Rabu, 9 November 2016

Cuti Sabtu sebulan sekali serentak

ARKIB : 23/11/1998
KUALA LUMPUR 22 Nov. - Kakitangan Kerajaan Persekutuan di seluruh negara dijangka menikmati cuti pada hari Sabtu sebulan sekali secara serentak walaupun terdapat perbezaan cuti hujung minggu melibatkan beberapa negeri sekarang.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr. Mazlan Ahmad berkata, perkara itu sedang dipertimbangkan dengan teliti walaupun terdapat beberapa cadangan lain yang turut dikemukakan dalam menentukan tarikh sebenar cuti rehat berkenaan untuk setiap bulan.

''Sebarang masalah yang timbul berkaitan perkara ini kita akan rujuk semula kepada kerajaan untuk mencari penyelesaian.

''Bagaimanapun kita memberi jaminan satu pekeliling tulen mengenainya akan dikeluarkan sebelum 1 Januari depan kerana kita masih ada masa enam minggu lagi untuk mengkajinya,'' katanya.

Pada masa ini semua negeri menikmati cuti hujung minggu pada hari Ahad kecuali Kedah, Kelantan dan Terengganu yang menetapkan Jumaat sebagai hari cuti rehat.

Menurut beliau, antara cadangan lain yang turut teliti ialah memberikan cuti itu secara berperingkat mengikut keperluan sesuatu jabatan kerajaan.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Keluarga Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai perkembangan terbaru mengenai pelaksanaan cuti sebulan sekali itu seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sewaktu membentangkan Belanjawan 1999 di Parlimen pada 23 Oktober lalu.

Dr. Mahathir berkata, antara lain tujuan cuti itu diperkenalkan ialah untuk mengembangkan lagi sektor pelancongan domestik, selain membolehkan kakitangan kerajaan mempunyai masa yang lebih untuk bermesra dengan ahli keluarga masing-masing.

Mazlan menambah, kakitangan kerajaan tidak perlu menjadikan soal cuti itu sebagai isu besar kerana ia tetap akan dinikmati oleh semua kakitangan seperti yang dijanjikan.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan sama ada tempoh bekerja separuh hari pada hari Khamis untuk Kedah, Kelantan dan Terengganu akan diubah ke hari Sabtu bagi membolehkan tarikh cuti yang seragam diumumkan.

Mengenai tuntutan bayaran insentif oleh Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi menggantikan bayaran bonus, beliau berkata, kesatuan tersebut tidak pernah mengadakan pertemuan khusus dengannya bagi membincangkan perkara itu.

''Mungkin mereka ada membincangkannya dengan pegawai saya tetapi saya rasa mereka akan lebih suka membincangkannya terus dengan Perdana Menteri kerana mereka sendiri yang membangkitkan perkara ini,'' jelas beliau.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_05.htm#ixzz4PVufacOn © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan