Khamis, 6 Oktober 2016

Sembunyi wang rasuah RM112 juta

Oleh MUSTAPA LAKAWA
 
Azam (tiga dari kanan) menunjukkan wang tunai dan barangan lain yang dirampas daripada dua pegawai kerajaan pada sidang akhbar di pejabat SPRM di Kota Kinabalu semalam.

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam merampas wang sebanyak RM112 juta daripada dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di sini yang disyaki menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion di Sabah.

Turut ditahan dalam operasi khas SPRM yang dimulakan sejak tahun lalu ialah seorang ahli perniagaan bergelar Datuk berusia 55 tahun dan seorang akauntan berusia 50 tahun.

Datuk dan akauntan itu disyaki mempunyai kaitan dengan pegawai kerajaan berpangkat pengarah dan timbalan pe­ngarah yang ditangkap.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, daripada keseluruhan wang RM112 juta itu, RM52 juta wang tunai disita di pejabat serta rumah pe­ngarah dan timbalan pengarah terbabit manakala baki RM60 juta lagi dirampas daripada akaun bank mereka.

“SPRM menemui wang tunai sebanyak RM45 juta milik pengarah berusia 54 tahun manakala RM7 juta lagi milik timbalan pengarah yang berusia 51 tahun.

“Kesemua rampasan wang tunai RM52 juta itu ditemui di rumah dan pejabat kedua-dua pegawai kanan kerajaan itu,” kata beliau di sini semalam.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1006&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz4MJuB2civ Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan