Ahad, 27 November 2016

Kisah penerima pingat keberanian

ARKIB : 26/03/1999
KUALA LUMPUR 25 Mac - Tindakan bersendirian menangkap empat lelaki bersenjata yang cuba menyamun dua orang guru di bandar Miri, Kuching merupakan antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh L/Kpl Rofendee Mohd. Sait yang menerima Pingat Keberanian Polis daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Jaafar hari ini.

Rofendee, 31, adalah antara tiga anggota polis yang menerima pingat itu sempena Hari Polis Ke-192 pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian Polis di Istana Negara di sini.

Ketika menceritakan semula peristiwa yang berlaku empat tahun lepas itu, Rofendee berkata semasa kejadian itu beliau terserempak dengan empat lelaki yang sedang cuba menyamun dan mencederakan dua orang guru sekolah vokasional di Miri.

''Semasa saya tiba, mereka sedang mencederakan salah seorang guru dengan menggunakan serpihan kaca manakala seorang lagi sedang ditikam dengan pisau,'' kata beliau ketika ditemui di sini hari ini.

Rofendee berkata dengan hanya berbekalkan semangat dan pengetahuan dalam seni mempertahankan diri, beliau menyerbu dan melawan keempat-empat perompak itu sedang beliau sendiri tidak bersenjata.

''Pergelutan berlaku dan saya berjaya menahan keempat-empat lelaki itu yang kemudiannya saya serahkan ke balai polis berhampiran,'' katanya.

Rofendee yang telah berkhidmat selama 10 tahun dalam pasukan polis kini bertugas di Unit Khas Komputer Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.

Beliau berasal dari Melaka dan memulakan kerjayanya sebagai anggota polis dalam Pasukan Polis Hutan di Sarawak dan pernah bertugas membantu pasukan Briged Sabah membanteras kegiatan lanun di perairan negeri itu.

Beliau pernah menerima surat penghargaan rasuah, sijil cemerlang PDRM dan sijil cemerlang risikan jenayah.

Sementara itu, Sarjan Mokri Abdul Rahim, 47, salah seorang daripada penerima Darjah Bentara Pasukan Polis berkata sepanjang perkhidmatannya dalam pasukan polis sejarah yang tidak dapat dilupakan ialah pertempuran dengan lanun pada tahun 1982 di perairan Sabah.

''Ketika itu baru 10 hari puasa, dan dalam serba kekurangan termasuk logistik, kami terpaksa bertempur dengan lanun yang mengganas di perairan Sabah pada masa itu,'' katanya.

Beliau berasal dari Sabah dan kini berkhidmat dalam Batalion 15 Pasukan Gerakan Am di Sandakan. Beliau menjalankan tugas-tugas harian biasa seperti operasi pendatang tanpa izin, rondaan dan kawalan di pulau-pulau serta kawasan pedalaman dan membantu tugas-tugas am.

Seorang lagi penerima Darjah Bentara Pasukan Polis Sarjan Mejar Norsiah Subandi, 45, berkata tugas mencabar yang dihadapinya sepanjang 24 tahun berkhidmat dalam PDRM ialah menangani kes-kes seksual termasuk sumbang muhrim dan keganasan rumah tangga.

Norsiah yang kini bertugas di Cawangan Jenayah Utama (bahagian seksual) Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur berkata cabaran utama dalam menjalankan tugas ialah sikap masyarakat yang masih segan atau takut untuk melaporkan kejadian jenayah seksual dengan alasan ''tidak mahu malu''.

''Dalam tugas harian saya terpaksa berdepan dengan mangsa seksual seperti rogol, cabul kehormatan dan keganasan rumah tangga yang kesemuanya memerlukan kesabaran untuk menanganinya,'' katanya.

Norsiah yang pernah berkhidmat di Cawangan Trafik itu berkata pendekatan yang digunakan dalam kes-kes seksual ialah memberi nasihat atau kaunseling kepada mangsa.

Ibu kepada tiga anak ini juga aktif dalam sukan dan mewakili PDRM dalam bola jaring. - Bernama.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_02.htm#ixzz4RDmf1w00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan