peninju Mauritius, Richard Sunee, bagi kategori fly weight, skuad tinju Malaysia dilanda suasana muram.

Rakib tewas kerana kesilapan sendiri iaitu membiarkan lawannya menyerang kira-kira 13 saat sebelum perlawanan tamat. Rakib dijangka menemui laluan yang mudah pada perlawanan separuh akhir jika dia memenangi pertarungan dengan peninju Mauritius itu.

Kekalahan itu juga bermakna Rakib gagal menebus kekecewaannya terhadap kekalahannya di tangan Sunee pada pusingan akhir pertandingan Piala Presiden di Sychelles.

Bagaimanapun, kemenangan Adnan, yang tidak disangka-sangka kerana kelebihan lebih memihak kepada peninju Afrika Selatan, telah membuka mata kepada para peninju Malaysia yang lain bahawa mereka boleh menang jika mempunyai keyakinan dan semangat juang yang tinggi, katanya.

"Adnan kini muncul sebagai wira dan menjadi contoh kepada rakan-rakannya yang lain dalam menuju ke arah kemenangan,'' kata Adun. Jurulatih Malaysia yang berasal dari Thailand itu yakin Adnan boleh menewaskan peninju Tanzania pada separuh akhir kerana dia mengetahui semangat Adnan yang tidak mempunyai perasaan takut terhadap mana-mana pencabarnya. "Saya mengenalinya sejak dia berumur 11 tahun dan melatihnya bertinju seawal usia itu,''

katanya. Timbalan Presiden Persatuan Tinju Amatur Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Borhan Ahmad berkata, Malaysia berharap untuk mengutip dua lagi pingat gangsa menerusi B.Muruguthevan dan Sapok Biki pada perlawanan esok hari.

"Pada awalnya kita menjangka akan mendapat sekurang- kurangnya satu pingat tetapi adalah lebih baik jika kita dapat dua lagi pingat,'' katanya. Sapok akan menentang peninju Zambia, Kanyata Kennedy bagi kategori light fly weight manakala Muruguthevan akan bertarung dengan peninju England, Andrew Mc Lean, bagi kategori light weight.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4LooO1UoX© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan