ARKIB : 11/08/1998
PINGAT UNTUK SUKAN KOMANWEL
XVI... Dari kiri pingat emas, perak dan gangsa yang dipamerkan di ibu pejabat
Sukom Ninety Eight Berhad, Seri Kembangan, semalam. Gambar - Bernama.
ATLET negara berpeluang membawa
pulang RM110,000 jika memenangi pingat emas dalam acara individu pada Sukan
Komanwel XVI (KL'98) di Kuala Lumpur bulan depan.
Jika kejayaan tersebut diiringi
dengan rekod baru kejohanan, atlet berkenaan akan memperoleh insentif tambahan
berjumlah RM20,000.
Bagi acara berpasukan (lebih
enam atlet), pingat emas menjanjikan RM45,000 seorang, selain RM2,000 untuk
kejayaan memecah rekod kejohanan.
Insentif tersebut adalah
gabungan Skim Hadiah kemenangan Majlis Sukan Negara (MSN) dan sumbangan
syarikat pengeluar barangan elektrik, Sony (M) Sdn. Bhd..
Jika melalui skim hadiah
kemenangan MSN, RM80,000 disediakan untuk pemenang pingat emas individu Sukan
Komanwel dan RM15,000 seorang dalam acara berpasukan (lebih enam atlet), Sony
menambah RM10,000 bagi individu dan RM30,000 bagi acara berpasukan.
Imbuhan lumayan turut menanti
atlet yang berjaya membawa pulang pingat perak dan gangsa, tetapi tiada
sebarang pulangan dijanjikan kepada mereka yang berjaya memecah rekod
kebangsaan.
Selain itu mereka turut
menjanjikan RM5,000 dan RM15,000 kepada pemenang pingat perak individu dan
berpasukan serta RM3,000 (individu) dan RM7,000 (berpasukan) untuk pingat
gangsa.
Pemberian insentif terbaru Sony
itu menyaksikan pemenang pingat perak individu bakal menerima RM45,000, tidak
termasuk kejayaan memecah rekod kejohanan dan RM23,000 pingat gangsa
(individu).
Sementara dalam acara
berpasukan, ia bergantung kepada jumlah atlet dalam skuad berkenaan, di mana
melalui skim hadiah kemenangan MSN pemenang pingat perak (lebih enam atlet)
akan menerima RM8,000 seorang dan gangsa RM4,000 seorang.
Menteri Belia dan Sukan, Tan
Sri Muhyiddin Yassin, berkata skim insentif yang disediakan MSN dan Sony itu
diharap dapat mencetuskan semangat baru kepada kontinjen negara untuk beraksi
cemerlang di KL '98.
''Kerajaan dan pihak swasta
negara ini telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk menjayakan Sukan
Komanwel,'' katanya pada majlis Perjanjian Penajaan Skim Insentif Atlet Sukan
Komanwel XVI di antara Sony dan MSN di Bandar Utama, Petaling Jaya semalam.
Turut hadir pada majlis
berkenaan ialah Ketua Pengarah MSN, Datuk Mazlan Ahmad yang menandatangani
dokumen perjanjian dengan Pengarah Urusan Sony, Hideo Kojima dan disaksikan
oleh Muhyiddin.
''Saya harap atlet negara peka
di atas sokongan serta dorongan yang diberikan kepada mereka dan berusaha
bersungguh-sungguh untuk mempersembahkan prestasi terbaik sama ada dalam bentuk
pingat (khususnya emas), rekod baru kejohanan, rekod baru kebangsaan ataupun
persembahan terbaik masing-masing,'' katanya lagi.
Setakat ini 237 atlet telah
dipilih untuk mewakili negara pada temasya 11 hingga 21 September itu,
kontinjen terbesar Malaysia dalam sejarah penyertaannya di Sukan Komanwel.
Sebelum ini jumlah terbesar
adalah 51 orang, ketika Malaysia beraksi pada Sukan Komanwel di Victoria,
Kanada, empat tahun lalu.
Malaysia meletakkan sasaran tujuh
pingat emas, enam perak dan 11 gangsa pada temasya kali ini. Penyumbang utama
pingat dijangka menerusi acara badminton, boling, menembak dan angkat berat.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4KExLDhez
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan