ANTARA 150
veteran yang hadir.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my
Selepas 30 tahun
tidak bertemu, hanya tangisan kegembiraan dan pelukan erat dalam kalangan
veteran Artileri 1, Rejimen Artileri Diraja (RAD), Kem Terendak, Melaka,
menjadi cara terbaik untuk menzahirkan perasaan masing-masing.
Bermula daripada
perbincangan menerusi grup aplikasi WhatsApp, Veteran 1st Artileri, hasrat
mengadakan pertemuan dengan rakan seperjuangan akhirnya berjaya direalisasi
dengan penganjuran Majlis Reunion Bekas 1 Artileri pada 23 Julai lalu.
Perjumpaan yang
berlangsung di Kuala Sungai Baru, Melaka itu berjaya mengumpulkan lebih 150
veteran Artileri, malah turut disertai ahli keluarga masing-masing.
Ingin bersemuka
Menurut Pengerusi
Jawatankuasa Majlis Reunion Bekas 1 Artileri, Mejar Nordin M Dahlan, idea
tercetus apabila wujud permintaan daripada rakan untuk bersemuka dengan teman
lama.
“Ini julung kali
kita mengadakan pertemuan selepas masing-masing membawa diri selepas menamatkan
perkhidmatan dengan pasukan keselamatan negara.
“Selain bertukar
cerita terbaru, menjalinkan kembali hubungan persahabatan yang sudah lama
terputus menjadi tujuan paling utama.
“Kita memilih
Melaka kerana semua veteran ini berkhidmat di Kem Terendak. Ia adalah kem
artileri pertama, meskipun ia bermula di Kajang dan Sungai Besi sebelum ini,”
katanya yang turut menahan sebak.
Menariknya,
perjumpaan veteran 1 Artileri ini tidak saja dihadiri waris perintis sejak
1950-an, bahkan bekas tentera yang berkhidmat antara 1960-an hingga 1990-an.
Jadikan
perjumpaan tahunan
Aktif dalam grup
WhatsApp, Nordin berkata mereka mempunyai perancangan untuk menjadikan
perjumpaan antara veteran sebagai acara tahunan.
“Oleh kerana ini
adalah kali pertama dianjurkan, kita memberi kebebasan kepada rakan untuk
bertemu dan bersembang sesama sendiri sambil menjamu selera sempena Aidilfitri.
“Selain itu, kita
juga mengadakan bacaan doa tahlil buat rakan seperjuangan yang meninggal dunia.
“Saya juga
berharap hubungan yang terjalin antara rakan veteran semua berkekalan hasil
pertemuan yang kita anjurkan ini,” katanya mengakhiri perbualan.
SUMBER-Artikel
ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 5:04 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan