Khamis, 10 November 2016

Pakar sifatkan kejadian pokok kuini ganjil

ARKIB : 11/12/1998
KUALA LUMPUR 10 Dis. - Pakar-pakar holtikultur menyifatkan kejadian pokok kuini mengeluarkan buah belimbing sebagai ganjil dan amat mustahil, tetapi salah seorang daripada mereka mengandaikan kemungkinan ia berpunca daripada kedudukan kedua-dua pokok berkenaan yang terletak berdekatan.

Profesor Madya Dr. Wong Kai Choo dari Universiti Putra Malaysia berkata, berdasarkan pada pemerhatiannya, adalah mustahil fenomena tersebut terjadi kerana kuini adalah dari baka mangifera manakala belimbing pula averrhoa.

''Saya berpendapat perkara ini terjadi mungkin disebabkan oleh dahan dari pokok belimbing itu berdekatan dengan pokok kuini.

''Jarak yang berdekatan ini mungkin menyebabkan pokok kuini itu mampu mengeluarkan buah belimbing walaupun pokok itu terdiri daripada baka yang berlainan,'' katanya ketika dihubungi di pejabatnya di Serdang hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian aneh di Batu Pahat, Johor apabila seorang suri rumah mendapati pokok kuini miliknya turut menghasilkan buah belimbing.

Suri rumah tersebut, Mariati Hussin, 64, mengesan kelainan itu ketika memeriksa pokok tersebut seminggu lalu dan mendapati buah-buah itu tumbuh secara berpasang-pasangan pada dahan yang sama.

Dalam jarak kira-kira enam meter dari pokok kuini itu, terdapat pokok belimbing yang juga sebesar pokok kuini itu.

Menurutnya, itu adalah pertama kali pokok kuini turut mengeluarkan buah belimbing.

Tambah Wong, walaupun jarak yang berdekatan memungkinkan perkara itu terjadi, namun peratus kejayaannya amat rendah dan jarang berlaku.

Sementara itu, Penolong Pengarah Pusat Penyelidikan Holtikultur di Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Izham Ahmad berkata, walaupun kedua-dua buah berkenaan menjalani proses kacukan, namun ia tidak mungkin akan berjaya kerana spesies kedua-dua buah itu amat berlainan.

Bagaimanapun beliau menolak andaian bahawa perkara itu terjadi walaupun dahan pokok belimbing itu berdekatan dengan pokok kuini.

Sehubungan itu, tambah Izham, MARDI tidak akan pergi ke rumah suri rumah terbabit kerana perkara itu jika diteliti dari sudut saintifik, ia tidak boleh berlaku sama sekali.

''Penyelidikan yang dibuat ke atas sesuatu perkara yang mustahil dari sudut saintifik lazimnya hanya akan melalui jalan buntu,'' ujarnya yang mengakhiri perbualan dengan berkata ''kalaupun perkara ini terjadi, ia hanya dengan kuasa Tuhan semata-mata.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_04.htm#ixzz4PcEPD9s3 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan