ARKIB : 20/11/1998
KETIKA Rasulullah s.a.w.
berhijrah ke Madinah dan menubuhkan kerajaan di sana, baginda telah menyusun
beberapa rancangan dan strategi pemerintahan untuk memantapkan kerajaan
pimpinan baginda.
Seperti yang sering dijelaskan,
bahawa langkah pertama yang diambil oleh baginda ialah menghubungkan tali
persaudaraan dan persefahaman serta kerjasama di antara orang-orang Islam
sendiri yang terdiri dari golongan Ansar dan Muhajirin.
Setelah memastikan kesepaduan
antara orang-orang Islam, maka baginda bertindak memeteraikan perjanjian dengan
kaum-kaum lain, termasuk kaum Yahudi yang berada di bawah pemerintahan baginda.
Dengan itu negara Madinah menjadi negara yang aman damai dan berpadu dengan
diketuai oleh baginda.
Sesungguhnya model negara dan
pemerintahan yang dibangunkan oleh baginda merupakan model terbaik bagi
pembangunan sebuah negara yang berdaulat dan berwibawa. Semua rakyat mencintai
negaranya dan mengakui baginda sebagai ketua negara yang mempunyai kuasa
memerintah dan melaksanakan segala undang-undang dan peraturan yang
dipersetujui bersama.
Hanya orang-orang yang tidak
berilmu dan tidak memahami sirah dan sejarah sahaja yang mungkin merasakan
bahawa Islam membenarkan kekerasan dan tindakan ganas untuk memberontak melawan
dan menjatuhkan sebuah kerajaan yang tegak di atas perlembagaan yang sah.
Kalau cara ini dibenarkan
Islam, maka mungkin Rasulullah s.a.w. telah bertindak keras dan memaksa
kaum-kaum di sekeliling baginda di Madinah tunduk kepada baginda tanpa
berunding dan memeterai perjanjian dengan mereka. Tetapi baginda tetap
menggunakan cara diplomasi dan perundingan untuk membentuk masyarakat Madinah
secara aman bagi menegakkan peaceful coexistence di kalangan semua kaum.
Bagaimanapun, setelah dua tahun
tertubuhnya kerajaan Madinah, maka lahirlah tembelang kaum yang tidak ikhlas
dan kaum yang hanya mementingkan diri sendiri, iaitu apabila kaum Yahudi yang
pada mulanya sama-sama bersetuju dengan dasar-dasar perjanjian dengan
Rasulullah s.a.w. tiba-tiba menunjukkan sikap angkuh dan permusuhan dengan
baginda dan bertindak melawan dan memusuhi orang-orang Islam.
Menurut catatan sejarah, kaum
Yahudi merasa cemburu dan dengki melihat kekuatan tentera Islam di bawah
pimpinan baginda Rasulullah s.a.w. memenangi peperangan Badar dengan cemerlang
sekali.
Kemenangan Islam ke atas kaum
musyrikin di dalam peperangan tersebut mendorong kaum Yahudi mengambil beberapa
tindakan secara konfrontasi terhadap kaum Muslimin dan ketua negara sendiri.
Hal ini berlaku adalah semata-mata kerana perasaan dengki dan sombong terhadap
kekuatan kerajaan Islam yang diterajui oleh baginda Rasulullah s.a.w.
Kembali ke zaman kini, maka
perasaan hasad dan dengki inilah yang sebenarnya diwarisi turun-temurun oleh
golongan-golongan seperti ini dan konco-konconya yang sealiran. Hari ini kita
dapat melihat bagaimana kerajaan dan kuasa-kuasa yang diterajui oleh
rejim-rejim bongkak seperti ini bertindak menindas dan melebarkan penjajahan
kuku besi mereka ke atas negara-negara lain, khususnya negara-negara Islam.
Mereka tidak mahu melihat
negara Islam berdaulat, merdeka dan kuat, dapat berjuang dan survive, dalam
dunia yang mahu mereka kuasai sepenuhnya ini.
Dalam minggu ini di dalam
Persidangan APEC kita dapat melihat dan mendengar dengan mata kepala kita
sendiri, bagaimana negara kita juga dicemburui dan diganggu secara
terang-terangan oleh kuasa luar yang mewakili mentaliti dan gerakan provokasi
seperti yang dilakukan terhadap kerajaan pimpinan Rasulullah s.a.w. lima belas
abad yang lalu.
Mereka datang ke negara kita
dan cuba meracuni fikiran awam dengan dasar penjajahan ''pecah dan perintah''.
Mereka ingin menjadikan Malaysia seperti Baghdad atau Mindanao dan mengorbankan
rakyat Islam dengan dasar penindasan yang tidak berperi kemanusiaan.
Kalau ditinjau ketika dasar
konfrontasi yang diambil oleh kaum Yahudi terhadap Rasulullah, maka keadaan
menjadi bertambah kusut kerana Banu Qainuqa' yang mewakili sebahagian dari kaum
Yahudi adalah didalangi oleh seorang musuh Islam dalam selimut, iaitu ketua
kaum munafik, Abdullah ibn Ubai ibn Salul, yang bertindak menjadi tali barut
golongan pengacau itu.
Ia dengan bijaknya menjalankan
peranannya melicinkan segala urusan pengkhianatan kaum Yahudi terhadap baginda
Rasulullah dan negara Madinah sehingga akhirnya baginda terpaksa mengusir kaum
Yahudi keluar dari Madinah.
Maka hari ini nampaknya sejarah
ini berulang lagi, menepati apa yang terjadi pada belasan abad yang lalu,
terutamanya dengan kelahiran dalang-dalang seperti Abdullah ibn Ubai ibn Salul
dalam negara kita sendiri.
Watak-watak seorang ini tanpa
segan-silu sanggup bekerjasama dan membantu pihak ketiga yang mempunyai niat
yang tidak baik terhadap rakyat dan negara.
Baru beberapa hari yang lalu,
kita melihat di tanah air kita dalang-dalang ini merempat meminta sedekah dan
merayu agar seorang ketua negara penjajah menyelamatkan negara ini, menangkap
ketua negara ini tanpa mempunyai sebarang maruah dan kehormatan diri. Tidak
pernah berlaku dalam sejarah negara kita perbuatan hina yang menjatuhkan imej
bangsa dan maruah diri seperti yang kita saksikan akhir-akhir ini.
Nilai dan harga diri yang
digadaikan itu sesungguhnya amat menjatuhkan keperibadian bangsa merdeka,
terutamanya apabila dilakukan oleh orang-orang Islam yang mengaku dan menerima
konsep ''bahawa kamulah umat yang paling tinggi ....'' (Ayat 3, surah
Ali-Imran).
Malaysia memang dicemburui,
kerana dalam dunia Islam, mungkin tidak banyak negara yang cuba bangun dengan
agak bebas dan merdeka dari pengaruh kuasa-kuasa luar, dan cuba menunjukkan
kekuatannya dalam pembangunan Islam. Sejak tahun tujuh puluhan lagi, negara
kita melahirkan penglibatannya yang serius dalam dasar pelaksanaan Islam di
dalam semua aspek pembangunannya.
Pembangunan negara kita
mendapat kejayaan besar dengan dokongan semua rakyat berbagai kaum dan agama
dengan penuh kerjasama dan harmoni, satu kejayaan yang amat jarang berlaku
dalam negara berbagai etnik, malah biasanya negara berbagai etnik akan
menghadapi pelbagai masalah dan pertikaian yang membawa kepada pertumpahan
darah secara berpanjangan. Maka dalam keadaan ini pihak musuh akan merasa
cemburu dan akan berusaha mengganggu-gugat kestabilannya, memecah-belah
rakyatnya dan mengembalikan semula kuasa penjajahannya.
Agama kita terang-terangan dari
awal lagi memberi amaran tentang taktik permusuhan terhadap Islam oleh
golongan-golongan yang tertentu. Tentang golongan yang akan terus memusuhi
Islam ini kajilah ayat 12 dan 13 dari surah Ali-Imran yang merumuskan tentang
kekecewaan golongan yang memusuhi kaum Muslimin.
Tentang kedudukan musuh Islam
seperti yang menjelma dalam watak Abdullah ibn Ubai pula baca dan fahamilah ayat
54 surah al-Maidah yang menekankan tentang perwatakan buruk kumpulan ini.
Kini sejarah itu berulang lagi
dalam bentuk yang lebih canggih, tetapi saya percaya hal ini akan lebih
memberikan kekuatan mental dan azam kepada orang-orang yang teguh dan mantap
imannya.
Rakyat umum merasakan diri
mereka terlalu hina untuk menjual maruah dan kepercayaan mereka dengan harga
yang amat murah. Golongan ramai (silent majority) tetap mempunyai prinsip dan
harga diri yang tinggi, mereka tentulah tidak akan membiarkan negara dan akidah
mereka tergadai kerana tuntutan nafsu yang tamak dan sikap fanatik melulu.
Gangguan yang dibuat ke atas
kedaulatan agama secara berselindung di belakang tabir politik atau ekonomi
sentiasa dapat dicium baunya yang busuk. Watak munafik Abdullah ibn Ubai yang
berkeliaran dalam masyarakat dapat dilihat belang dan kehinaannya. Rakyat umum
tentu masih rasional dan bermaruah untuk mempertahankan kedaulatan negara dan
agamanya. Mereka mengetahui bahawa kaum penjajah dan konco-konconya itu adalah
ibarat anjing menyalak bukit, tidak dapat memberi kesan apa-apa.
* Datuk Dr. Ismail Ibrahim
ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
e-mel:ismail@ikim.gov.my
Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_03.htm#ixzz4PVCZPCke
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan