Ahad, 18 September 2016

PEMBENTUKAN MAJLIS PERTAHANAN MALAYSIA

Pada hari ini 18.9.1963, Majlis Pertahanan Malaysia telah dibentuk oleh kerajaan. Pembentukan Majlis ini telah diumumkan oleh Tunku Abdul Rahman di dalam suatu sidang akhbar iaitu sidang akhbar yang pertama sejak lahirnya Malaysia. Majlis Pertahanan Malaysia ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra dan dianggotai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, Menteri Kewangan, Tun Tan Siew Sin, Menteri Dalam Negeri dan Keselamatan Negari, Datuk Doktor Ismail, Menteri Kerja Raya Talikom dan Pos, Datuk Sambanthan dan Ketua Angkatan Bersenjata Persekutuan Malaysia, Datuk Rodney More. Pembentukkan majlis ini merupakan satu langkah pertahanan bagi persediaan menghadapi segala kemungkinan. Sebagai langkah permulaan, tentera simpanan, terutama sekali Tentera Wataniah telah dikerah bagi memperkuatkan angkatan bersenjata. Angkatan Polis pula diperkuatkan dengan cara menghidupkan semula Pasukan Polis Khas (Special Konstabel). Pertubuhan-pertubuhan awam juga dikerah supaya bersiap sedia. Di sidang akhbar ini, Tunku Abdul Rahman telah mengingatkan bahawa Persekutuan Malaysia dan Britain mempunyai perjanjian pertahanan. Dengan perjanjian ini Malaysia dan British akan terlibat dalam sebarang serangan yang dilakukan ke atas Negeri-negeri Komanwel. Tunku juga telah menerangkan bahawa setakat ini Malaysia belum lagi meminta apa-apa pertolongan pertahanan dari negara sahabat. Malaysia belum lagi dalam keadaan perang. Ia hanya dalam keadaan dan berjaga-jaga sahaja untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan