Khamis, 15 September 2016

Dr. Haron Din minta dikebumikan di AS - Mohd Shukri

16 September 2016 12:38 PM
 Haron Din
Haron Din
KUALA LUMPUR 16 Sept. - Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din pernah berpesan kepada ahli keluarga serta rakan rapatnya supaya dikebumikan di Amerika Syarikat (AS) sekiranya beliau ditakdirkan meninggal dunia di negara tersebut.
Perkara itu didedahkan oleh Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd. Shukri Ramli yang menjelaskan bahawa `amanat’ tersebut disampaikan Allahyarham pada 10 September lalu sebelum bertolak ke AS.
“Saya dimaklumkan mengenai pesanan Allahyarham ini oleh warisnya. Kita hormati `amanat’ ini, tetapi tertakluk kepada waris Allahyarham.
“Amanat itu disampaikan mungkin sebagai persediaan ketika itu kerana pembedahan yang dijalani oleh Allahyarham merupakan kali keenam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Shukri, walaupun ada permintaan daripada rakyat Perlis supaya Allahyarham dikebumikan di negeri kelahirannya itu, tetapi menegaskan bahawa `amanat’ yang diberikan perlu dituruti.
“Kita kena hormat pesanan Allahyarham. Kalau ikut Islam pun, perlu segerakan urusan pengebumian jenazah,” jelas beliau.
Mohd. Shukri juga memberitahu solat jenazah ghaib akan diadakan di Kompleks Pas Perlis di Kangar, selepas dimaklumkan jenazah telah dimandikan di AS.
Dalam pada itu, pihak keluarga masih berusaha untuk membawa pulang jenazah Allahyarham yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Hospital Stanford, California, AS, hari ini.
Menurut pembantu Haron yang enggan dikenali, AS mempunyai syarat tertentu dalam proses membawa pulang jenazah.
“Antara syarat utama adalah dengan mengeluarkan semua cecair dalam jenazah sebelum boleh dibawa pulang menggunakan penerbangan komersial.
“Buat masa ini, pihak keluarga tidak bersetuju dengan syarat berkenaan dan kami masih berusaha untuk membawa pulang jenazah Allahyarham ke tanah air seberapa segera,” katanya ketika ditemui di kediaman Allahyarham di Bangi, dekat sini hari ini.
Jelasnya, sekiranya syarat itu masih perlu dipatuhi besar kemungkinan jenazah Allahyarham mungkin dikebumikan di AS.
“Kami tidak tahu dan masih menunggu perkembangan selanjutnya. Pihak keluarga masih berusaha untuk membawa pulang jenazah Tuan Guru,” katanya. - UTUSAN ONLINE

- Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/politik/dr-haron-din-minta-dikebumikan-di-as-mohd-shukri-1.383301#sthash.IshGytGD.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan