Selasa, 29 November 2016

Dua beradik berjalan kaki di Kutub Utara


 

ARKIB : 27/03/1999
JUSTIN Read (kanan) menunjukkan tempat bermulanya ekspedisi berjalan kaki ke Darjah Terakhir di Kutub Utara sambil diperhatikan oleh abangnya, Gerald di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 26 Mac - Dua adik-beradik akan menempuh cuaca dan keadaan topografi yang sukar bagi merealisasikan impian mereka berjalan kaki sejauh 111 kilometer di Kutub Utara, bulan depan.

Gerald Malcolm, 25 dan Justin Maurice Read, 19, yang merupakan rakyat tempatan pertama berusaha mencatatkan rekod tersebut, dijadualkan akan berjalan sejauh 111 kilometer dalam keadaan suhu antara negatif 10 sehingga 30 darjah manakala ketebalan salji pula dari 0 hingga enam meter.

Usaha mereka yang dikenali sebagai ''Percubaan Darjah Terakhir - Kutub Utara'' itu ditaja oleh Impian Keemasan Benson & Hedges.

Pengurus Jenama Benson & Hedges, Bernice Choo berkata, usaha mereka akan dirakamkan untuk dikongsi bersama oleh para penonton siri program tersebut apabila musim ketujuh siri itu ke udara menerusi televisyen tempatan pada Julai ini.

''Sungguhpun musim ketujuh siri Impian Keemasan Benson & Hedges akan menampilkan impian-impian yang menarik dan pelbagai, impian Justin dan Gerald adalah yang paling menonjol kerana usaha mereka adalah pertama bagi warga Malaysia dan turut mencerminkan semangat ''Malaysia Boleh,'' katanya pada sidang akhbar hari ini.

Kedua-dua adik-beradik itu turut hadir pada sidang akhbar tersebut.

Bernice juga berkata, percubaan oleh Justin yang memperoleh keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Isnin lalu manakala Gerald, penuntut bidang perakaunan di kolej swasta, akan memulakan percubaan mereka pada 14 April.

Kata Bernice lagi, Justin dan Gerald akan berlepas dari Malaysia untuk memulakan ekspedisi pada 4 April ini.

Mereka akan mengambil masa selama dua minggu termasuklah latihan pra permulaan selama lima hari di pengkalan kutub ekspedisi di Resolute Bay, Kanada.

Sebelum ini, adik-beradik tersebut telah menjalani kursus persediaan kutub selama empat hari di England.

Mereka akan mengharungi cabaran berjalan kaki bersama-sama dengan dua krew Benson & Hedges yang berpengalaman, bermula pada 12 April ini pada kedudukan 86 darjah utara yang mengambil masa 40 hari untuk sampai ke destinasi bagi mengibarkan bendera Malaysia dan Benson & Hedges.

Pada 5 April, mereka akan menuju ke Base Eureka dari Edmonton, Kanada pada kedudukan 80 darjah utara dengan menggunakan sebuah pesawat kecil, Twin Otter.

Jika keadaan cuaca mengizinkan, mereka akan meneruskan perjalanan menuju ke Fuel Cache yang merupakan lokasi permulaan percubaan tersebut pada 12 April.

''Walaupun menyedari risiko tinggi yang bakal kami hadapi, kami akan memastikan nama Malaysia megah di mata dunia,'' kata Gerald ketika ditemui pada sidang akhbar tersebut.

Tambah Gerald, dia mendapat idea tersebut semasa menonton satu rancangan ekspedisi yang disiarkan di televisyen.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_02.htm#ixzz4ROImZZgh © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan