Selasa, 29 November 2016

UIA: Idea Dr. Mahathir

ARKIB : 27/03/1999
UIA: Idea Dr. Mahathir

TERSERGAM indah sebahagian daripada kompleks bangunan kampus UIAM di Jalan Gombak, Kuala Lumpur.

CADANGAN untuk menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) lahir daripada idea Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 12 Januari 1982. Namun, idea untuk menubuhkan universiti itu telah pun dikemukakan oleh beliau pada Konvensyen Pendidikan Muslim Sedunia Pertama di Mekah pada tahun 1977.

Sehubungan itu, pada 12 Februari 1982, satu kertas kerja mengenai penubuhan universiti itu disediakan dan dipersetujui oleh Perdana Menteri. Perkara itu kemudian dibawa ke mesyuarat kabinet dan turut mendapat restu kabinet.

Selepas itu, sebuah pasukan petugas dibentuk untuk menyelaraskan penubuhan UIAM.

Pengarah Pejabat Perhubungan Awam UIAM, Mohd. Razif Mamat berkata, cadangan itu juga mendapat perhatian negara lain dan beberapa negara dari pertubuhan Islam bersetuju menaja bersama universiti itu.

Menurutnya, usaha ke arah menjadikan penubuhan UIAM satu realiti dilakukan sepanjang tahun 1983. Beliau berkata UIAM ditubuhkan secara rasmi pada 10 Mei 1983 manakala pada 27 Mei 1983, mesyuarat pertama Lembaga UIAM diadakan.

''Sejarah penubuhan UIAM terus dicatat apabila pada 1 Julai 1983, Sultan Pahang dilantik sebagai Ketua Perlembagaan UIAM pertama. Pengambilan pelajar pertama UIAM pula diadakan pada 15 Julai 1983 melibatkan 153 pelajar dan empat tahun kemudian, mereka menjadi kumpulan pertama menamatkan pengajian di UIAM,'' katanya kepada Utusan.

Perkembangan menarik sepanjang penubuhan universiti itu terus berlaku apabila pada 3 September 1983, Tun Hussien Onn dilantik sebagai Presiden UIAM dan senat universiti ditubuhkan tiga belas hari kemudian.

Menurutnya, penaja bersama penubuhan UIAM ialah kerajaan Malaysia, Maldives, Bangladesh, Libya, Pakistan, Turki, Mesir, Arab Saudi dan Pertubuhan Persidangan Islam. Mengenai objektif penubuhan UIAM, Mohd. Razif berkata, universiti itu ditubuhkan untuk menghidupkan kembali konsep pembelajaran secara Islam.

''Konsep itu menghendaki pelajar menganggap menuntut ilmu pengetahuan sebagai ibadah sebagaimana yang dianjurkan oleh kitab suci al-Quran,'' katanya.

Beliau menjelaskan, universiti itu juga ditubuhkan untuk memperkukuhkan kembali keunggulan Islam dalam segenap bidang ilmu sejajar tradisi Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh ulama dan ahli fikir Islam.

Selain itu, kewujudan UIAM di Malaysia bertujuan mengembalikan kesedaran tradisi pengajian Islam secara klasik iaitu ilmu pengetahuan disebar dan dituntut dengan semangat mentauhidkan diri kepada Allah s.w.t.

Menurutnya, objektif lain ialah meluaskan bidang pilihan kepada umat Islam dalam pengajian tinggi.

''Untuk mencapai objektif itu, UIAM menawarkan kursus pengajian peringkat ijazah sarjana muda dan ijazah tinggi yang diiktiraf dalam pelbagai bidang pengajian. Sebab itulah, bidang pengajian yang ditawarkan tidak terhad kepada kursus-kursus Islam dan teologi Islam sahaja,'' katanya.

Selain itu, konsep pembelajaran dan pengajaran akademik, penyelidikan dan program perkembangan pelajar juga berprinsipkan Islam. Ciri-ciri Islam dapat dilihat pada pelaksanaan prinsip pendidikan Islam secara keseluruhan di universiti itu.

Katanya, adalah perlu bagi pelajar dan kakitangan UIAM mematuhi cara hidup Islam ketika menjadi warga kampus. Malah pelajar dan kakitangan bukan Islam juga perlu menghormati peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam ketika berada di kampus.

Selepas kira-kira 16 tahun UIAM ditubuhkan, universiti itu kini semakin berkembang sejajar perubahan masa.

''Jumlah pelajar pada hari ini ialah 13,162 orang termasuk 1,623 pelajar asing dari 94 buah negara. UIAM kini mengeluarkan 3,000 graduan setahun dan kebanyakan mereka tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan pekerjaan,'' ujarnya.

Pelajar itu kini ditempatkan di kampus UIAM di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Kuala Terengganu, Kuliyyah Perubatan UIAM, Kuantan, Pusat Matrikulasi UIAM di Lembah Pantai, Petaling Jaya dan kampus induk di Gombak.

Beliau berkata, selepas 10 tahun ditubuhkan, UIAM kemudian mengorak langkah baru dengan memulakan episod pembangunan universiti.

''Pada tahun 1993, satu projek besar melibatkan pembangunan kampus induk di Gombak bermula dan pembangunan fasa pertama siap pada akhir Jun 1997,'' katanya. Pembangunan fasa kedua bermula pada tahun 1996 dan fasa seterusnya akan dilakukan secara berperingkat sehingga tahun 2005.

''Pembangunan kampus Gombak menelan belanja kira-kira RM1.2 bilion manakala Kuliyyah Perubatan UIAM Kuantan pula bernilai RM208.597 juta. Sebuah Kampus Pendidikan UIAM juga akan dibangunkan di Gombak dan pembangunan kampus itu memakan belanja RM15.034 juta,'' katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan kampus Gombak, Mohd. Razif menjelaskan kampus seluas 287.3 hektar itu direka bentuk bagi menampung 15,000 pelajar.

Reka bentuk bangunan bercirikan Islam di kampus Gombak sesuai dengan objektif penubuhan unversiti itu. Seperti universiti lain, UIAM juga menyediakan pelbagai kemudahan seperti antaranya, perpustakaan, masjid, Kompleks Pusat Pentadbiran Utama, Pusat Penyelidikan, kompleks sukan, perumahan untuk pelajar bujang dan kelamin, perumahan kakitangan, Rumah Tetamu, Rumah Kelab, Pusat Pendidikan Lanjutan, Pusat Kebudayaan dan Aktiviti, Pusat Perkhidmatan Perubatan, Pusat Komersial mengandungi kemudahan perkhidmatan bank, kedai dan lain-lain, kafeteria dan Pusat Penjagaan Kanak-Kanak untuk anak-anak kakitangan.

Mohd. Razif berkata, sebanyak 490 unit pangsapuri didirikan untuk perumahan kelamin.

''Pangsapuri itu boleh memuatkan 1,000 pelajar yang sudah berkahwin manakala 110 unit pangsapuri juga didirikan untuk kakitangan UIAM,'' katanya.

Selain itu, beberapa jenis rumah juga disediakan untuk 400 kakitangan akademik dari luar negara yang berkhidmat di UIAM. Kampus Gombak kini menempatkan pelajar Kuliyyah Kejuruteraan, Ekonomi dan Pengurusan, Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu & Sains Kemanusiaan, Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar.

''Apabila siap sepenuhnya, kampus UIAM Gombak akan menempatkan semua kuliyyah kecuali matrikulasi yang kekal di kampus UIAM di Lembah Pantai dan Petaling Jaya manakala perubatan di Kuantan,'' katanya.

Sejarah ringkas penubuhan UIAM

12 Januari 1982 - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan UIAM ditubuhkan.

12 Februari 1982 - Kertas-kerja mengenai penubuhan UIAM dipersetujui oleh Perdana Menteri dan direstui oleh kabinet.

10 Mei 1983 - UIAM ditubuhkan dengan rasmi.

20 Mei 1983 - UIAM menerima perintah penubuhan daripada Yang Di-Pertuan Agong

27 Mei 1983 - Mesyuarat Pertama Lembaga UIAM diadakan.

1 Julai 1983 - Sultan Pahang dilantik sebagai Ketua Perlembagaan UIAM pertama.

15 Julai 1983 - Pengambilan pertama pelajar UIAM melibatkan 153 orang.

3 September 1983 - Tun Hussein Onn dilantik sebagai Presiden UIAM pertama.

16 September 1983 - Senat universiti ditubuhkan.

Oleh: ROHANA MAN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4ROeIYPuJ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan