ARKIB : 29/10/1998
KALAU tanpa pementasan teater
puisi Dari Bintang Ke Bintang pada November ini, tentunya tidak ada satu acara
pun yang diadakan bagi merayakan ulang tahun ke-50 Sasterawan Negara, Datuk
Usman Awang dalam kesusasteraan Malaysia.
Kalau mengambil kira Korban
Tanah Air sebagai puisi pertamanya, pada 7 November ini genap 50 tahun Usman
Awang menggunakan sastera sebagai wadah perjuangan nasionalisme dan kritikan
sosial.
Korban Tanah Air ada
signifikannya dalam kesusasteraan tempatan. Malah berhubung rapat dengan
gerakan nasionalisme yang turut melibatkan golongan penulis.
Tentunya 50 tahun satu jangka
masa yang cukup panjang bagi seorang karyawan untuk memperlihatkan konsistensi
dalam karya-karya mereka. Dalam ruang waktu itu tentu sahaja menuntut beliau
merentasi pelbagai pertembungan ideologi, milieu sosial dan perubahan politik.
Barangkali kerana Usman Awang
bukan daripada kalangan orang politik, maka ideologi dan prinsip perjuangannya
tetap sama. Karya Usman Awang terus tajam seperti tajamnya sepit ketam dalam
puisi Benarkah Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Betul?
Tetapi setakat ini belum ada
acara sastera yang membincangkan secara serius puisi-puisi Usman Awang sempena
ulang tahun ke-50 ini.
Usman Awang bukan sahaja
Angkatan ASAS 50 memperjuangkan kemerdekaan malah terus memainkan peranan
menjadi pemerhati terhadap kemelut politik dan sosial yang memberikan kesan
kepada masyarakat bawahan pada dekad-dekad selepas 50-an.
Mujur Fauziah Nawi mengambil
inisiatif mementaskan puisi-puisi Usman Awang. Inilah acara bagi seorang
Sasterawan Negara yang perjuangannya merentasi sempadan geografi, politik dan
bangsa.
Pementasan ini setidak-tidaknya
memperlihatkan ada kalangan generasi baru yang masih melihat sumbangan
sasterawan yang pernah merentasi beberapa zaman yang penuh traumatis. Tetapi
itu sahaja belum cukup untuk melihat kembali pemikiran dan sumbangan Usman
Awang dalam waktu yang cukup panjang itu.
Sewajarnya ada usaha untuk
membawa masyarakat menelaah puisi seperti Keranda 152 yang melontarkan kritikan
berani terhadap isu bahasa Melayu dalam konteks hari ini.
Tulisan Usman dalam Keranda
152, ''Anak Melayu/panas dadamu membakar baju/kita arak keranda 152/ke tanah
perkuburannya di Parlimen.'' Usman menyentuh pelbagai tema; politik, sosial,
keluarga, kemanusiaan dan antarabangsa. Beliau memanifestasikan kemanusiaan
dalam Surat Masyarakat Gagak kepada Datuk Bandar ekoran kempen menembak gagak
pada tahun 1972 dulu.
Atau secara sinis menyingkap
jurang dalam masyarakat dalam Penjual Pisang Di Kaki Lima, putar belit orang
politik dalam Pak Utih atau kasih sayang yang tidak bersempadan dalam Ke Makam
Bonda.
Naskhah teater Matinya Seorang
Pahlawan pula dianggap keberanian Usman Awang mengangkat Jebat sebagai simbol
wira. Inilah karya yang digunakan oleh Usman Awang untuk mengubah pemikiran
masyarakat kepada suatu yang luar daripada kebiasaan.
Tetapi malangnya ulang tahun
ke-50 ini semacam tidak dipedulikan oleh organisasi tertentu. Apakah ini
memperlihatkan sasterawan dekad 90-an menjengah alaf baru dengan meninggalkan
landasan yang dibina oleh mereka yang seangkatan dengan Usman Awang?
Apa pula peranan yang dimainkan
oleh media elektronik tempatan untuk memanfaatkan sastera untuk membangunkan
pemikiran masyarakat? Setakat ini belum ada rancangan yang khusus melihat karya
Usman Awang secara retrospektif di TV atau radio.
Apakah ini kerana Usman Awang
bukan P. Ramlee yang diberi ruang yang cukup luas untuk kembali ke tengah
masyarakat. Atau bukan Ziana Zain yang majlis perkahwinannya seolah-olah
menjadi isu nasional hingga berbulan-bulan lamanya.
Usman Awang tentunya tidak mahu
dijulang-julang seperti orang politik untuk sentiasa berada di mata masyarakat.
Tetapi ini tidak bererti beliau harus dilupakan atau karya-karyanya tidak perlu
ditelaah untuk melihat relevan dengan kemelut politik, sosial dan kemanusiaan
semasa.
Dua dekad lalu, dalam puisi
Mereka Telah Bangkit, Usman menulis tentang satu kebangkitan. Memang
puisi-puisi Usman sering membangkitkan kesedaran dan keyakinan. ''Mereka telah
bangkit/dari buku yang dibacanya/dari tembok yang melindunginya/dengan bendera
dan lilit kepala'' (Mereka Telah Bangkit 1967)
Puisi Usman Awang perlu terus
dibaca kerana ia relevan dengan semua zaman dalam semua situasi.
E-mel: kuseman@pc.jaring.my
Oleh: KU SEMAN KU HUSSIEN
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1029&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz4P8LqVrFi
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan