Khamis, 10 November 2016

Diktator Filipina, Marcos layak dikebumi sebagai wira negara

 
AFP - GAMBAR fail pada 2 Julai 2014 menunjukkan Imelda mencium keranda kaca yang menyimpan mayat Marcos di Ilocoos Norte, utara Manila.

MANILA – Bekas diktator Filipina, Ferdinand Marcos boleh dikebumikan di makam pahlawan negara, kata Mahkamah Agung semalam dalam keputusan penuh kontroversi yang disifatkan pengkritik sebagai ‘mencuci jenayahnya’ dan memecahbelahkan rakyat.

Jurucakap mahkamah, Theodore Te berkata, majoriti panel hakim Mahkamah Persekutuan menyokong keputusan Presi­den Rodrigo Duterte membenarkan Marcos dikebumikan di Makam Pahlawan di Manila.

“Tiada undang-undang yang melarang pengebumian ini,” kata Te selepas membaca keputusan mahkamah kepada wartawan.

Marcos memerintah Filipina selama 20 tahun hingga 1996, namun beliau dan keluarga melarikan diri dan hidup dalam buangan di Amerika Syarikat (AS) selepas berjuta-juta orang menunjuk perasaan dalam revolusi Kuasa Rakyat.

Pemimpin itu dan isterinya, Imelda serta kroni mereka melesapkan wang negara berjumlah AS$10 bilion (RM42 bilion) semasa memerintah, demikian menurut pasukan penyiasat kerajaan dan ahli sejarah.

Diktator itu juga melakukan pencabulan hak asasi manusia secara berleluasa untuk mengekalkan kuasa dan mencuri harta negara dengan beribu-ribu orang telah diseksa dan dibunuh, kata kerajaan sebelum ini.

Pada 2014, badan pemantau rasuah antarabangsa, Transpa­rency International telah menamakan Marcos sebagai pemimpin paling korup sepanjang zaman.

Marcos meninggal dunia di Hawaii, AS, pada 1989 dan sejak itu, keluarganya berusaha supaya beliau dikebumikan di Makam Perwira, tempat Presiden dan pemimpin tentera Filipina bersemadi.

Keluarga Marcos kemudian kembali meraih sokongan rakyat dalam arena politik. Anak lelakinya, Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos dipilih sebagai seorang senator seterusnya hampir memenangi kerusi Naib Presiden Filipina dalam pilihan raya tahun ini.

Namun, presiden-presiden sebelum ini enggan membenarkan Marcos dikebumikan di Makam Pahlawan kerana jenayahnya, manakala mayat pemimpin itu diawet dan disimpan di dalam sebuah keranda kaca di kediamannya di wilayah Ilocos Norte, utara Filipina.

Nasib keluarga itu bertukar selepas kemenangan Duterte. Beliau merupakan sekutu keluarga Marcos sejak sekian lama.

Duterte menyatakan bahawa Marcos berhak dikebumikan di Makam Perwira berdasarkan statusnya sebagai bekas Presiden Filipina dan penglibatannya menentang Jepun semasa Perang Dunia Kedua. – AFP

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1109&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4ParVEqCf Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan