Rabu, 16 November 2016

RM35j bendung wabak JE -- 292,500 penduduk dan 500,000 khinzir akan disuntik

ARKIB : 11/03/1999
KUALA LUMPUR 10 Mac - Kabinet hari ini mengarahkan 292,500 penduduk yang tinggal di sekitar ladang khinzir serta 500,000 ternakan itu di seluruh negara disuntik dengan vaksin, membabitkan kos berjumlah RM35.5 juta.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Abdul Halim Ali berkata, tindakan segera itu diputuskan oleh jemaah menteri yang bersidang hari ini bagi merumuskan pendekatan khusus mengatasi wabak Japanese Encephalitis (JE) daripada terus merebak.

Menurutnya, suntikan itu akan dijalankan terhadap penternak, ahli keluarga dan pekerja ladang khinzir serta para penduduk yang tinggal dua kilometer dari ladang-ladang ternakan yang dikenal pasti diserang wabak JE iaitu di Ipoh, Perak, Bukit Pelandok dan Seremban di Negeri Sembilan.

''Sebanyak RM28 juta diperuntukkan oleh kerajaan untuk pemvaksinan kepada penternak dan penduduk, sementara RM7.5 juta lagi disediakan untuk pelalian terhadap ternakan itu.

''Bagi penduduk yang tinggal di kawasan sekitar, vaksinasi hanya ditumpukan terhadap mereka yang berusia antara satu hingga 15 tahun kerana berdasarkan kajian pakar perubatan golongan tersebut lebih terdedah kepada bahaya jangkitan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media bagi menyampaikan keputusan yang dipersetujui oleh jemaah menteri yang bersidang hari ini dalam menangani wabak JE di negara ini di Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), Datuk Dr. Nordin Mohd. Nor.

Abdul Halim menambah, JPH akan menyelaraskan tugas pemvaksinan bagi khinzir termasuk membeli vaksin, menyediakan logistik serta tenaga kerja bagi menjalankan suntikan itu.

Sementara itu, Dr. Nordin berkata, setakat ini JPH hanya mempunyai 30,000 dos vaksin sementara dos yang diperlukan untuk menyuntik khinzir berjumlah satu juta yang akan diimport dari Taiwan dan Jepun yang dijangka tiba dua minggu dari sekarang.

Menurutnya, berdasarkan kajian yang dibuat di Ipoh sebelum ini mendapati 70 peratus kadar imuniti dos yang diberikan berjaya mengurangkan jangkitan wabak JE.

Dalam pada itu Abdul Halim menegaskan, tugas memvaksinkan khinzir sebenarnya bukanlah tanggungjawab kerajaan tetapi apabila wabak ini semakin serius, kerajaan terpaksa membantu untuk campur tangan.

''Tugas memberi vaksin terhadap khinzir merupakan tanggungjawab penternak itu sendiri dan mereka sewajarnya mengambil sikap menjaga kebersihan ladang ternakan supaya tidak menjadi kawasan pembiakan nyamuk Culex yang membawa virus JE,'' ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri dipertanggungjawabkan untuk melakukan semburan asap (fogging) di kawasan ladang ternakan yang dikenal pasti diserang wabak itu.

Menurutnya, semburan hendaklah dilaksanakan seminggu sekali selama sekurang-kurangnya empat minggu berturut-turut.

Sementara itu, kerajaan melarang sama sekali perpindahan khinzir melainkan pengangkutan ke rumah-rumah pemotongan yang berlesen sahaja.

Perpindahan itu, katanya memerlukan kerjasama daripada anggota polis dan Rela bagi memastikan tiada pihak yang melanggar larangan tersebut.

Dalam perkembangan yang sama, Abdul Halim berkata, Kementerian Penerangan dikehendaki melaksanakan kempen penerangan melalui radio dan televisyen mengenai cara-cara mengawal penyakit JE serta meyakinkan orang ramai bahawa penyakit itu hanya merebak melalui gigitan nyamuk Culex.

Menurutnya, kempen itu juga perlu memberi penerangan kepada para penternak mengenai pentingnya menjaga kawasan ternakan dengan bersih bagi mengelak pembiakan nyamuk Culex yang merupakan agen virus JE.

Oleh: SITI HANIZA ABDUL RAHMAN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4Q9zYlVyh © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan