Ahad, 22 April 2018

Sejarah Penghijrahan Orang Melaka ke Felda Jengka 2.

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Penulis menemuramah Hj Yaakob Mahadi

        Felda Cempaka Jengka 2 (Jengka 2), merupakan salah satu daripada kawasan petempatan peneroka Felda yang telah dibuka sekitar tahun 1971. Felda Jengka 2 berada di dalam kawasan daerah Maran dan terletak berhampiran Felda Jengka 3 dan Ulu Jempol. Perjalanan dari Bandar Jengka yang terletak 10 kilometer mengambil masa kira-kira 15 minit. Terdapat lebih daripada 400 buah keluarga yang terdiri daripada generasi pertama dan Felda  peneroka.

       Tanah Rancangan Felda Jengka 2 telah dimajukan dalam  peringkat kedua pembangunan tanah Felda dalam tahun 67/68. Perancangan pembangunan wilayah ini berdasarkan kajian kumpulan pakar perunding Tams/Hunting. Ini merupakan projek utama negara yang pertama dibiayai melalui pinjaman Bank Dunia berjumlah sebanyak 52 juta dollar Amerika. Pinjaman ini digunakan untuk membiayai projek Jengka 1-23.[1]

     Kebanyakkan penduduk di Felda Cempaka Jengka 2 berasal daripada masyarakat Melaka kerana terdiri daripada saudara- mara mereka. Pada tahun 1970 seramai 133 orang peneroka yang berasal dari Melaka telah masuk ke Felda Cempaka Jengka 2 tetapi mereka datang secara berorganisasi. Kebanyakkan orang Melaka ditempatkan di kawasan peringkat 2. Di peringkat 2 mempunyai 3 lorong dan lorong tengah di kawasan kubur kebanyakkannya terdiri daripada orang Melaka. Orang Melaka yang ada di Felda Jengka 2 berasal dari Kampung sekitar Mukim Sungai Rambai, Alor Gajah, Jasin, dan sebagainya.[2]

     Perjalanan mereka untuk sampai ke Felda Cempaka Jengka 2 dengan menaiki bas yang disediakan. Mereka berhijrah ke sini kerana pada mulanya mereka menerima tawaran untuk menjadi peneroka. Felda ini ditubuhkan bagi membasmi kemiskinan yang melampau di kalangan masyarakat orang melayu di negara ini.[3]




[1]Rokiah Talib, “Raja Muhammad  Alias Arkitek Felda”, (Penerbitan UKM, Bangi 2010), 49.
[2] Temu ramah Haji Yaakob Mahadi pada 5 April 2016.
[3] Ibid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan