15 September 2016
6:00 PM
HARI ini, 16
September, kita menyambut Hari Malaysia yang ke-53.
Dalam usia itu,
walaupun sudah separuh abad, Malaysia masih dianggap terlalu muda jika hendak
dibandingkan dengan negara-negara maju di dunia. Namun dari segi kemajuan dan
pembangunan negara, kita sebagai rakyat boleh berbangga kerana kedudukan
Malaysia sebagai negara yang pesat membangun, tidak pula jauh bezanya daripada
negara lain yang jauh lebih tua dan lebih dahulu maju daripada kita.
Apa yang lebih
penting, keunikan Malaysia sebagai negara majmuk yang berjaya mengekalkan
keamanan dan kestabilan, menjadikan negara ini cukup istimewa di mata dunia.
Rakyat Malaysia
yang kini mencecah 32 juta orang adalah aset negara yang paling berharga. Walau
siapa pun kita, apa pun kedudukan atau pangkat mahupun kerjaya kita, tidak kira
apa fahaman politik kita, itu bukan ukurannya. Yang penting, kita sebagai warga
sama-sama menyumbang secara positif ke arah pembinaan negara bangsa. Bukan
menjadi makhluk perosak yang cuba memusnahkannya.
Selama 53 tahun,
rakyat berbilang kaum, agama, budaya dan latar belakang, hidup aman harmoni.
Insiden-insiden kecil tidak pernah kita biarkan marak menjadi api persengketaan
yang besar. Kita telah melakukannya lebih 50 tahun, tidak mustahil kita
teruskan sehingga 100 tahun. Bersama-samalah kita sepakat dan bertekad untuk
memakmurkan negara dan terus berusaha mengharumkan nama Malaysia di persada
dunia.
Selamat Hari
Malaysia 2016. Malaysiaku, negaraku.
AWANG – Selamanya
anak Malaysia.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/rencana/bisik-bisik-awang-selamat-1.383230#sthash.Be2qJP1m.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan