Sabtu, 5 November 2016

Stadium Merdeka, Negara jadi milik awam mulai esok

ARKIB : 01/11/1998
KUALA LUMPUR 31 Okt. - Stadium Merdeka dan Stadium Negara, dua mercu tanda yang menyimpan banyak peristiwa bersejarah dan kejayaan kebangsaan sejak empat dekad, akan menjadi milik awam mulai Isnin ini.

Selepas menguruskan kedua-dua stadium itu selama 35 tahun, Perbadanan Stadium Merdeka akan dengan rasminya menyerahkan segala kemudahan yang ada kepada Puncak Vista Sdn Bhd, mengakhiri perjanjian antara pihak kerajaan dan syarikat induk Puncak, United Engineers Malaysia Bhd (UEM).

Pengurus Perbadanan Stadium, Abu Bakar Kasim hari ini berkata di bawah perjanjian antara UEM dan kerajaan, hak pemilikan kedua-dua stadium itu akan berpindah Ahad ini.

Pihak perbadanan akan tamat menguruskan kedua-dua stadium itu mulai Isnin, kata beliau kepada Bernama.

UEM telah membina Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil berharga RM800 juta yang menjadi venue utama Sukan Komanwel ke-16 bulan lepas, sebagai pertukaran kepada lima bidang tanah dan hak membangunkan kawasan sekitar Stadium Merdeka, Stadium Negara dan Changkat Pavilion.

Dengan penyerahan ini bermakna nasib Stadium Merdeka, tempat di mana perisytiharan kemerdekaan negara tahun 1957 berlangsung, dan Stadium Negara yang berhampiran, kini terletak di tangan UEM.

Ditanya sama ada kedua-dua stadium itu akan ditutup selepas Isnin ini, Abu Bakar berkata UEM mempunyai cadangan baru mengenai kegunaannya.

''Tunggulah hingga Isnin ini. Pihak pengurusan baru mungkin akan mengumumkan rancangannya. Terdapat cadangan mengenai penggunaan kedua-dua stadium ini, tetapi tunggulah pengumumannya,'' kata beliau.

Kejohanan tiga hari Olahraga Antara Bank ke-24 di Stadium Merdeka hingga Ahad ini, adalah acara terakhir diadakan di situ di bawah perbadanan tersebut, manakala satu kejohanan bola keranjang tempatan minggu lepas adalah acara terakhir diadakan di Stadium Negara.

Sementara itu, seorang pegawai UEM berkata tidak ada rancangan segera untuk membangunkan semula kawasan itu sebagai pusat perdagangan serbaguna disebabkan kegawatan ekonomi sekarang.

Beliau berkata stadium tersebut akan tetap dibuka kepada orang ramai sehingga diberitahu kelak.

Dengan wujudnya beberapa stadium yang lebih besar di Lembah Klang, dua stadium lama ini pastinya mempunyai masa depan yang cerah untuk digunakan oleh pihak yang memerlukan stadium yang lebih kecil.

Pembinaannya yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, bermula pada September 1956 dan siap pada Ogos 1957 dengan menelan belanja RM2.3 juta. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_04.htm#ixzz4PBe1MMrV © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan