Selasa, 29 November 2016

Operasi kedua NATO -- Serangan udara terhadap pasukan keselamatan Yugoslavia diperhebat

ARKIB : 29/03/1999
BRUSSELS 28 Mac - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengisytiharkan akan memperhebatkan serangan udaranya terhadap pasukan keselamatan Yugoslavia dengan melancarkan serangan fasa kedua.

Setiausaha Agung NATO, Javier Solana berkata, beliau telah mengarahkan pemerintah tertinggi pakatan ketenteraan itu, Jeneral Wesley Clark, ''melancarkan operasi udara lebih meluas terhadap Republik Persekutuan Yugoslavia.''

Sasaran NATO dalam serangan kali ini ialah tentera Yugoslavia di dalam dan sekitar Kosovo. Ini berikutan serangan balas sengit oleh tentera Yugoslavia, termasuk menembak jatuh pesawat tercanggih yang mempunyai rekod tempur terbaik, Stealth F-117, milik Amerika Syarikat.

Menurut para diplomat, fasa kedua itu dijangka membawa sehingga fasa kelima sekiranya Presiden Yugoslavia, Slobodan Milosevic, masih berdegil enggan menandatangani perjanjian damai Kosovo serta tidak menghentikan keganasan ke atas penduduk etnik Albania.

Serangan itu memerlukan penggunaan pesawat yang terbang rendah, pesawat pemusnah kereta kebal dan helikopter.

Jurucakap NATO, Jamie Shea berkata, kereta perisai, meriam dan pusat-pusat pemerintahan tentera Yugoslavia akan dijadikan sasaran serangan.

Dalam kenyataannya ketika mengumumkan operasi fasa kedua itu, Solana berkata:

''Saya mengambil keputusan ini dengan sokongan semua kerajaan anggota, yang bertekad menghentikan keganasan di Kosovo dan mencegah malapetaka kemanusiaan yang seterusnya.

''Dengan matlamat itu, operasi secara lebih meluas akan membolehkan para pemerintah tentera NATO meningkatkan tindakan mereka terhadap pasukan keselamatan Yugoslavia.''

Ini bermakna serangan fasa kedua akan memasuki dimensi baru kerana serangan sebelum ini hanya terhad kepada kemudahan tentera.

Kira-kira 90 kemudahan tentera termasuk sistem pertahanan udaranya telah diserang oleh NATO sejak Rabu lalu.

Dalam pada itu, NATO turut menyatakan kebimbangannya tentang laporan-laporan bahawa tentera Serb membunuh, mengganggu dan mengacau etnik Albania di Kosovo.

Para perwakilan politik Tentera Pembebasan Kosovo (KLA) menyambut baik serangan udara NATO yang kini memasuki hari keempat tetapi menggesa supaya tentera darat NATO segera campur tangan.

''Kami mengalu-alukan serangan itu tetapi kami menuntut tentera darat NATO datang ke Kosovo secepat mungkin,'' kata jurucakap KLA.

NATO menyatakan baru-baru ini ia tidak mempunyai rancangan untuk menghantar askarnya ke Kosovo.

Sumber-sumber etnik Albania di Kosovo menyatakan keganasan tentera Serb terhadap mereka semakin meningkat sejak NATO melancarkan serangan udaranya.

Perwakilan politik KLA, Bardhyl Mahmuti berkata, 70 orang telah terbunuh dalam dua rumah di bandar Djakovica.

Beliau berkata kerajaan Yugoslavia menjalankan ''pembersihan etnik'' dan terdapat banyak kes di mana kaum lelaki di bunuh di hadapan anak-anak mereka.

Seorang wanita etnik Albania di bandar Pristina, ibu negeri Kosovo, merayu pertolongan kepada seorang saudaranya di luar negara ketika dihubungi menerusi telefon.

''Lakukan sesuatu untuk kami sekarang atau lupakan kami buat selama-lamanya.''

NATO berkata, kekejaman itu memang telah lama dirancang oleh Presiden Yugoslavia, Slobodan Milosevic, dan bukannya disebabkan oleh serangan pakatan ketenteraan Atlantik Utara itu.

Jurucakap NATO berkata, mereka yang didapati bertanggungjawab terhadap kekejaman itu akan dianggap sebagai penjenayah perang dan dihadapkan di hadapan Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas Yugoslavia di The Hague. - Reuters

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4ROkoLRyx © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan