Jumaat, 4 November 2016

Soalan bocor kaji semula prosedur pelantikan guru pengawas

ARKIB : 08/10/1998
''Dahulu pengawas peperiksaan ditawarkan kepada guru berminat. Ramai guru baru, termasuk guru kelas tuisyen yang tidak berpengalaman, menawarkan diri menjadi pengawas.

''Kebanyakan guru baru pula tidak sedar pentingnya menjaga rahsia. Sikap tamak pula mencetuskan masalah apabila ada di kalangan mereka sanggup membocorkan soalan peperiksaan apabila dijanjikan habuan lumayan,'' katanya kepada Pendidikan.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Chan Fong Onn, baru-baru ini mengenai langkah LPM yang akan menggunakan sistem baru bagi memperkemaskan prosedur kawalan kertas peperiksaan awam berikutan kes soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bocor pada tahun lalu.

Di samping itu, tambah Abu Bakar, masalah kebocoran ini juga boleh dielakkan dengan pemberian keutamaan kepada aspek kemanusiaan dalam memilih ketua dan pengawas peperiksaan awam.

Keutamaan pada aspek itu penting kerana menurutnya pengendalian dan perjalanan peperiksaan awam dilakukan oleh para petugas yang terdiri daripada guru.

''Sikap tamak yang menguasai diri boleh mengaburi mata mereka untuk membocorkan soalan peperiksaan apabila dijanjikan habuan lumayan,'' jelasnya.

Justeru itu, kata Abu Bakar, langkah paling baik yang boleh diambil oleh LPM ialah melantik ketua dan pengawas peperiksaan dari kalangan guru kanan seperti pengetua dan penolong pengetua dalam sistem baru.

Ini kerana menurutnya, guru kanan lebih berpengalaman dan bertanggungjawab bagi menyelia pusat peperiksaan di seluruh negara.

Bagaimanapun beliau mengalu-alukan langkah LPM memperkenalkan sistem baru mengemaskan prosedur kawalan kertas soalan peperiksaan awam.

''Saya yakin langkah itu dapat mengelakkan kebocoran kertas-kertas soalan peperiksaan awam,'' katanya.

Selain itu, Abu Bakar berkata, KPPK akan memberi kerjasama kepada LPM seperti tahun-tahun lalu bagi memastikan perjalanan peperiksaan awam tahun ini lancar.

Beliau sudah pun meminta dan mengarahkan ahli KPPK membuat laporan kepada pihak berkuasa jika ada kes kebocoran soalan berlaku di pusat peperiksaan mereka.

Tahun lepas, sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Seafield di Subang Jaya, Selangor mendakwa kebanyakan kertas soalan peperiksaan SPM 1997 bocor berikutan kegiatan sindiket yang menjualnya kepada pelajar pada harga antara RM1,500 dan RM5,000 bagi setiap mata pelajaran.

Berikutan itu, tiga laporan polis dibuat berhubung dakwaan berkenaan dan polis turut menahan empat pelajar dan dua guru bagi membantu siasatan.

Oleh: ROHANA MAN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_02.htm#ixzz4P5HT94Fs © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan