ARKIB : 12/10/1998
MELBOURNE - Beregu Malaysia
Chan Chong Meng/Tao Seng Kok dengan mudah menumpaskan pasangan Jiang Shan/Cai
Yun dari China untuk menjuarai Kejohanan Badminton Remaja Dunia dengan
kemenangan 15-7, 15-3 pada perlawanan akhir berat sebelah di Pusat Sukan dan
Akuatik di sini semalam.
Juara perseorangan remaja
Malaysia Yeoh Kay Bin, yang juga pilihan ketiga, tersingkir apabila ditewaskan
pemain bukan pilihan dari China Zhang Yang 10-15, 17-14 pada satu perlawanan
amat menarik.
Chan Chong Meng dan Joanne Quay
turut menaikkan nama negara apabila menjuarai acara beregu campuran setelah
mengalahkan Choi Min Ho dan Lee Hyo Jung 15-6, 15-10.
Gandingan beregu Chong Meng dan
Seng Kok mempamerkan permainan cemerlang dengan sering memaksa lawan melakukan
kesilapan. Kedua-duanya bermain baik di jaring tanpa membenarkan pasangan China
mengutip mata dengan mudah.
Meskipun agak gementar pada
permulaan, Chong Meng dan Seng Kok segera bertukar rentak dan bermain dengan
lebih yakin sebaik sahaja mendahului 3-2. Ketika mendahului 9-7 pasangan
Malaysia terus menamatkan permainan dengan mengutip enam mata lagi tanpa servis
bertukar tangan.
Chong Meng dan Seng Kok
menguasai permainan dari permulaan set kedua sehingga mendahului 9-0 sebelum
Jiang Shan dan Cai Yun berjaya menjadikan kedudukan 9-2. Beregu Malaysia
memperoleh satu mata lagi sebelum membungkus permainan 15-3 dalam masa tiga
puluh minit.
Naib presiden Persekutuan
Badminton Antarabangsa, Datuk Punch Gunalan, yang menyampaikan pingat memberitahu
bahawa Chong Meng dan Seng Kok merupakan pasangan terunggul di dunia dalam
kategori remaja.
''Masanya tidak lama lagi bagi
mereka mengetepikan pemain senior pula,'' katanya sebelum bergegas ke Sydney
untuk menghadiri satu mesyuarat Majlis Olimpik.
Jurulatih Malaysia Zhou Ke-jian
berkata beliau gembira dengan persembahan Chong Meng dan Seng Kok. ''Mereka
bermain baik sekali. Saya sungguh gembira.''
Perseorangan wanita dimenangi
pemain China Gong Ruina yang menewaskan rakan senegara Hu Ting 3-11, 13-10,
11-7, manakala beregu wanita juga dimenangi pasangan China Zhang Jiewen dan Xie
Xinfang yang mengalahkan Gong Ruina dan Huang Sui 3-15, 15-3, 15-10. - Bernama
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4P6aslQQH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan