ARKIB : 22/09/1998
Malaysia catat sejarah -- 10
emas letakkan negara di tempat keempat
SUASANA gilang gemilang di
Stadium Nasional di Bukit Jalil semasa upacara penutup Sukan Komanwel XVI
(KL'98) malam tadi.
KUALA LUMPUR 21 Sept. - Temasya
Sukan Komanwel XVI (KL'98) ditutup penuh gilang-gemilang di Stadium Nasional,
Bukit Jalil malam ini dengan menyaksikan Malaysia mencatat kejayaan berganda
sebagai penganjur terbaik selain memungut pingat emas terbanyak dalam sejarah
negara.
Malaysia meraih 10 pingat emas,
14 perak dan 12 gangsa telah meletakkan negara buat pertama kali sejak 1930 di
Hamilton, Kanada berada di tempat keempat senarai kedudukan pingat daripada 70
negara peserta.
Kali terakhir Malaysia
mengumpul emas terbanyak pada temasya 1994 di Victoria, Kanada dengan dua emas,
tiga perak dan dua gangsa.
KL'98 turut mencatatkan sejarah
baru dalam penganjuran Sukan Komanwel yang menyaksikan penyertaan 100 peratus
negara dalam Persekutuan Komanwel.
Kejayaan ini juga disusuli
dengan penganjuran paling gemilang pada abad ini dengan penyertaan terbesar
atlet dan pegawai luar negara berjumlah melebihi 6,000 orang.
Temasya yang ditutup secara rasmi
oleh Ratu Elizabeth II turut menyaksikan sejarah keupayaan 17,000 para
sukarelawan Nadi '98 mengendalikan tugas mereka penuh cemerlang sepanjang
temasya itu.
Kejayaan inilah yang telah
meyakinkan banyak pihak betapa negara bakal mencapai kejayaan yang lebih besar
jika diberi peluang menganjurkan Sukan Olimpik 2008.
Dari segi pencapaian atlet
negara, beberapa sukan seperti tinju, menembak, olahraga, lumba basikal, angkat
berat, boling padang, hoki lelaki, gimnastik (gimrama), badminton dan tenpin
boling memberikan peningkatan yang membanggakan.
Sementara penganjuran pula
menyaksikan kecekapan pelbagai aspek dengan kelancaran yang membanggakan,
walaupun di peringkat awal banyak pihak tidak meyakini kemampuan Malaysia.
Majlis penutup KL'98 malam ini
turut disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Ja'afar dan Raja Permaisuri
Agong, Tunaku Najihah, suami Ratu Elizabeth, Putera Philip serta Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan isteri.
Hadir sama Pengerusi
Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), Michael Fennel; Setiausaha Agung Komanwel,
Chief Emieka Anyouku; Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan
Pengerusi Eksekutif Sukom Ninety Eight Berhad, Tan Sri Hashim Mohd. Ali.
Menurut Fennel: ''Malaysia
menjanjikan kepada kami Sukan Komanwel yang terbaik pernah diadakan dan ia
telah mengotakan janjinya.''
Katanya, KL'98 ialah ''sukan
persahabatan yang sebenar'' dan akan sentiasa diingati kerana tahap
pertandingan, semangat dan keakrabannya yang tinggi yang terbukti di kalangan
atlet dan pegawai.
Upacara penutup selama lebih
enam jam itu yang dibahagikan kepada dua komponen, upacara rasmi dan konsert
antarabangsa, disiarkan secara langsung ke seluruh dunia dan disaksikan oleh
100,000 penonton di stadium itu.
Apa yang membanggakan rakyat
negara ini ialah kemampuan negara 'kerdil' seperti Malaysia menunjukan
kehebatan dari aspek penganjuran terbaik sebagai wakil dari negara Asia ini.
Ia sekali gus membuktikan
walaupun kali pertama tanggungjawab penganjuran temasya kedua terbesar di dunia
itu diberi kepada negara Asia, ia telah dianjur dengan begitu cemerlang.
Di samping itu, temasya KL'98
menyaksikan satu rekod baru dunia berjaya dicipta dalam acara renang manakala
beberapa lagi rekod Sukan Komanwel dalam kebanyakan acara juga telah
diperbaharui.
Sementara itu, upacara
penutupan pada malam ini berjalan lancar, penuh meriah dan tiada kejadian buruk
berlaku walaupun ada usaha pihak tertentu untuk mengadakan perhimpunan haram di
sekitar stadium berkenaan.
Upacara bermula dengan ketibaan
Ratu Elizabeth dan Tuanku Ja'afar yang kemudiannya memeriksa barisan kawalan
kehormat.
Selepas kawalan kehormat
berbaris keluar, persembahan acara kebudayaan yang dibahagikan kepada tiga
bahagian yang didahului oleh persembahan pancaragam gabungan 400 pelajar
sekolah.
Ini diikuti oleh pertunjukan
unik secara lintasan langsung dari bandar raya Manchester yang akan menjadi
tuan rumah Sukan Komanwel XVII pada 2002.
Mengakhiri persembahan
kebudayaan itu ialah tarian kontemporari dari Malaysia yang memperlihatkan
tanda terima kasih dan selamat jalan kepada semua peserta KL '98.
Sebaik persembahan kebudayaan
berakhir, semua kontinjen negara peserta dan sukarelawan berkawad masuk ke
stadium diikuti acara mengisytiharkan pemulangan bendera kebangsaan
masing-masing oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Hamzah Abu
Samah.
Seterusnya, bendera Persekutuan
Sukan Komanwel diturunkan dan diarak mengelilingi stadium sebelum diserahkan
kepada Pengerusi CGF, Michael Fennel.
Fennel menyerahkan bendera itu
kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Kamarulzaman Sharif yang kemudiannya
menyerahkan kepada Ketua Rakyat (Chief Citizen) bandar raya Manchester.
Saat perpisahan mula terasa
apabila Ratu Elizabeth membuat pengisytiharan KL '98 ditutup dengan rasminya
sebaik sahaja upacara penyerahan bendera CGF selesai.
Kedua-dua tamu kehormat
kemudiannya berangkat meninggalkan majlis diiringi lagu Negaraku dan God Save
The Queen. Kemudiannya semua peserta menyanyikan lagu perpisahan Auld Lang
Syne.
Acara malam ini berakhir dengan
persembahan konsert antarabangsa yang mengemukakan artis-artis tempatan dan
negara-negara Komanwel bermula setelah keberangkatan pulang tetamu diraja.
Konsert selama dua jam itu
untuk memberi peluang kepada para atlet, pegawai dan sukarelawan beramah mesra
dan melepaskan penat lelah selepas 11 hari bekerja keras menjayakan temasya
bersejarah ini.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4LsqWg78s©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan