Selasa, 1 November 2016

Zahid letak jawatan -- Keputusan muktamad dan tiada desakan mana-mana pihak

ARKIB : 03/10/1998

AHMAD Zahid Hamidi pada sidang akhbar bagi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 2 Okt. - Datuk Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, tiga hari selepas dibebaskan daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau menegaskan, peletakan jawatan itu adalah muktamad dan tiada kena mengena dengan desakan mana-mana pihak, sama ada daripada kalangan ahli Exco Pemuda atau Ketua-Ketua Pemuda di peringkat negeri mahupun bahagian.

Kata Zahid, beliau telah menulis dua pucuk surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad selaku Presiden UMNO bagi menyatakan hasratnya itu.

''Saya telah menghantar surat permohonan untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan surat itu bertarikh 29 September lalu.

''Saya juga telah menghantar surat pengesahan peletakan jawatan yang kedua, pada 1 Oktober iaitu semalam dan menyatakan keputusan saya meletakkan jawatan adalah muktamad,'' katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat UMNO di sini.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah beberapa ahli Exco Pemuda termasuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dan Nordin Mohd. Nor.

Pengumuman mengenai peletakan jawatan itu juga agak mengejutkan kerana semalam pada pertemuan dengan Utusan, Zahid menegaskan, beliau tidak akan meletakkan jawatan sebaliknya akan bersama-sama meneruskan agenda perjuangan dan perpaduan parti.

Sebelum mengumumkan peletakan jawatan tersebut, Zahid memulakan sidang akhbar itu dengan menceritakan pengalaman beliau sewaktu dalam tahanan.

Beliau memberitahu, peletakan jawatan tersebut adalah sesuatu yang perlu dilakukan walaupun beliau yakin bahawa proses demokrasi harus menjadi tonggak utama dalam menentukan kedudukannya.

''Peletakan jawatan ini saya buat atas kesedaran untuk menjaga kepentingan Pemuda keseluruhannya. Ini adalah bentuk pengorbanan terakhir yang dapat saya lakukan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda,'' ujarnya.

Ahli Parlimen Bagan Datoh itu ditahan di bawah ISA pada 21 September lalu di Sabah dan dibebaskan tanpa syarat pada 30 September lalu.

Ekoran daripada penahanan itu, pada 24 September lalu, barisan Exco Pemuda menyerahkan memorandum kepada Majlis Tertinggi (MT) melalui Setiausaha Agung UMNO, Datuk Sabbaruddin Chik, bagi menyatakan bahawa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Zahid.

Memorandum itu sepatutnya dibincangkan pada mesyuarat MT 6 Oktober ini.

Pada sidang akhbar ringkas yang dihadiri lebih 30 pemberita termasuk wakil media asing, Zahid juga memberitahu beliau ditahan ketika mengadakan mesyuarat lembaga pengarah syarikatnya di Kota Kinabalu.

Sepanjang tempoh tahanan termasuk dua malam di lokap Kota Kinabalu, beliau mendapat layanan yang cukup baik, katanya.

''Pertanyaan-pertanyaan yang diajukan oleh pihak polis adalah cukup profesional dan tidak ada sebarang kekerasan sama ada secara lisan atau fizikal,'' jelasnya sambil mengucapkan terima kasih kepada polis atas tahap profesionalisme mereka.

Penahanan itu, menurut beliau, dibuat mengikut perkara 73(1) bagi mengetahui sama ada beliau menggerakkan Pemuda bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti yang bertentangan.

''Saya telah menyatakan bahawa saya tidak pernah terlibat dan tidak akan terlibat dalam gerakan reformasi yang digembar-gemburkan dan saya juga tidak pernah melibatkan dari dalam mana-mana 'roadshow' atau rusuhan,'' katanya.

Zahid yang enggan menjawab sebarang soalan terutama mengenai sebab peletakan jawatannya memberitahu, beliau akan terus bekerja sebagai ahli parti, termasuk menjelajah ke seluruh negara, bagi memberikan penjelasan kepada ahli-ahli tentang apa yang sebenarnya berlaku selama ini.

''Saya akan tetap berada dalam UMNO untuk meneruskan usaha dan kerja-kerja saya dan insya-Allah saya akan membantu untuk menjelaskan duduk perkara sebenar,'' katanya.

Menurut beliau, ia dilakukan demi kepentingan parti UMNO, kepentingan orang Melayu dan rakyat keseluruhannya.

''Selepas peletakan jawatan ini saya harap rakan-rakan Exco, Ketua Pemuda negeri, bahagian dan seluruh ahli Pemuda di semua peringkat sudi memberikan kemaafan kepada saya.

''Saya harap sokongan yang telah diberikan kepada saya hendaklah diberikan kepada Datuk Hishammuddin (Tun Hussein) apabila beliau memangku jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,'' ujarnya.

Hishammuddin juga, katanya, akan menggantikan tempat beliau dalam mesyuarat MT pada minggu depan.

Pada masa yang sama beliau berharap aktiviti-aktiviti yang telah dirancang akan diterima pakai dan dilaksanakan sebagai aktiviti Pemuda tanpa diubah atau diketepikan.

''Saya harap keputusan yang dibuat selama ini dihormati oleh semua pihak,'' katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak media massa terutama yang hadir pada sidang akhbar itu.

''Terima kasih kepada rakan media massa yang masih sudi bersama dengan saya walaupun ada yang rasa terkejut kenapa saya keluar awal. Mungkin ada yang mengharapkan saya kena dua tahun (di bawah ISA),'' katanya.

Beliau menamatkan sidang akhbar dengan berjenaka: ''Tetapi orang baik macam saya ni keluar awallah.''

Selepas itu beliau terus berlalu tanpa memberi peluang kepada pemberita untuk bertanya soalan.

Sebaik sahaja sidang akhbar itu tamat, beberapa orang pengikut Zahid telah mengemaskan pejabat beliau yang terletak di Tingkat 37 Menara Dato' Onn, PWTC. Ia termasuk menurunkan gambar serta menanggalkan nama beliau yang dilekatkan pada pintu bilik.

Oleh: AZNAN BAKAR

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4OkKIu5l3 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan