Selasa, 29 November 2016

Keadilan dilancar, Wan Azizah jadi presiden

ARKIB : 05/04/1999
KUALA LUMPUR 4 April - Parti Keadilan Nasional (Keadilan), sebuah parti yang didukungi penyokong gerakan reformasi dilancarkan hari ini dengan diketuai oleh Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, bagaimanapun, tidak menganggotai parti yang diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 8 Mac lalu menerusi pindaan nama parti Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (Ikatan) walaupun asas perjuangan parti itu untuk membela Anwar yang didakwa telah dizalimi.

Barisan kepimpinan Keadilan selain Dr. Wan Azizah selaku Presiden ialah Presiden Just World Trust (Just), Dr. Chandra Muzaffar (Timbalan Presiden), tiga Naib Presiden iaitu bekas Mufti Pulau Pinang, Datuk Sheikh Azmi Ahmad, bekas Naib Presiden Parti Melayu Semangat 46 (S46), Marina Yusoff dan Pengerusi Gagasan Demokrasi Rakyat (Gagasan), Chua Tian Chang (Tian Chua).

Ketua Eksekutif Yayasan Salam, Mohd. Anuar Tahir dilantik sebagai Setiausaha Agung, Ramli Ibrahim sebagai Pemangku Bendahari, Ketua Penerangan disandang oleh bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Ruslan Kasim.

Bekas Setiausaha Politik Anwar, Mohamad Ezam M. Nor dan Nell Onn masing-masing memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda dan Ketua Wanita.

Keadilan turut dibarisi oleh 19 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), yang antaranya ialah peguam Anwar, Zainur Zakaria, Pengerusi Tenaganita, Irene Fernandez dan bekas Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Saifuddin Nasution Ismail yang masih bersembunyi di luar negara.

Selain itu, MPT dianggotai oleh Dr. Mohd. Nor Nawawi, Dr. Halili Rahmat, Ng Lum Yong, Goh Keat Peng, Sahri Bahari, Dr. Ismail Hamid, Johari Abdul, Dr. Mansor Othman, Khalil Shah, Dr. Ghazali Basri, Mohamad Rafaie Ab. Malek, Omar Jaafar, Kahar Ahmad, Dr. Abdul Wahid Ahmad Suhaime, Nik Aziz Nik Hassan dan Yusuf Abdul Rahman.

Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran parti itu di sini, Dr. Wan Azizah berkata, Keadilan muncul sebagai susulan kepada perjuangan menegakkan keadilan melalui pembangkang baru.

''Tiada sebab parti-parti pembangkang lain melihatnya sebagai ancaman sebaliknya mereka mesti menerima baik Keadilan.

''Kemunculannya akan memperkuatkan barisan pembangkang dan membawa sejumlah besar masyarakat yang sebelum ini memihak kepada status quo dan Barisan Nasional (BN),'' katanya.

Keadilan, katanya, yang menjurus konsep parti multi-etnik akan bekerjasama dengan parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang inginkan reformasi dan keadilan serta menawarkan alternatif kepada rakyat.

Turut hadir pada pelancaran parti itu ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang, Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr. Syed Hussin Ali serta wakil-wakil dari Pas, Parti Setia (Sabah) dan beberapa NGO.

Sementara itu dalam perutusan khas yang dibacakan Mohamad Ezam, Anwar berkata, penubuhan Keadilan adalah untuk menentang gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa, nepotisme dan kronisme yang didakwanya berleluasa di negara ini.

Dalam pada itu, Dr. Chandra berkata, Anwar tidak menganggotai Keadilan supaya beliau dapat menumpukan perhatian menyatupadukan parti-parti politik dan NGO yang memperjuangkan reformasi dan keadilan sosial.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_04.htm#ixzz4RS0h6HU9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan