Jumaat, 11 November 2016

Abdul Aziz penerima pertama Anugerah Za'ba

ARKIB : 18/12/1998
Pemilihan beliau berdasarkan sumbangan besarnya dalam menggerakkan kegiatan penerbitan buku-buku ilmiah sejak era prakemerdekaan, bermula dengan penubuhan Pustaka Antara yang masih wujud sehingga kini.

Pustaka Antara adalah syarikat penerbitan pertama milik orang Melayu dan kebangsaan ketika menjadi satu-satunya bangunan syarikat Melayu beroperasi di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur selepas merdeka.

Dilahirkan di Sabak Bernam pada 23 April 1921, Abdul Aziz adalah tokoh seangkatan dengan beberapa nama besar dalam bidang kesusasteraan seperti Za'ba sendiri, Pak Sako, Ibrahim Yaakop dan Abdul Rahim Kajai.

Dengan pemilihan itu, beliau menerima hadiah wang tunai RM5,000 selain persalinan baju, buku, plak dan tiket penerbangan ke Pesta Buku Antarabangsa di Frankfurt serta sijil penghargaan.

Hadiah tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib di kampus induk UPSI di Tanjung Malim petang semalam.

Pemilihan dibuat menerusi jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor UPSI, Prof. Dr. Abu Bakar Nordin dan dianggotai wakil-wakil kerajaan negeri Perak, Persatuan Penerbitan Bumiputera (Ikatan) dan Malaysia Encyclopedia Research Centre Berhad (MERC).

Latar belakang pembabitan Abdul Aziz di bidang ini bermula dengan beliau melancarkan akhbar mingguan Pedoman sebelum menerbitkan buku-buku ilmiah untuk kegunaan sekolah-sekolah Melayu ketika pra dan pasca merdeka.

Beliau juga menerbitkan buku karya sasterawan Indonesia antaranya, Keluarga Gerilya, Salah Asuhan, Tenggelamnya Kapal Van Der Vick, Layar Terkembang dan Siti Nurbaya.

Kebanyakan buku karya penulis besar Arenawati dan Usman Awang diterbitkan oleh Pustaka Antara di samping sebuah buku karya Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman iaitu Looking Back.

Sebuah buku terbitan syarikat tersebut yang masih popular dan diguna pakai di sekolah-sekolah ialah Ikhtisar Sejarah Kesusasteraan Melayu 1 & 2 karya Lim Chuan Siu.

Abdul Aziz juga terlibat secara langsung menyemarakkan semangat orang-orang Melayu menentang Malayan Union menerusi penerbitan akhbar Majlis.

Anugerah Za'ba dilancarkan sebagai pengiktirafan dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor penerbitan di kalangan bumiputera di negara ini dan setanding dengan Anugerah Sasterawan Negara.

Ia serentak dengan kempen mengumpul dana untuk mewujudkan 'Kursi Za'ba' di UPSI bertujuan menghasilkan buku akademik dalam bidang bahasa, pengajaran bahasa dan kesusasteraan.
Oleh: RAMLI ABDUL KARIM
Sumber- ARKIB  UM: 18/12/1998


Tiada ulasan:

Catat Ulasan