ARKIB : 14/09/1998
Kita rangkul emas pertama
melalui boling
BARISAN pemain boling negara
(dari kiri) Shalin Zulkifli, Ben Heng, Kenny Ng dan Lai Kin Ngoh gembira
meraikan kejayaan memenangi pingat. Pasukan beregu lelaki memenangi pingat emas
pertama negara pada Sukan Komanwel XVI. Shalin dan Kin Ngoh pula menang pingat
perak.
KUALA LUMPUR 13 Sept. -
Malaysia mencapai kejayaan paling manis hari ini apabila mengutip satu pingat
emas, dua perak dan satu gangsa pada hari kedua temasya Sukan Komanwel XVI (KL
'98).
Paling membanggakan, pastinya
menerusi acara boling apabila pasangan beregu lelaki negara, Kenny Ang dan Ben
Heng memastikan pingat emas pertama Malaysia menjadi kenyataan.
Dengan menjatuhkan 3,552
jatuhan pin, Malaysia sudah cukup kukuh untuk menewaskan pasangan dari Bermuda
dan England yang dari awal memberikan tekanan dalam acara berlangsung di
Pyramid Bowls, Sunway Pyramid itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.
Mahathir Mohamad yang turut menyaksikan aksi menarik itu, memberi semangat
kepada dua peserta boling negara itu.
Dr. Mahathir berkata, beliau
yakin atlet negara mampu merangkul lebih pingat emas pada temasya yang sedang
berlangsung itu.
Sambil memuji barisan pemain
boling negara, beliau berharap, ''semangat boling yang mencipta emas pertama
Malaysia hari ini mampu menyemarakkan semangat atlet negara mencapai kejayaan
lebih cemerlang.''
''Kita merasa bangga dan
bersyukur kerana mendapat pingat emas pertama dalam tenpin boling. Kejayaan ini
tidak dijangka tetapi kita berharap atlet negara akan berusaha lebih gigih lagi
memungut pingat emas,'' kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan acara
ragbi KL'98 yang disertai 18 pasukan di Stadium Petaling Jaya di Kelana Jaya.
Hadir sama ialah, isteri
beliau, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Presiden Persekutuan Sukan
Komanwel (CGF), Putera Edward dan Perdana Menteri Fiji, Jeneral Sitiveni
Rabuka.
Dr. Mahathir yang meluangkan
masa di stadium tersebut selama dua jam turut menyaksikan perlawanan ragbi di
antara Malaysia dan Kenya. Perlawanan itu dimenangi oleh Malaysia 19-5.
Tengah hari ini, pasangan emas
negara, Shalin Zulkifli dan Lai Kin Ngoh hanya sekadar berjaya menyumbangkan
pingat perak dalam acara beregu boling dengan melakukan 3,548 jatuhan pin.
Pingat emas dalam acara itu
diraih oleh pasangan Australia, Cara Honeychurch/Maxim Nable yang melakukan
3,678 jatuhan pin.
Dalam pada itu, acara menembak
turut menyerlah dengan kejayaan pasangan negara, Mutalib Abdul Razak/Mohammed
Emran Zakaria mengutip pingat perak dalam acara Air Rifle berpasukan lelaki di
Lapang Sasar Antarabangsa Langkawi (Lisram), Langkawi.
Mutalib mengutip 584 mata,
sementara Mohammed mengumpulkan 583 mata untuk menjadikan jumlah keseluruhan,
1,167 mata.
Selain mereka, dalam acara
Sport Pistol, turut menyaksikan kejayaan penembak negara, Bibiana Ng Pei
Chin/Norsita Mahmud mengutip pingat gangsa apabila mengumpulkan 1,116 mata.
Sementara bagi acara tinju yang
berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam, peninju negara, Rakib Ahmad bakal
meraih gangsa sekiranya dia memenangi perlawanan seterusnya esok.
Hari ini Rakib menumpaskan
pencabar dari Australia, David Erle Wiltshire dengan kiraan 15-5 bagi kategori
51kg untuk mara ke suku akhir.
Sekiranya Rakib mampu melakukan
kejutan esok, dia bakal mencipta sejarah dalam acara tinju pada temasya Sukan
Komanwel.
Bagaimanapun rakan senagara,
Thomas Benny Vivian tumpas kepada peninju Kanada, Marty O'Donnell dengan kiraan
11-6.
Turut mara ke suku akhir ialah
Adnan Yusoh yang menewaskan pencabar, Stewart Fraser dari Australia dalam
kategori 54kg (bantam weight).
Dalam acara skuasy, sandaran
pingat dari acara perseorangan wanita gagal disempurnakan oleh Leong Siu Lynn.
Dia tumpas kepada pemain
Australia, 9-2, 9-2, 9-4 dalam pusingan kedua.
Seorang lagi pemain negara,
Nicol David tewas kepada pemain England, Linda Charman dari England, 9-6, 9-6,
9-0.
Bagi acara Boling Padang,
Malaysia memberikan peningkatan cemerlang hari ini apabila pasangan negara,
Mohd. Aziz/Mohd Tazman menewaskan Martin Seeto/Albert Barakeina dari Papua New
Guinea, 18-16.
Permainan yang baik dilakukan
pasangan ini juga dijangka memberikan kejutan jika mereka dapat bertahan pada
perlawanan seterusnya esok.
Apapun, pasukan negara yang
tewas dalam acara ragbi kepada New Zealand, 53-0 semalam, terus tumbang kepada
Fiji, 63-5 pada perlawanan petang ini sebelum acara perasmian dengan sekadar
menyaksikan satu try dilakukan oleh Sulaiman Yaakop.
Dalam acara lumba basikal
wanita, peserta tunggal negara, Noor Asrina Sulaiman, yang menyertai Sukan
Komanwel pertama kalinya, ternyata gagal menyaingi kehebatan para peserta
bertaraf dunia yang menguasai acara berkenaan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_02.htm#ixzz4KKWabR5t
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan