ARKIB : 02/04/1999
PARA pelajar SAS bersorak riang
setelah berjaya mencapai keputusan 100 peratus pangkat satu SPM 1998 di Kuala
Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 1 April - Sekolah
Alam Shah (SAS) di sini mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya, kesemua
113 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1998 sekolah itu mendapat pangkat
satu.
Agregat terendah yang dicatat
ialah 21.
Selama dua tahun
berturut-turut, pada SPM 1996 dan 1997, sekolah itu kecewa kerana gagal
mencatat rekod secemerlang SPM 1998.
Penolong pengetuanya, Mohd.
Idrus Abd. Hamid bersyukur dengan pencapaian itu dan menyifatkannya sebagai
satu cabaran kepada warga sekolah termasuk guru-guru, kakitangan sokongan, ibu
bapa dan pelajar untuk mengekalkan rekod.
''Kini setelah berjaya
mencapainya, kami berazam untuk mengekalkan prestasi berkenaan pada masa-masa
yang akan datang,'' katanya.
Katanya, selain sistem mentor
dan latih tubi, di bawah program Muridku Sayang (MKS), setiap guru
dipertanggungjawabkan mengawasi sekumpulan pelajar yang terkebelakang dari segi
akademik turut banyak membantu kejayaan itu.
Kejayaan berkenaan juga
katanya, telah membuktikan kepada ibu bapa bahawa penglibatan anak-anak mereka
di dalam kegiatan kokurikulum sebenarnya memberi kesan positif kepada akademik
anak-anak.
Pelajar terbaik, Nazri Idzlan
Abd. Malek yang mendapat 9A1 menyifatkan sikapnya yang meletakkan ibu bapa dan
guru-guru sebagai insan teratas yang perlu dihormati, adalah rahsia besar
kejayaannya.
''Saya tidak akan selesa untuk
belajar sekiranya menyedari telah melakukan perkara-perkara yang boleh
mengecewakan mereka walaupun tanpa disengajakan,'' katanya.
Dia berhasrat melanjutkan
pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Petroleum di United Kingdom.
Rakan sekelasnya, Ridzuan
Zulkifli, yang memperoleh 8A1 berkata, sikap bantu membantu sesama rakan
terutama yang lemah di dalam mata pelajaran tertentu merupakan salah satu
faktor kejayaannya.
''Contohnya, kalau saya mahir
subjek Matematik, saya akan mengajar beberapa orang kawan yang agak lemah di
dalam mata pelajaran tersebut dan begitulah sebaliknya,'' katanya.
Seorang lagi pelajar 8A1, Mohd.
Husni Abd. Raof berpegang kepada formula DUIT iaitu doa, usaha, istiqomah dan
tawakal bagi mengejar cita-citanya untuk muncul pelajar cemerlang.
''Orang kata, kalau ada wang,
semua boleh jadi. Begitu juga dengan formula DUIT yang saya cipta untuk
memotivasikan diri sendiri,'' katanya.
Nornikman Shah Nordin yang juga
memperoleh 8A1 berpendapat, tiada jalan mudah bagi seseorang pelajar untuk
menempa sesebuah kejayaan.
Di Sekolah Menengah Sains
Selangor (SMSS), pelajar terbaiknya yang memperoleh 7 agregat, Mohd. Nazrul
Alias mahu menjadikan kejayaan tersebut sebagai dorongan kepada adik-adiknya
yang masih kecil.
''Sebagai anak sulung, saya
harus menunjukkan teladan yang baik untuk dicontohi oleh lima adik
saya,''katanya.
Pelajar terbaik Sekolah
Menengah Teknik, Cheras, Lim Tseng Yang yang memperoleh 7A1 mengucapkan jutaan
terima kasih di atas sokongan berterusan para guru dan keluarganya sepanjang
tahun lalu sehingga membuahkan kejayaan cemerlang.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4RPONyfKV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan