ARKIB : 25/09/1998
PEMECATAN ahli dan pemimpin
UMNO, bukanlah perkara baru dalam sejarah parti itu. Ia pernah berlaku
berkali-kali dalam UMNO.
Sejak UMNO ditubuhkan pada tahun
1946, ia telah menyaksikan tokoh-tokoh besar dan hebat meninggalkan UMNO dengan
berbagai cara dan sebab; tetapi UMNO tetap dapat bangkit semula dan memenangi
pilihan raya demi pilihan raya dan membentuk kerajaan.
Walaupun perpecahan berlaku
dengan pemecatan itu, tetapi UMNO tetap anjal untuk menerima, membendung dan
menyelesaikan krisis dalaman yang tentunya memberi kesan yang jelas kepada
suasana dan kestabilan politik negara.
Oleh itu, dalam kemelut yang
melanda UMNO sekarang, ada baiknya kita merenung semula bagaimana
pemecatan-pemecatan awal berlaku dan mengambil iktibar, pengajaran dan panduan
agar survival UMNO dapat diteruskan atau perpecahan Melayu tidak berterusan
sehingga memberi padah kepada nasib politik orang Melayu itu sendiri.
Kali pertama UMNO menghadapi
krisis akibat daripada pemecatan pemimpinnya ialah pada tahun 1953. Tokoh yang
dipecat ialah salah pengasas UMNO yang begitu berpengaruh di Perak. Beliau
ialah Dato' Panglima Bukit Gantang (DPBG) iaitu Datuk Abdul Wahab Datuk Abdul
Aziz, yang telah menggunakan pejabat guamannya untuk menjalankan sokongan dan
pentadbiran UMNO di antara tahun 1946--1949.
Beliau adalah Setiausaha Agung
UMNO yang pertama dan beberapa kali pernah menjadi Timbalan dan Naib Presiden
UMNO dan anggota MKT UMNO. Beliau juga merupakan Orang Besar Lapan Perak yang
sangat rapat dengan Sultan Perak, Sultan Abdul Aziz Shah.
Beliau mempunyai pendidikan
yang tinggi dan merupakan anak Melayu Perak yang julung-julung kali mendapat
ijazah perundangan daripada University of London dan Inner Temple pada tahun
1930.
Beliau merupakan juga ahli
Majlis Mesyuarat Perak sebelum dilantik menjadi Menteri Besar Perak daripada
tahun 1948--1957. Beliau kemudian menjadi ketua perwakilan Raja-raja Melayu
dalam perundingan dengan British, bersama-sama dengan wakil Perikatan yang diketuai
oleh Tunku untuk mendapatkan kemerdekaan daripada British pada tahun 1956-1957.
Beliau dipecat oleh Tunku Abdul
Rahman, Presiden UMNO dengan sokongan MKT kerana didapati melanggar disiplin
parti. Kesalahan beliau ialah kerana beliau telah cuba menubuhkan sebuah
pakatan parit-parti politik perkauman yang dinamakan National Convention pada
awal tahun 1953.
Beliau sebagai orang kedua
terpenting dalam UMNO selepas Dato' Onn, telah dilihat oleh British sebagai
tokoh yang boleh membawa semua parti dan bangsa berunding bagi melahirkan
konsep satu negara-bangsa Malayan. British memang mahu dasar ini dijalankan
sebagai satu persediaan untuk memberi kerajaan sendiri di Tanah Melayu sebelum
kemerdekaan diberikan. Dalam masa yang sama British juga menyokong kerjasama
UMNO-MCA (Yang memenangi pilihanraya bandaran Kuala Lumpur 1952) dan juga IMP,
pimpinan Dato' Onn.
Dalam erti kata lain, British
menebar jala untuk mendapat tokoh yang terbaik bagi melaksanakan polisinya itu.
Di satu sudut lain pula, ternyata British menjalankan satu dasar melaga-lagakan
pemimpin-pemimpin Melayu supaya mereka berpecah dan tentunya melemahkan
perpaduan orang Melayu dan UMNO yang selama ini menjadi parti utama orang
Melayu.
Tindakan DPBG mengetuai 6 orang
Menteri Besar Negeri Melayu menubuhkan National Convention itu, menyinggung
Tunku Abdul Rahman sebagai Presiden UMNO. Dari segi parti, DPMG adalah Ketua
UMNO Perak, beliau nampaknya telah membelakangkan Tunku Abdul Rahman sebagai
seorang ketua pusat UMNO.
Tunku sepatutnya diberitahu
ataupun diminta kebenarannya. Keduanya, di segi kepimpinan Tunku bimbang DPMG
akan mengatasi pengaruhnya, ini kerana DPMG adalah veteran UMNO yang telah
sebati perjuangan UMNO dalam darah dagingnya.
UMNO Perak memang terletak di
dalam pengaruhnya kerana beliau adalah pemimpin UMNO Perak sejak tahun 1946
lagi melalui Perikatan Melayu perak (PMP), persatuan yang mendokong UMNO dan
kemudian menjadi Bahagian UMNO Perak.
Tunku pula baru memimpin UMNO
Tanah Melayu pada akhir tahun 1951, beliau bukan sahaja baru dalam kepimpinan
pusat (di Kedah Tunku telah menjadi penaung Saberkas, badan bersekutu UMNO yang
radikal dan selalu menentang Dato' Onn.
Bagaimanapun pada tahun 1947,
Tunku meninggalkan UMNO kerana krisis dengan Saberkas dan Dato' Onn sendiri),
tetapi beliau juga bersusah payah berusaha untuk mengikis pengaruh Dato' Onn
dalam UMNO.
Tunku melihat DPMG adalah sisa
pengaruh Dato' Onn, yang akan terus mengancam kepimpinannya dalam UMNO. Tunku
juga menghadapi hal yang sama di Kuala Lumpur apabila Ketua bahagian UMNO Kuala
Lumpur, Datin Puteh Mariah, juga adalah sahabat Dato' Onn.
Ketiganya, DPMG adalah lebih
bijaksana dan berpengalaman dalam politik dan pentadbiran yang merupakan aset
penting untuk memenangi hati British dan Raja-raja Melayu. Tunku juga secara
peribadi pernah bertelingkah dan mencemburui kecemerlangan DPMG sebagai pelajar
undang-undang di Temple Inn, tempat mereka menuntut.
Kejayaan DPMG lulus dengan
cemerlang pengajiannya telah membolehkan beliau menjadi Presiden Persatuan
Pelajar-pelajar Melayu Great Britain menggantikan Tunku Abdul Rahman sendiri.
Tunku terpaksa menghabiskan lebih daripada 10 tahun untuk lulus sedangkan DPMG
hanya mengambil masa yang singkat seperti sepatutnya dan terus diterima ke Bar
pada tahun depannya.
Maka sebab politik, prosedur
dan peribadi menjadi alasan untuk memecat DPMG daripada UMNO pada 2 April 1953
dan diistiharkan di dalam mesyaurat agung UMNO di melaka, tanpa DPMG dipanggil
membela diri. Perwakilan Perak telah meninggalkan mesyuarat sebagai tanda
protes, kecuali Ghazali Jawi (Tan Sri) yang kemudian dilantik menggantikan
DPMG.
Bukan mudah untuk mencabut
pengaruh DPMG daripada penyokong-penyokong UMNO. Sumbangan dan peranan DPMG
sebagai penyatu orang Melayu Perak menentang Malayan Union, menyingkirkan
pengaruh PKMM dan API serta AWAS yang bertapak kuat di Padang Rengas dan
Madrasah Gunung Semanggol dan hubungan rapatnya dengan Sultan, serta
pengaruhnya di kalangan golongan bangsawan dan elit perak terutama di kalangan
pegawai M.C.S., guru-guru, penghulu, tok sidang dan masyarakat Melayu yang
masih tertutup bukan mudah mahu dikikis.
Ghazali Jawi terpaksa mencari
dan membina kepemimpin 'grass-root' yang baru bagi menggantikan pemimpin dan
ahli-ahli UMNO yang telah mengikut DPMG. Untuk menambahkan perpecahan itu lagi,
DPMG telah menubuhkan sebuah parti baru yang dipanggil sebagai Persatuan
Kebangsaan perak (Perak Nasionalist Association), yang bekerjasama dengan Parti
Negara pimpinan Dato' Onn dalam pilihanraya-pilihanraya bandar, negeri dan
persekutuan 1955 dan 1959. UMNO juga tidak dapat membangkitkan diri dengan
begitu mudah kerana perpecahan UMNO itu telah menguatkan juga PAS, yang
disokong oleh para ulama yang juga keluar daripada UMNO pada tahun 1951 kerana
mengikut Dato' Onn atau pun kerana inginkan sebuah parti yang menggunakan Islam
sebagai pendekatannya.
Sehingga akhir 1960-an, Perak
satu-satunya negeri Melayu yang besar dan mempunyai cawangan dan bahagian UMNO
yang besar, tetapi tidak dapat melahirkan tokoh yang berkaliber seperti DPMG
untuk memimpin UMNO pusat. Peluang ini diambil oleh parti-parti pembangkang
seperti PAP untuk terus mencabar UMNO/Perikatan dalam pilihan raya-pilihan raya
sehingga kadang-kadang sangat mencemaskan seperti pilihanraya 1969.
Pemecatan Aziz Ishak pada tahun
1964 juga sangat bergelora sekali. Malah ia menjadi bibit-bibit penolakan
golongan muda UMNO kepada Kepimpinan Tunku Abdul Rahman sebagai pemimpin UMNO
dan orang Melayu. Aziz Ishak telah menjadi anggota UMNO selepas meninggalkan
Dato' Onn dan IMPG cawangan Kuala Lumpur. Kemasukannya dalam UMNO adalah
sebagai satu strategi Tunku Abdul Rahman untuk mencairkan kelantangan Utusan
Melayu mengkritik UMNO dan kerajaan Perikatan.
Sebagai bekas wartawan dalam
akhbar tersebut, diharap Aziz Ishak boleh memberi gambaran yang lebih baik demi
untuk menjaga imej Perikatan. Aziz juga mengakui Tunku Abdul Rahman berjiwa
rakyat, walaupun berketurunan kerabat Diraja. Beliau diberi tempat dalam
pilihanraya 1955 dan dilantik sebagai Menteri Pertanian. Tindakannya menubuhkan
koperasi sebagai satu cara mengelakkan cengkaman orang tengah kepada para
petani luar bandar, terutama petani Melayu telah memberi satu ruang politik
yang cukup baik bagi Aziz, terutama di Selangor.
Sebanyak 3,000 persatuan
koperasi diadakan terutama di kawasan pertanian padi di Tanjong Karang dan
Sabak Bernam, Selangor. Aziz juga membidas Dato' Onn sebagai Pengerusi RIDA
yang dianggapnya tidak berjaya memajukan ekonomi luar bandar. Aziz sebagai
bekas golongan radikal menjadi tempat bergantung para petani Melayu.
Bagaimanapun, cadangan Aziz
untuk membina kilang baja urea bagi membantu para petani mendapatkan bekalan
baja yang murah, telah menjadi punca krisisnya dengan Tunku Abdul Rahman dan
kerajaan.
Cadangannya sebagai Menteri
Pertanian telah ditolak oleh kabinet, terutamanya Menteri Kewangan, Tan Siew
Sin kerana dikatakan kos pembinaannya sangat tinggi dan tidak sesuai dibuat di
Tanah Melayu. Aziz melihatnya sebagai tekanan politik ke atasnya dan mula
membidas kerajaan dengan mendapat sokongan daripada para petani. Beliau
kemudian dikalahkan dalam pilihanraya UMNO bagi jawatan Naib Presiden yang
disandangnya. Dengan perubahan Kabinet, Aziz telah ditukarkan kepada
Kementerian Kesihatan dan Belia; ini ditolaknya kerana dianggap sebagai satu
'pembunuhan politik'.
Walaupun, Tunku membiarkan
beliau memegang Kementerian Pertanian untuk beberapa bulan selepas itu, namun
Tunku akhirnya memecat Aziz Ishak daripada kabinet pada Oktober 1963. Beliau
kekal sebagai Ahli Parlimen dan ahli UMNO untuk beberapa bulan selepas itu,
namun Tunku kemudian memecatnya daripada parti apabila kritikan-kritikannya
terhadap Tunku, UMNO dan kerajaan masih diluahkannya secara terbuka.
Aziz kemudian menubuhkan sebuah
parti baru yang dinamakan National Convention Party (NCP), sebagai penentang
kerajaan Perikatan. Sokongan bagi parti ini datangnya daripada golongan radikal
dan mereka yang tidak bersetuju dengan dasar Perikatan. Ia kadang-kadang
bersifat perkauman kerana menentang pemodal-pemodal Cina. Ia juga bersifat anti
Malaysia dan menyokong semangat Melayu Raya golongan radikal Melayu, yang kini
menguasai PAS (Dr. Burhanuddin Helmi, pemimpin PAS sejak Disember 1956). Dengan
keadaan ini, Aziz Ishak, Dr. Burhanuddin, Ishak Haji Mohamad, Dato' Kampo Rajo
dan ramai lagi pemimpin pembangkang Melayu telah ditangkap kerana didakwa
sebagai penyokong Indonesia. Indonesia memang menolak penubuhan Malaysia dan
menjalankan dasar 'Ganyang Malaysia' di antara tahun 1963-1965.
Apa yang dapat kita pelajari
daripada kes-kes ini? Ternyata, sejarah telah menunjukkan sebagai seorang
penyokong parti dan pendokong kerajaan yang memerintah, anggotanya patut
bertindak dan menyokong kepimpinan parti dan kerajaannya tanpa berbelah bagi.
Segala rasa tidak paus hati
terhadap parti, kerajaan dan pucuk pimpinan harus dibincangkan sebagai masalah
dalaman dan mengikut saluran yang dibenarkan oleh parti. Jika jalan
penyelesaian tidak didapati, anggota dan pemimpin itu patut meninggalkan parti,
mereka boleh menubuhkan sebuah parti baru atau memasuki parti pembangkang dan
menjadi pembangkang yang tulin. Dengan itu, segala bentuk keadilan mengikut
tafsiran mereka boleh diperjuangkan tanpa dikawal oleh orang lain, kecuali oleh
undang-undang negara.
* Profesor Dr. Ramlah Adam
ialah Pensyarah di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera & Sains Sosial,
Universiti Malaya.
Oleh: DR. RAMLAH ADAM
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0925&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4LtIuDG3F©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan