ARKIB : 11/08/1998
TEGURAN Perdana Menteri Datuk
Seri Dr Mahathir Mohamad terhadap pegawai dan pemain badminton negara yang
mengutamakan pendirian masing-masing daripada kepentingan negara perlu
dipandang berat oleh semua pihak, kata Menteri Belia dan Sukan Tan Sri
Muhyiddin Yassin, lapor NORZIE MOHD. KHASBI.
Teguran Perdana Menteri itu,
yang turut menyifatkan pemain serta pegawai terbabit mengambil ringan
kepentingan negara, harus menjadi ikhtibar kepada atlet dan pegawai sukan lain.
''Teguran itu amat sesuai pada
masanya. Ia patut dipandang berat oleh semua atlet dan pegawai sukan negara
ini,'' katanya mengulas kenyataan Dr. Mahathir yang dikeluarkan di Langkawi,
kelmarin.
Menurut Muhyiddin, Perdana
Menteri tidak mahu sebarang kontroversi timbul menjelang Sukan Komanwel XVI
bulan depan dan seterusnya menampilkan imej bersih Malaysia sebagai tuan rumah.
''Pemain dan pegawai
masing-masing macam tak pandang berat tentang masalah kepentingan negara tetapi
lebih mengutamakan pendirian masing-masing,'' memetik kenyataan Dr. Mahathir
kelmarin.
Perdana Menteri berkata
demikian sebagai mengulas kontroversi yang berlaku di antara Persatuan
Badminton Malaysia (BAM) dan Nusa Mahsuri, membabitkan pemain perseorangan
Roslin Hashim yang bertegas mahukan jurulatih peribadinya Misbun Sidek
disenarai dalam skuad Sukan Komanwel.
Campur tangan Muhyiddin pada
awalnya berjaya menyelesaikan pertelingkahan itu. Namun, ia berakhir dengan
kegagalan berikutan pengguguran Roslin dari skuad KL '98 kerana gagal menghadirkan
diri ke sesi latihan pusat skuad kebangsaan
''Ingin saya menasihatkan atlet
dan pegawai sukan negara ini supaya dahulukan kepentingan negara. Janganlah
terlalu mementingkan keinginan individu.
''Kita bertanding di atas nama
Malaysia dan mereka sepatutnya beri tumpuan untuk menunjukkan prestasi yang
baik,'' katanya di majlis penajaan skim insentif atlet Sukan Komanwel di antara
Sony (M) Sdn. Bhd. dan Majlis Sukan Negara (MSN) di Bandar Utama Damansara,
Petaling Jaya semalam.
Sementara itu, Muhyiddin
menegaskan beliau tidak tahu menahu pegawai kementeriannya terbabit dengan
kontroversi pemilihan gimnas berirama negara, Farah Zelina Kemal.
Kelmarin Presiden Persekutuan
Gimnastik Malaysia (PGM), Dr. Zakaria Ahmad mendakwa Ketua Setiausaha Kementerian
Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Bakri Sabdin menggunakan pengaruhnya sebagai
Pesuruhjaya Sukan untuk memasukkan Farah dalam skuad Sukan Komanwel.
''Saya tak dapat apa-apa
pemberitahuan yang menyatakan dia (Bakri) menjadi orang ketiga,'' katanya.
''Walau apapun saya rasa soal pengaruh mempengaruhi tak wujud. Jawatankuasa
Pemilihan ada kuasa sendiri untuk mengambil sebarang keputusan.''
Walaupun mengakui laporan
akhbar boleh memainkan peranan dalam isu berkenaan, Muhyiddin tetap menafikan
ia turut mempengaruhi keputusan yang akan diambil oleh Jawatankuasa Pemilihan
hari ini.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4KEwiitdY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan